Rabu, 31 Mei 2017

Chong Wei, Hafiz mara



ARKIB : 08/07/2005

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
MUHAMMAD Hafiz Hashim membalas pukulan pemain Korea Selatan, Shon Seung-mo dalam pertemuan di pusingan ketiga kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur malam tadi.Hafiz menang 15-10, 15-11 untuk mara ke suku akhir. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.


KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim meneruskan cabaran perseorangan negara ke suku akhir pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Chong Wei, pilihan keempat mengetepikan pilihan ke-15, Dicky Palyama dari Belanda 15-6, 15-4 di pusingan ketiga semalam.

Bagaimanapun dia bakal berhadapan laluan getir apabila bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia pada suku akhir hari ini.

Chong Wei terdahulu mengalahkan pemain Hong Kong, Agus Haryanto 15-9, 15-3 di pusingan kedua, sementara Taufik menumpaskan pemain Singapura, Kendrick Lee 15-11, 15-6 pada pusingan ketiga dan menang 15-11, 15-7 ke atas Hidetaka Yamada dari Jepun di pusingan kedua.

Hafiz, pilihan keenam pula menundukkan pemain nombor satu Korea Selatan, Shon Seung-mo 15-10, 15-11.

Juara Terbuka Thailand dan Switzerland itu akan bertemu pemain nombor tiga dunia dan juara Terbuka Malaysia 1998, Peter Gade-Christensen dari Denmark yang menumpaskan naib juara dunia, Wong Choong Hann 15-11, 15-1 dalam laluan ke suku akhir.

``Saya gembira dapat meneruskan cabaran untuk mempertahankan kejuaraan tetapi bertemu Taufik di suku akhir adalah laluan yang amat sukar.

``Rekod berpihak kepada Taufik tetapi hanya sekali iaitu dia mengalahkan saya di Kejohanan Asia tahun lalu,'' kata Chong Wei.

Terdahulu, cabaran lima lagi perseorangan negara, Muhd. Roslin Hashim, Kuan Beng Hong, Sairol Amar Ayob, Yeoh Kay Bin dan K. Yogendran berakhir pada pusingan kedua.

Roslin kandas 15-4, 6-15, 7-15 kepada Gade-Christensen, Beng Hong pula tewas 13-15, 8-15 kepada Sony Dwi-Kuncoro dari Indonesia dan Sairol tumpas kepada jaguh China, Chen Hong 16-17, 15-10, 9-15. Kay Bin pula tunduk kepada Joachim Persson dari Denmark, 15-10, 10-15, 16-17, manakala Yogendran kalah kepada Kenneth Jonassen 15-1, 15-1.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ii0l6r3p
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan