Selasa, 30 Mei 2017

Chong Wei buru gelaran dunia



ARKIB : 15/06/2005

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
 
KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei mengakui bahawa dia perlu menang sekurang-kurangnya satu gelaran antarabangsa dalam masa terdekat bagi meningkatkan keyakinan untuk menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Los Angeles, Ogos ini.

Menurut pemain nombor empat dunia itu, Kejohanan Terbuka Singapura yang bermula pada 27 Jun hingga 3 Julai ini dan Terbuka Malaysia (5-10 Julai) adalah peluang terbaiknya untuk memburu kejuaraan pertama tahun ini.

Malah kata Chong Wei, 22, dia mempunyai rekod baik pada kedua-dua kejohanan tersebut iaitu muncul naib juara di Singapura dan merupakan penyandang juara dalam Terbuka Malaysia tahun lalu.

``Saya memang amat memerlukan sekurang-kurangnya satu kejuaraan untuk mendapatkan lebih keyakinan apabila beraksi di Kejohanan Dunia.

``Ini merupakan penampilan pertama saya pada Kejohanan Dunia, ia sedikit mendebarkan. Lagipun saya belum menang apa-apa gelaran tahun ini, jadi Terbuka Singapura dan Malaysia mungkin peluang terbaik saya untuk menamatkan kemarau itu.

``Seandainya tidak menang sekalipun, saya tidak boleh mencatat keputusan kurang daripada separuh akhir. Kalau ia berlaku, pertama...keadaan itu boleh merendahkan semangat saya, kedua ia boleh memberi kesan kepada undian di Amerika nanti,'' kata Chong Wei selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam

Juara Terbuka Taiwan 2004 itu juga menegaskan, dia tidak bimbang sekiranya mencapai kemuncak prestasi lebih awal dan percaya ia tidak akan menjejaskan fokusnya pada Kejohanan Dunia, 15-21 Ogos ini.

Menurut Chong Wei, tempoh sebulan di antara penamat Terbuka Malaysia (10 Julai ini) dan pembukaan Kejohanan Dunia (15 Ogos ini) tidak terlalu panjang dan membenarkan dia untuk kembali kepada kedudukan yang terbaik.

Malah, pemain kelahiran Pulau Pinang itu memberi jaminan kepada peminat badminton tanah air bahawa dia akan memberikan persembahan terbaik apabila beraksi dalam sirkit tempatan, Terbuka Pahang di Kuantan bermula esok.

``Saya tidak kisah apa orang lain hendak fikir, tetapi bagi saya, badminton adalah kerja saya, jadi saya perlu melaksanakan kerja saya sebaik mungkin setiap kali diperlukan.

``Saya tidak tidak akan turun dengan bermain ala kadar di Kuantan. Saya tidak simpan tenaga atau main sekadar cukupkan syarat, saya akan beri yang terbaik dan harap dapat pergi sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir,'' tegasnya.

Selain Chong Wei, cabaran perseorangan lelaki negara pada Kejohanan Dunia turut dipikul oleh pemain nombor enam dunia, Muhd. Hafiz Hashim dan naib juara dunia, Wong Choong Hann.

Malaysia akan turut diwakili oleh tiga beregu lelaki, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui dan dua beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau.

Pemenang pingat emas Sukan SEA, Wong Mew Choo dan M. Sutheaswari akan membawa cabaran perseorangan wanita, manakala Kien Keat-Pei Tty dan Mohd. Fairuzizuan-Mooi Hing dan dalam beregu campuran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4icmRtYZ4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan