Sabtu, 27 Mei 2017

Hajat Chong Wei tak sampai



ARKIB : 13/03/2005

BIRMINGHAM, England - Hajat Lee Chong Wei untuk melangkah ke perlawanan akhir kejohanan badminton Seluruh England buat kali pertama tidak kesampaian semalam apabila kecundang kepada pemain nombor lima dunia, Chen Hong dari China dalam separuh akhir di National Indoor Arena.

Chong Wei, yang menyingkirkan rakan senegara, Muhd. Roslin Hashim 15-7, 15-9 pada suku akhir memberi tentangan sengit sebelum mengaku kalah 13-15, 10-15 kepada juara 2002, Chen Hong dalam perlawanan yang berlangsung selama 53 minit.

Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat juara Terbuka Malaysia dan Taiwan itu selepas tewas kepada Chen Hong pada suku akhir Terbuka Indonesia dan pusingan kedua Sukan Olimpik tahun lalu.

Bagi juara Terbuka Korea 2004, Chen Hong, 26, dia kini hanya selangkah lagi untuk merampas semula gelaran yang dimenangi pada 2002, selepas melebarkan rekod kemenangan 4-1 kepada Chong Wei.

Chong Wei, pilihan ketujuh bermula baik semalam malah mendahului pada set pertama 7-3, 11-7 dan 11-10. Namun, dia seakan-akan buntu sebaik membenarkan lawan mengejar 11-1 sebelum ketinggalan 11-12, 11-3 dan akhirnya tewas 13-15.

Sementara itu dalam perlawanan lewat pagi, cabaran Malaysia dalam beregu wanita berakhir selepas Wong Pei Tty-Chin Eei Hui tewas 15-17, 8-15 kepada beregu nombor dua dunia, Wei Yili-Zhao Tingting dari China.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iHt7R7fP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan