ARKIB : 11/07/2005
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KUALA LUMPUR - Jaguh
perseorangan negara, Lee Chong Wei menjinakkan pemain nombor satu dunia, Lin
Dan dari China untuk muncul pemain pertama mempertahankan kejuaraan
perseorangan lelaki kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas Rashid Sidek
pada 1992.
Turun sebagai pilihan keempat,
Chong Wei diheret untuk beraksi dalam perlawanan 88 minit sebelum menumpaskan
pilihan pertama, Lin Dan 17-15, 9-15, 15-9 di hadapan 5,000 penonton di Stadium
Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Bekas pemain nombor satu
negara, Rashid menjadi pemain terakhir mempertahankan gelaran perseorangan
lelaki ketika memenangi kejohanan 1992, 13 tahun lalu selain mencipta hatrik
dengan muncul juara 1990, 1991 dan 1992.
Kemenangan bakal memperbaiki
ranking dunia juara kebangsaan itu, yang jatuh empat anak tangga ke tempat
kelapan Khamis lalu, selepas kandas di pusingan ketiga Terbuka Singapura minggu
lalu.
Selain meraih wang tunai
AS$9,600 (RM36,480), apa yang lebih penting, kejayaan ini memberi motivasi tambahan
buat Chong Wei apabila membawa cabaran negara pada Kejohanan Dunia di Anaheim,
Amerika Syarikat bulan depan.
``Kemenangan ini jauh lebih
bermakna berbanding tahun lalu. Mulanya, saya tidak fikir mara hingga ke
separuh akhir apalagi terpaksa bertemu Taufik Hidayat di suku akhir,'' kata
Chong Wei.
``Apabila mara ke perlawanan
akhir, saya merasakan peluang ke atas Lin Dan agak sukar. Saya akui dia jauh
lebih baik tetapi di atas gelanggang saya hanya memberikan yang terbaik dan
saya tidak mahu mengalah walaupun ketinggalan 0-7.''
Chong Wei yang beraksi dalam
final Terbuka Malaysia buat kali ketiga berturut-turut berkata, kemenangan itu
memberi keyakinan kepadanya untuk menetapkan separuh akhir sebagai sasaran di
Kejohanan Dunia.
Begitupun, namun juara Terbuka
Taiwan itu tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi kerana bimbang apa yang
berlaku pada Sukan Olimpik Athens tahun lalu akan berulang.
``Selepas memenangi Terbuka
Malaysia tahun lalu, semua orang memberi tumpuan kepada saya ketika beraksi di
Sukan Olimpik. Saya mengalahkan Chen Hong di separuh akhir Terbuka Malaysia
tetapi dia menewaskan saya pada pusingan ketiga di Athens,'' kata Chong Wei.
Sebelum menundukkan Lin Dan,
Chong Wei mengetepikan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Taufik dari
Indonesia 15-5, 15-0 pada suku akhir dan menyingkirkan bintang muda China, Bao
Chunlai 11-15, 15-12, 15-9 di separuh akhir.
Perlawanan semalam, yang turut
disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor nyata dikuasai Lin Dan yang bermain agresif
sejak awal permainan, tetapi kerap melakukan kesilapan hingga memberi mata
kepada lawan.
Strategi Chong Wei yang sering
menghantar bola ke baseline sebelum bermain di jaring sering memerangkap juara
Terbuka Jepun, Jerman serta China itu dan menyekatnya daripada mempamer
permainan sebenar.
Chong Wei ketinggalan dalam
kesemua set. Pada set pembukaan dia ketinggalan 0-7, 1-9 dan 1-10 sebelum
menang 15-19, dia kemudian ditinggalkan 0-4 dan 3-10 pada set kedua, malah
turut ketinggalan 0-7 dan 4-8 di set penentuan sebelum menang 15-9.
Sementara itu, beregu handalan
Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto merangkul kejuaraan kedua dalam tempoh
seminggu selepas menewaskan juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun dari
China 15-11, 17-14 pada saingan akhir beregu lelaki. Candra-Sigit menjuarai
Terbuka Singapura, minggu lalu.
China, tuan rumah Sukan Olimpik
2012 dan juara berganda Piala Thomas serta Uber tahun lalu meneruskan dominasi
mereka dalam acara wanita apabila menguasai empat tempat akhir dalam kedua-dua
perlawanan.
Juara Olimpik, Zhang Ning
mempertahankan kejuaraan perseorangan wanita selepas menumpaskan Zhu Lin 11-6,
11-2, penyandang juara beregu wanita dan pasangan nombor satu dunia, Zhang
Wei-Zhang Jiewen pula mengalahkan beregu nombor dua dunia, Gao Ling-Huang Sui
15-6, 15-8.
Pasangan Lee Jae Jin-Lee Hyo
Jung membawa pulang satu kejuaraan buat Korea Selatan apabila muncul juara
beregu campuran selepas menewaskan Chen Qiqiu-Zhao Tingting dari China 15-12,
15-11.
KEPUTUSAN (akhir)
LELAKI perseorangan - LEE CHONG
WEI (MAS) kln Lin Dan (Chn) 17-15, 9-15, 15-9.
Beregu - Candra Wijaya (Ina)
kln Fu Haifeng-Cai Yun (Chn) 15-11, 17-14.
WANITA perseorangan - Zhang
Ning (Chn) kln Zhu Lin (Chn) 11-6, 11-2.
Beregu _ Yang Wei-Zhang Jiewen
(Chn) kln Gao Ling-Huang Sui (Chn) 15-6, 15-8.
Beregu campuran - Lee Jae
Jin-Lee Hyo Jung (Kor) lwn Chen Qiqiu-Zhao Tingting (Chn) 15-12, 15-11.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iiZkZc2U
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan