ARKIB : 09/07/2005
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
JUARA Olimpik, Taufik Hidayat
membayangkan kekecewaannya selepas tewas 5-15, 0-15 kepada pemain negara Lim
Chong Wei (kanan) yang beraksi cemerlang pada saingan badminton Terbuka
Malaysia di Stadium KLBA, Cheras, semalam untuk mara ke separuh akhir. - Gambar
NORADZRENE MOHD NOOR.
KUALA LUMPUR - Lee Chong Wei
menumbangkan juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat 15-5, 15-0 untuk muncul wakil
tunggal negara layak ke separuh akhir badminton Terbuka Malaysia, sekali gus
menghampiri impian untuk mempertahankan kejuaraan di Stadium KLBA, Cheras
semalam.
Kecemerlangan Chong Wei, juara
2004 dan naib juara 2003 gagal diteruskan oleh Muhammad Hafiz Hashim yang
kandas 10-15, 15-12, 5-15 kepada pemain nombor tiga dunia dan juara 1998, Peter
Gade-Christensen dari Denmark.
Turut kandas adalah beregu
utama negara, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock,
selain pasangan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.
Chong Wei, pilihan keempat kini
akan berdepan pilihan kelima, Bao Chunlai dari China pada separuh akhir ini,
iaitu mengulangi pertemuan kedua-dua pemain pada suku akhir tahun lalu, di mana
Chong Wei menang 15-10, 15-11.
Sokongan padu lebih 5,000
penonton di Stadium KLBA nyata menyemarakkan semangat Chong Wei untuk
menumbangkan Taufik lebih awal apabila hanya mengambil masa 30 minit ketika mencatat
kemenangan pertama ke atas juara baru Terbuka Singapura itu daripada empat
pertemuan mereka.
Hantaran ke baseline dan
pukulan drop-shot yang sering dilakukan oleh juara kebangsaan itu menyukarkan
Taufik untuk membalas, apatah lagi dia tidak dapat berasi di bawah keupayaan
100 peratus kerana mengalami masalah kekejangan otot perut sepanjang permainan.
Chong Wei, 23, yang memburu
kejuaraan antarabangsa pertamanya tahun ini mendominasi permainan sepenuhnya
terutama pada set kedua apabila dia memerlukan tidak sampai 10 minit untuk
mencatat kemenangan 15-0. Malah di set pertama, dia mendahului 5-0, 9-2, 14-5
sebelum menang 15-5.
``Saya bermain baik hari ini
tetapi saya tidak fikir Taufik beraksi di bawah keupayaan sebenar. Saya tidak
tahu apa yang berlaku tetapi saya percaya ada sesuatu yang menganggu
permainannya,'' kata Chong Wei.
``Apapun gembira dapat melepasi
halangan yang pada awalnya saya ramalkan 50-50. Esok (hari ini) saya akan
bertemu Bao Chunlai untuk kali ketiga pada kejohanan ini, saya mempunyai
keyakinan tinggi ke atasnya selepas menang semua pertemuan kami yang terdahulu
tetapi ia tidak bermakna dia adalah lawan yang boleh diambil mudah.''Jurulatih
perseorangan negara, Li Mao tidak mahu Chong Wei terlalu berbangga dengan
kejayaan menumbangkan juara Olimpik kerana beliau percaya perlawanan akan lebih
sengit sekiranya jaguh Indonesia itu berjaya menggunakan kekuatan penuh.
Sementara itu Taufik enggan
menjadikan masalah kecederaan sebagai punca kekalahan, sebaliknya dia
menegaskan, Chong Wei berhak memenangi perlawanan semalam selepas menunjukkan
permainan yang agresif dengan smash deras serta drop-shot yang cantik.
Katanya lagi, Chong Wei adalah
pemain yang jauh lebih baik berbanding ketika mereka bertemu buat kali pertama
pada Kejohanan Asia dua tahun lalu, di mana Taufik pulang sebagai juara.
``Memang saya tidak berapa
selesa malam ini tetapi itu bukan punca saya kalah. Chong Wei berhak mendapat
kredit, dia bermain dengan baik dan pergerakannya amat kemas dari awal sehingga
akhir permainan. Saya kalah kepada pemain yang baik,'' kata Taufik.
Hafiz pula harus menyalahkan
diri sendiri apabila gagal menyekat Gade-Christensen, pemain yang telah
mengalahkan abangnya, Muhd. Roslin Hashim pada pusingan ketiga kelmarin
walaupun memegang rekod pertemuan ke atas bekas pemain nombor satu dunia itu,
malah mengalahkannya pada perlawanan persahabatan di Kedah, bulan lalu.
Juara Terbuka Switzerland dan
Thailand itu menunjukkan permainan yang lemah dengan pergerakan kurang bermaya
pada set pembukaan, sehingga ketinggalan 3-7, 3-8, 4-11 dan 5-13 sebelum
memberikan mata kemenangan kepada Gade-Christensen pada kedudukan 10-15.
Pilihan keenam itu sekali lagi
ketinggalan di set kedua, tetapi berjaya bangkit daripada kedudukan 0-4 kepada
2-5, 3-6 kepada 7-7 dan akhirnya menang 15-12 bagi mengheret permainan ke
rubber-set. Gade-Christensen bagaimanapun menunjukkan penguasaan yang baik di
set penentuan untuk menang 15-5.
Perjalanan beregu lelaki negara
pula berakhir apabila Chong Ming-Kien Keat kalah kepada pilihan pertama, Luluk
Hadiyanto-Alvin Yulianto dari Indonesia 16-17, 7-15, manakala Bin Shen-Soon
Hock tunduk 16-17, 15-9, 12-15 pasangan China, Sang Yang-Xie Zongbo.
Terdahulu, Pei Tty-Eei Hui
hanya memberi tentangan pada set pertama sebelum mengalah mudah 11-15, 2-15
kepada pasangan utama China, Yang Wei-Zhang Jiewen.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ii2v0RCm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan