Rabu, 31 Mei 2017

Belum selamat



KUALA LUMPUR - Kejayaan Lee Chong Wei mempertahankan kejuaraan badminton Terbuka Malaysia kelmarin belum cukup untuk memberi bayangan yang lebih cerah kepada skuad negara apabila beraksi pada Kejohanan Dunia bulan depan.

Selain Chong Wei, hanya Muhammad Hafiz Hashim berjaya melayakkan diri ke suku akhir perseorangan lelaki, manakala hanya dua pemain beregu Chan Chong Ming-Koo Kien Keat berjaya melangkah ke peringkat yang sama dalam beregu lelaki.

Dua minggu lalu, Chong Wei terkandas pada pusingan ketiga Terbuka Singapura selepas tewas 13-15, 15-6, 4-15 kepada pemain bukan pilihan, Lee Hyun-il dari Korea Selatan.

Seminggu kemudian, dia menumbangkan juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dan pemain nombor satu dunia, Lin Dan untuk merangkul gelaran Terbuka Malaysia.

Keputusan kontras yang dipamerkan Chong Wei pada Terbuka Singapura dan Malaysia dalam tempoh seminggu jelas menunjukkan betapa tahap konsistensi pemain-pemain negara masih boleh diragui.

Sebab itu ketika dia mengejutkan Taufik 15-5, 15-0 pada suku akhir, jurulatihnya, Li Mao berkata: ``Chong Wei jangan besar kepala hanya kerana mengalahkan Taufik, harap anda tidak menulis sesuatu yang membuatkan dia berasa begitu megah.''

Perkara yang hampir sama berlaku ke atas juara Seluruh England 2003, Muhd. Hafiz Hashim yang tewas mengejut kepada Ng Wei dari Hong Hong di pusingan ketiga Terbuka Singapura tetapi menumbangkan juara dunia, Xia Xuanze dari China 15-7, 15-0 pada pusingan awal Terbuka Malaysia.

Hafiz, yang mempunyai reputasi lebih baik di luar negara berbanding ketika beraksi di gelanggang sendiri kemudian kalah 10-15, 15-12, 5-15 kepada jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen.

Hanya Chong Wei dan Hafiz layak suku akhir selepas lima lagi perseorangan utama, Wong Choong Hann, Muhd. Roslin Hashim, Kuan Beng Hong, Lee Tsuen Seng dan Yeoh Kay Bin gagal di peringkat lebih awal.

Pencapaian Malaysia dalam beregu lelaki juga kurang memberangsangkan apabila hanya Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock berjaya melayakkan diri ke suku akhir.

Bagaimanapun beregu muda, Mohd. Zakry Latif-Gan Taik Chai berjaya mempamerkan peningkatan besar dan hampir mengejutkan pilihan utama, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto kalah 8-15, 15-11, 17-15 di pusingan pertama.

Beregu veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang beraksi dalam pertandingan antarabangsa kedua sekembalinya Wan Wah daripada kecederaan turut tewas kepada beregu Indonesia itu 2-15, 17-16, 7-15.

Terdahulu, Tan Fook, yang akan berpasangan dengan Chew Choon Eng pada Kejohanan Dunia dan Wan Wah menumpaskan pasangan berpengalaman Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian 17-16, 15-12 di pusingan pertama.

Luluk-Alven juga adalah beregu yang mengecewakan Chong Ming-Kien Keat 17-16, 15-7 di suku akhir, manakala Bin Shen-Soon Hock tumpas kepada pasangan China, Sang Yang-Xi Zhongbo 16-17, 15-9, 12-15 di peringkat yang sama.

Satu lagi beregu muda yang akan membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui pula tewas 15-5, 5-15, 12-15 kepada juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun dari China di pusingan ketiga.

Selain daripada persembahan sederhana yang dipamerkan pemain-pemain negara di Terbuka Malaysia edisi 2005, perkembangan yang lebih menarik tumpuan pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM456,000) itu adalah sambutan hebat yang kembali diberikan oleh peminat badminton tanah air.

Lebih 5,000 penonton membanjiri Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras setiap hari sejak pusingan ketiga Khamis lalu sehingga perlawanan akhir kelmarin, suasana yang sudah lama tidak dapat dilihat sejak Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992.

Kepercayaan yang kembali diberikan oleh peminat sukan negara ini diharap mampu meningkatkan semangat pemain-pemain Malaysia untuk mencatat keputusan lebih baik pada Kejohanan Dunia kerana kejuaraan di gelanggang sendiri bukan satu pencapaian yang terlalu dibanggakan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iihv5PWq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan