ARKIB : 26/03/2009
KUALA LUMPUR - Semalam merupakan
hari malang buat jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei apabila tersingkir pada
pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka India selepas mengalami keracunan
makanan di Hyderabad.
Hanya dua minggu selepas
merangkul kejuaraan Terbuka Switzerland, Olahragawan Kebangsaan 2008 itu
terpaksa akur kepada pemain remaja China, Chen Long 21-7, 16-21, 18-21.
"Saya amat lemah kerana
mengalami keracunan makanan. Walaupun bermain baik di set pertama tetapi saya
gagal meneruskan rentak pada dua set berikutnya,'' ujar Chong Wei, yang berazam
untuk bangkit pada Kejohanan Dunia, Ogos ini.
Kegagalan Chong Wei bagaimanapun
ditebus tujuh perseorangan lelaki, diketuai Muhammad Hafiz Hashim, Muhammad
Roslin Hahshim, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob, Kuan Beng Hong,Tan Chun Seang
dan Chan Kwong Beng yang mara ke pusingan ketiga.
Malah, ratu badminton negara,
Wong Mew Choo yang membuat penampilan pertama selepas tiga bulan berehat turut
melangkah ke pusingan kedua bersama Julia Wong dan Lydia Cheah.
Hafiz dipaksa berhempas pulas
menyingkirkan pemain Hong Kong, Wong Wing Ki 21-11, 18-21, 21-14 untuk bertemu
pemain China, Zhou Wenlong.
Roslin pula mengetepikan pemain
remaja, Daren Liew 22-20, 21-12 dan akan bertemu rakan senegara, Tsuen Seng
yang mara selepas menundukkan Abhimayu Singh dari India 21-16, 21-10.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A6ZoB8l9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan