Khamis, 21 Disember 2017

Harapan tinggi Chong Wei juarai All England

ARKIB : 20/02/2009
KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei membawa harapan besar negara untuk menjadi pemain kedua dari Malaysia menjuarai kejohanan badminton All-England di Birmingham bermula 3 Mac ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menaruh harapan tinggi kepada Chong Wei dan yakin beliau mampu mengulangi kejayaan yang pernah dicipta oleh Muhammad Hafiz Hashim pada edisi 2003.

"Chong Wei telah berjanji kepada saya yang beliau akan menumpukan sepenuh perhatian untuk perlawanan tersebut," katanya kepada Bernama semalam.

Ismail Sabri berkata, beliau yakin Chong Wei mempunyai keupayaan dari segi bakat dan permainan untuk menjuarai kejohanan badminton All England nanti.

Dalam undian Kejohanan All England, Chong Wei mendapat laluan mudah pada peringkat awal apabila beliau diundi bertemu dengan pemain bukan pilihan dari China, Lu Yi pada perlawanan pembukaan nanti.

Pada perlawanan pusingan kedua nanti, beliau dijangka sama ada bertemu dengan pemain Thailand, Boonsak Ponsana atau Marc Zwiebler dari Jerman.

Halangan bagi pemain berusia 25 tahun itu mungkin di peringkat suku akhir apabila beliau dijangka bertemu pemain nombor lima dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Pada kejohanan yang sama tahun lepas, Chong Wei hanya mampu mara ke peringkat separuh akhir setelah tunduk kepada pemain China, Chen Jin 18-21, 18-21. Chen Jin kemudian muncul juara setelah menewaskan rakan senegara Lin Dan 22-20, 25-23.

Saingan utama bagi Chong Wei, pilihan utama pada kejohanan kali ini ialah Chen Jin, yang juga pemain nombor tiga dunia, yang akan mempertahankan kejuaraan sebagai pemain pilihan ketiga manakala Lin Dan, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008, diletakkan sebagai pilihan kedua.

Tiga lagi pemain perseorangan lelaki yang akan menggalas cabaran negara ke kejohanan yang mula diperkenalkan pada 1899 itu adalah Wong Choong Hann, Sairul Amar Ayob dan Lee Tsuen Seng.

Tiga pasangan beregu lelaki negara yang bertanding dalam kejohanan tersebut adalah juara beregu lelaki Kejohanan All England 2007, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen.

Pada edisi kali ini, hanya seorang pemain perseorangan wanita negara turut serta iaitu, Julia Wong Pei Xian.

Acara beregu wanita diwakili oleh pasangan Chin Wei Hui-Wong Pei Tty manakala dua beregu pelapis negara, Haw Chiou Hwee-Lim Pek Siah serta Goh Liu Ying-Ng Hui Lin akan beraksi pada pusingan kelayakan. - Bernama
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz51ukH2xud

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan