Wartawan Sinar Harian
8 Mei 2017
Chong Wei perlu tampil berbeza
GAYA permainan jaguh badminton
negara, Datuk Lee Chong Wei bukan lagi ancaman kepada pemain lain.
Hakikat itu diakui sendiri
Chong Wei selepas melihat seteru utamanya, Lin Dan tampil berbeza ketika sukan
Olimpik Rio tahun lalu, untuk menewaskannya dalam dua pertemuan terakhir mereka
di Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia, baru-baru ini.
Bagi pemain nombor satu dunia
itu, sesuatu perlu dilakukan seandainya ingin meraih gelaran di Kejohanan Dunia
di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini.
Pemenang pingat perak Sukan
Olimpik Rio itu yang memburu peluang meraih gelaran utama pertamanya,
menjelaskan pencabarnya bukan sekadar Lin Dan tetapi juga juara bertahan, Chen
Long yang meraih tiket wild card serta dua pemain muda China yang lain, Shi
Yuqi dan Tian Houwei.
Untuk rekod, Chong Wei
kecundang dua kali di final Kejohanan Dunia di tangan Chen Long iaitu 2014 dan
2015 dan sebelum itu tewas di perlawanan akhir menentang Lin Dan pada 2011 dan
2013.
Namun pingat perak edisi 2014
ditarik balik oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif
doping.
“Kalau mahu menang Kejohanan
Dunia, saya perlu bermain dengan semua pemain, tiada jalan mudah. Saya juga terkejut Chen Long boleh dapat wild
card dan pemain dari China yang layak pula tiga orang. Pesaing negara lain juga
kuat.
“Saya perlu terima cabaran ini,
seperti yang saya katakan lebih baik untuk saya fokus persiapan diri sendiri,”
katanya.
Kena bangkit!
BAGI jurulatih Chong Wei,
Hendrawan berpandangan selain strategi dan taktik baharu, paling penting bagi
pemain seperti Chong Wei adalah mengembalikan semangat mahu menang dalam setiap
kejohanan yang disertainya terutamanya Kejohanan Dunia itu nanti.
Mengenai Chen Long yang meraih
tiket wild card, beliau berkata anak buahnya itu perlu berfikiran positif dan
menggandakan persiapan berbanding sebelum ini.
“Selalu saya cakap dengan Chong
Wei, kemahuan untuk menang perlu menjadi keutamaan. Menjelang Kejohanan Dunia
itu nanti semangat beliau perlu lebih tinggi lagi seperti prestasinya di Sukan
Olimpik...kita boleh nampak perasaan tidak mahu kalah daripadanya ketika
itu," katanya.
Terima hakikat
TAMBAH Hendrawan lagi, buat
masa ini semua pihak perlu menerima kekalahan Chong Wei.
Katanya, beliau yakin selepas
ini juara Seluruh England itu tampil berbeza selepas menjalani latihan dalam
usaha mengubah taktik permainannya.
"Saya yakin dalam latihan
selepas ini, kami mampu melakukan beberapa perubahan dan saya juga telah
berbincang dengannya mengenai perkara itu," kata Hendrawan.
Beliau juga bersetuju dengan
pandangan Chong Wei, prestasi Lin Dan dalam dua kejohanan baru-baru ini sangat
berbeza namun ia bukan penghalang untuk pemainnya itu kembali kompetitif.
Wild card
Persekutuan Badminton Dunia
(BWF) memberi tiket wild card kepada
Chen Long selepas dia terlepas tiket kelayakan automatik berdasarkan ranking
dunia pada 27 April - iaitu tarikh akhir
menentukan jumlah pemain yang layak beraksi pada Kejohanan Dunia kali ini. Ia
berdasarkan status Chen Long sebagai juara dunia dan juara Olimpik.
Sumber SINAR HARIAN ONLINE 8 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan