Khamis, 14 Disember 2017

Daren iringi Chong Wei ke suku akhir

ARKIB : 09/01/2009
KUALA LUMPUR - Liew Daren yang pada awalnya tidak diberi harapan, kini bakal membawa cabaran Malaysia pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini, mengiringi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang terus mempamer aksi meresahkan pada pusingan kedua semalam.

Liew, 22, yang hanya menetapkan sasaran awal untuk layak ke undian utama pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM700, 000) itu, sebaliknya mengambil alih tugas yang pada mulanya disandarkan kepada pemain senior seperti Muhammad Hafiz Hashim dan Kuan Beng Hong selepas menyingkirkan pencabar dari Taiwan Hsueh Hsuan Yi, 21-14, 21-12.

Pemain No. 140 dunia itu, yang mengejutkan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana 24-22, 19-21, 21-17 pada pusingan pembukaan kelmarin, kini bakal berdepan ujian terbesarnya pada kejohanan ini - menentang jaguh berpengalaman Denmark dan juara 2007, Peter Hoeg Gade.

Chong Wei pula memenuhi ramalan awal dengan melangkah ke suku akhir tetapi selepas diheret dalam perlawanan tiga set oleh pemain tidak ternama Vietnam, Nguyen Tien Minh ketika menang 21-9, 18-21, 21-7.

Hari ini, pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu bakal berdepan cabaran pemain muda Indonesia, Simon Santoso yang menang mudah ke atas Hafiz 21-5, 21-10.

Semalam juga adalah hari yang baik buat beregu campuran apabila dua wakilnya melangkah ke suku akhir, diketuai Koo Kien Keat-Ng Hui Lin dan Hoon Thien How-Chin Eei Hui, manakala kombinasi juara Masters Akhir - Wong Pei Tty-Chin Eei Hui terus berada di landasan terbaik untuk merampas takhta nombor satu dunia apabila turut meneruskan cabaran.

"Layak ke suku akhir Siri Super memang amat menggembirakan dan sejarah peribadi buat saya tetapi saya tidak mahu besar kepala, saya cuma menang dua perlawanan dan belum pun menang kejohanan.

"Kalau pun jika saya berjaya memenangi kejohanan ini, ia belum melayakkan saya untuk dinilai. Satu kejohanan saja tidak cukup untuk menilai pemain, apatah lagi hanya dalam dua perlawanan. Apa pun, saya gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan setakat ini," kata Liew.

Bagaimanapun Liew percaya, turun sebagai pemain yang tidak dikenali memberikan kelebihan kepadanya apabila berdepan Hoeg Gade hari ini kerana corak permainannya yang asing kepada lawan pasti memberi kesukaran kepada mereka.

Semalam, Gade, juara Terbuka Denmark dan Perancis 2008 hanya memerlukan 20 minit untuk menumpaskan pemain India, Chetan Anand 21-7, 21-8.

Biarpun pengalaman bintang Denmark itu dan Liew ibarat langit dan bumi, namun dia tidak mahu mengambil mudah pertemuan tersebut dan menganggap semua pemain Malaysia apa berbahaya apabila beraksi di gelanggang sendiri, tidak kira dia adalah pemain senior atau remaja.

Sementara itu dalam cabaran beregu wanita, Pei Tty-Eei Hui berdepan laluan berliku apabila berdepan bekas juara Olimpik dan dunia, Zhang Jiewen-Yang Wei pada saingan suku akhir hari ini, apatah lagi mereka tidak pernah mengalahkan bekas pasangan nombor satu dunia itu dalam semua perlawanan sebelum ini.

Pei Tty-Eei Hui berharap peningkatan besar yang ditunjukkan sejak akhir-akhir ini mampu membantu mereka menjinakkan pasangan China itu, malah semalam mereka tidak menghadapi banyak masalah ketika mengetepikan Petya Nedelcheva-Mie Schjoett-Kristensen (Bulgaria/Denmark) 21-19, 21-13.

Kien Keat-Hui Lin pula berpeluang untuk melakar kejutan dalam beregu campuran apabila berdepan pasangan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen hari ini selepas mengetepikan gandingan India, V. Diju-Jwala Gutta dari India 21-18, 21-14.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51Id9XHd3

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan