ARKIB : 12/07/2005
KUALA LUMPUR - Jaguh Denmark,
Peter Gade-Christensen memilih pemain nombor satu Malaysia, Lee Chong Wei
sebagai antara lima perseorangan lelaki yang paling konsisten tahun ini dan
bakal menjadi tumpuan pada Kejohanan Badminton Dunia di Aneheim, Amerika
Syarikat bulan depan.
Menurut Gade-Christensen,
selain Chong Wei, yang baru mempertahankan gelaranTerbuka Malaysia, dua jaguh
China iaitu pemain nombor satu dunia, Lin Dan dan juara Seluruh England, Chen
Hong, juara Olimpik, Taufik Hidayat dan dirinya adalah empat lagi pemain yang
turut menunjukkan prestasi konsisten sejak hujung tahun lalu.
Bekas pemain nombor satu dunia
itu berkata, China tetap menjadi pilihan utama untuk menguasai acara
perseorangan lelaki walaupun tidak menurunkan penyandang juara, Xia Xuanze
kerana prestasi Chen Hong dan Lin Dan meletakkan negara itu dalam kedudukan
yang baik.
``Saya percaya Chen Hong dan
Lin Dan menjadi calon utama untuk melangkah hingga ke separuh akhir, dua lagi
tiket akan menjadi perebutan di antara saya, Taufik dan Chong Wei yang saya
nampak tiga lagi pemain yang paling konsisten sejak akhir tahun lalu,'' kata
Gade-Christensen, yang melayakkan diri ke separuh akhir Terbuka Malaysia
sebelum tumpas kepada Lin Dan.
``Ada dua atau tiga lagi nama
yang saya percaya mampu mencipta kejutan di Amerika Syarikat seperti Kenneth
(Jonassen, Denmark), Hafiz (Hashim) dan Bao Chunlai (China) tetapi saya percaya
keputusan perlawanan adalah berdasarkan prestasi semasa, lima nama awal yang
sebutkan tadi mampu mengisi empat daripada tiket separuh akhir.'' Menurut
Gade-Christensen, yang juga juara Terbuka Korea dan naib juara Eropah, Chen
Hong merupakan pemain paling mantap sejak Ogos lalu dengan muncul naib juara
Terbuka Singapura 2005, naib juara Terbuka Jepun 2005, Seluruh England 2005
serta naib juara Indonesia 2004.
Bekas juara Asia itu jarang
kandas pada peringkat lebih awal, sebaliknya akan melayakkan diri
sekurang-kurangnya hingga ke peringkat suku, separuh atau akhir sebelum tumpas
kepada lawannya, yang kebiasaannya adalah pemain-pemain pilihan.
Katanya, juara Terbuka Taiwan,
Chong Wei juga mempunyai permainan konsisten dalam kebanyakan kejohanan
walaupun tewas di pusingan ketiga Terbuka Singapura minggu lalu. Juara
kebangsaan itu mara ke separuh akhir Seluruh England, suku akhir Terbuka Jepun,
separuh akhir Terbuka Jerman, suku akhir Terbuka Indonesia dan naib juara Terbuka
Singapura 2004, selain mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia selepas
menumpaskan Lin Dan di final, malah menumpaskan Taufik di suku akhir.
Katanya lagi, Lin Dan dan
Taufik pastinya dua nama yang tidak boleh diketepikan daripada senarai pilihan
utama untuk menjuarai kejohanan 15-21 Ogos itu berdasarkan pencapaian mereka di
peringkat antarabangsa.
Selain muncul naib juara
Terbuka Malaysia, Lin Dan juga melangah ke separuh akhir Terbuka Singapura,
selain merupakan juara Terbuka Jepun, naib juara Seluruh England, juara Terbuka
Jerman, juara Terbuka China, Jerman dan Denmark, separuh akhir Terbuka
Indonesia, (Ogos, 2004). Juara Olimpik, Taufik pula muncul juara Terbuka
Singapura, suku akhir Terbuka Malaysia, separuh akhir Terbuka Jepun, juara
Terbuka Indonesia, separuh akhir Terbuka China dan juara Asia. Sementara
Gade-Christensen pula menunjukkan persembahan konsisten dengan melayakkan diri
suku akhir Terbuka Singapura, separuh akhir Terbuka Malaysia, suku akhir
Terbuka Jepun, naib juara Terbuka Switzerland, juara Terbuka Korea dan naib
juara Eropah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iiganzM6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan