ARKIB : 27/03/2009
HYDERABAD, India - Pemain No. 1
dunia, Datuk Lee Chong Wei menggesa pihak berkuasa badminton Hyderabad supaya
memperbaiki keadaan menjelang Kejohanan Dunia, Ogos ini selepas mengalami
masalah kesihatan pada Terbuka India, kelmarin.
Jaguh perseorangan negara itu
tersingkir dalam pusingan pertama kerana keracunan makanan, dan khuatir,
kebimbangan untuk mendapatkan makanan dan air bersih di Hyderabad bakal
mendorong pemain menjauhkan diri daripada Kejohanan Dunia nanti.
"Saya telah diberitahu agar
berhati-hati dengan makanan yang kami ambil di India tetapi saya tidak pernah
terfikir ia akan terjadi kepada saya, malah Wong Mew Choo (perseorangan wanita
Malaysia) juga tidak sihat.
"Saya selalu berhati-hati
dengan makanan yang diambil setiap kali menyertai sesuatu kejohanan, tetapi di
sini saya tidak mempunyai banyak pilihan kerana kami menghadapi kesukaran untuk
mendapatkan makanan jika pulang lewat ke hotel.
"Malah, kami terpaksa
membeli minuman dari luar dan satu-satunya pilihan adalah apabila bas berhenti
di pasar raya mini dalam perjalanan pulang ke hotel.
"Saya harap keadaan ini dapat
diperbaiki apabila kami kembali lagi untuk Kejohanan Dunia nanti. Saya tidak
akan terkejut kalau ada pemain yang tidak mahu datang ke sini,'' kata Chong
Wei.
Chong Wei, yang muncul naib juara
Seluruh England dan menjuarai Terbuka Switzerland pada awal bulan ini, turut
menyelar pegawai badminton India yang menjadi pengadil perlawanannya ketika
menentang pemain muda China, Chen Long.
"Pengadil itu tidak cukup
layak untuk mengendalikan standard kejohanan ini, kualiti pengadilan perlu
dipertingkatkan.
"Saya harap semuanya akan
bertambah baik nanti,'' kata Olahragawan Kebangsaan 2008 itu lagi.
Kejohanan Dunia, yang bakal
berlangsung pada 10-16 Ogos sebelum ini sudah pun dihimpit kontroversi kerana
kerja pengubahsuaian di gelanggang asal, Kompleks Sukan Siri Fort, New Delhi
yang tertangguh memaksa ia dipindahkan ke Hyderabad.
Malah, reputasi sukan India turut
menerima tamparan pada minggu ini apabila kejohanan kriket Liga Perdana negara
itu terpaksa dipindahkan ke Afrika Selatan hanya pada tahun kedua
penganjurannya atas faktor keselamatan. - AFP
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5A6emotdV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan