ARKIB : 26/03/2005
KUALA LUMPUR - Pemain badminton
nombor satu negara, Lee Chong Wei mengakui masih belum membiasakan diri dengan
corak latihan yang dikendalikan oleh jurulatih baru dari China, Li Mao.
``Buat masa sekarang, saya
memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk betul-betul menyesuaikan diri
dengan corak latihan Li Mao yang sedikit berlainan berbanding jurulatih
terdahulu,'' katanya kepada Bernama di sini.
Chong Wei, 23, yang merupakan
juara Terbuka Malaysia dan Taiwan 2004 berkata, latihan yang dijalani kini
lebih kepada peringkat asas.
Li Mao adalah jurulatih
perseorangan lelaki yang dilantik pada Februari lepas bersama Misbun Sidek
manakala ketua jurulatih kebangsaan ialah Yap Kim Hock.
Chong Wei yang baru pulang ke
tanah air selepas menyertai Kejohanan Badminton Seluruh England dan Terbuka
Jerman, berpuas hati dengan prestasinya dalam dua kejohanan antarabangsa yang
baru disertainya itu.
Kejohanan Seluruh England di
Birmingham, England berlangsung dari 9 hingga 13 Mac sementara Terbuka Jerman
pula dari 1 hingga 5 Mac.
``Walaupun hanya mara ke
peringkat separuh akhir dalam kedua-dua kejohanan itu, tumpuan saya kini lebih
kepada persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Dunia yang tinggal lima bulan
saja lagi,'' katanya.
Kejohanan Badminton Dunia 2005
akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat dari 15 hingga 21 Ogos ini
akan disertai 32 pemain perseorangan dan 32 pasangan beregu terbaik dunia.
Chong Wei yang kini mendahului
senarai pemain badminton negara dengan menduduki ranking keenam dunia, berazam
untuk menempatkan diri antara tiga pemain terbaik dunia sebelum hujung tahun
ini.
Sementara itu, Chong Wei
berkata, dia tidak akan menyertai kejohanan Terbuka Thailand pada 29 Mac hingga
3 April ini kerana jarak masa yang terlalu singkat dengan Terbuka Jepun yang
akan bermula 5 hingga 10 April ini. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iKlaOj91
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan