Ahad, 28 Mei 2017

Chong Wei penebus maruah



ARKIB : 08/04/2005

TOKYO - Lee Chong Wei menjadi penyelamat maruah Malaysia apabila menjadi satu-satunya pemain lelaki negara yang berjaya melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun semalam.

Juara Terbuka Malaysia dan pilihan keenam itu menempah pertemuan dengan jaguh Denmark, Kenneth Jonassen hari ini selepas mengetepikan Bjoern Joppien dari Jerman 15-9, 15-0.

Terdahulu, pilihan keempat, Jonassen mengecewakan hajat jaguh negara, Muhd. Hafiz Hashim untuk merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut apabila menang 17-14 di set pertama, sebelum Hafiz menarik diri pada kedudukan 8-8 di set kedua akibat kecederaan lutut kanan.

``Saya amat kecewa,'' kata juara Terbuka Thailand dan Switzerland, Hafiz. ``Saya begitu berkeyakinan untuk mencatat keputusan yang baik di sini selepas dua kemenangan yang diraih.''

Hari buruk badminton negara dilengkapkan de- ngan kekalahan Wong Choong Hann, Muhd. Roslin Hashim, Kuan Beng Hong, Lee Tsuen Seng dan pasangan muda, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui.

Walaupun kehilangan juara dunia, Xia Xuanze seawal pusingan pertama, China jelas masih mampu mendominasi Terbuka Jepun menerusi pemain nombor satu dunia, Lin Dan, juara Seluruh England, Chen Hong, bintang remaja, Chen Yu dan pemain muda, Bao Chunlai.

Semalam, Lin Dan membuktikan bahawa dia bukan tandingan Tsuen Seng apabila mudah menewaskan pemain negara itu 15-2, 15-7 dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 37 minit.

Bekas pemain nombor satu dunia, Chen Hong pula memerlukan 52 minit untuk menumpaskan Roslin 15-9, 17-14, manakala Choong Hann diheret beraksi lebih sejam sebelum tunduk 7-17, 12-15 kepada pemain berusia 19 tahun, Chen Ju.

Beng Hong menjadi mangsa kebangkitan juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia yang beraksi dalam kejohanan pertamanya sejak Disember lalu apabila kalah 9-15, 11-15.

Kekalahan 8-15, 8-15 Fairuzizuan-Woon Fui kepada juara Seluruh England 2004, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark menamatkan terus cabaran beregu lelaki negara pada kejohanan bernilai AS$180,000 (RM684,000) itu.

Sementara itu, perseorangan wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Juliane Schenk dari Jerman 11-9, 11-3.

Bagaimanapun, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty mengakhiri cabaran Malaysia dalam beregu campuran selepas kalah 15-2, 5-15, 3-15 kepada beregu Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thungthongkam pada pusingan kedua

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iMPfKsKr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan