Sabtu, 17 Disember 2016

Fokus kecergasan Chong Wei

 Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Perkara paling penting bukan ketiadaan Chen Long tetapi tahap kecergasan Datuk Lee Chong Wei (gambar) untuk beraksi di Siri Super Akhir di Dubai pada 14 hingga 18 Disember ini.

Perkara itu disuarakan jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan yang mengakui anak buahnya tetap akan memberi fokus sepenuhnya mengharungi kejohanan berkenaan walaupun tanpa bintang China itu.


“Apa yang paling penting sekarang tahap kecergasan Chong Wei, tidak kira siapa tarik diri, fokus hanya diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, keinginan tinggi ditunjukkan Chong Wei untuk kembali beraksi selepas hampir dua bulan berehat bakal menjadi tonik buat dirinya di kejohanan berkenaan.

“Chong Wei sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring. Tahap kecergasan juga memuaskan tapi jika mahu dibandingkan dengan prestasinya ketika Olimpik sudah pasti berbeza kerana sebelum Olimpik persiapan memang rapi.

“Saya nampak dia menunjukkan kemahuan tinggi untuk kembali beraksi dalam kejohanan.

“Selepas sudah lama tidak beraksi, dia rindu untuk bermain di peringkat tertinggi. Itu yang membuatkan semangatnya membara sekali gus mengukir petanda positif untuk dia memberikan aksi terbaik,” katanya.

Chong Wei mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi di Terbuka Denmark, Oktober lalu sehingga menyaksikan dia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Perancis, China dan Hong Kong.

Peluang Chong Wei untuk merangkul gelaran kelima pada kejohanan itu nampak cerah selepas pemenang emas Olimpik Rio 2016, Chen Long menolak tiket wild card yang diberikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Tempat Chen Long akan digantikan dengan pemain Hong Kong, Hu Yun. Turut akan bersaing di Dubai nanti Angus Ng Ka Long (Hong Kong), Son Wan Ho (Korea Selatan), Marc Zwiebler (Jerman), Tian Houwei (China), Jan O Jorgensen (Denmark) dan Viktor Axelsen (Denmark).

Sebagai rekod, Chong Wei sudah empat kali merangkul gelaran Siri Super Akhir pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 11:07 AM

Chong Wei juara badminton remaja

ARKIB : 27/03/2000
LEE Chong Wei menewaskan Kuan Beng Hong untuk menjuarai perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Remaja Proton/Eon 2000 di Melaka, semalam.

Lee, 18, pemain pilihan pertama, menang 8-15, 15-9, 15-7 dalam perlawanan tiga set mengungguli pilihan kedua, Kuan dalam kategori lelaki Bawah 18.

''Matlamat saya ialah cuba memenangi pingat emas pada kejohanan Sukma akan datang,'' kata Lee, pelatih di Akademi Badminton yang akan mewakili Pulau Pinang.

Terdahulu, Lee yang berpasangan dengan Chin Eei Hui menjuarai beregu campuran menewaskan pasangan Gan Teik Chai dan Wong Mei Chooo 15-13, 15-8.

Pasangan Lin Woon Fui dan Mohamed Fairuzizuan melakukan kejutan untuk menjuarai beregu lelaki bawah 18 menewaskan pilihan kedua, Gan Teik Chai dan Tan Chin Lee 7-15, 15-12, 15-12.

Pasangan juara itu terdahulu menewaskan pilihan pertama, Danny Ong dan Poh Kang Yow 15-8, 4-15, 15-9 pada separuh akhir.

Sirkit Melaka ialah pembuka tirai kejohanan remaja kebangsaan tahun ini. Sirkit seterusnya akan berlangsung di Selangor bulan depan. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4T770OOea © Utusan Melayu (M) Bhd