Rabu, 31 Mei 2017

Belum selamat



KUALA LUMPUR - Kejayaan Lee Chong Wei mempertahankan kejuaraan badminton Terbuka Malaysia kelmarin belum cukup untuk memberi bayangan yang lebih cerah kepada skuad negara apabila beraksi pada Kejohanan Dunia bulan depan.

Selain Chong Wei, hanya Muhammad Hafiz Hashim berjaya melayakkan diri ke suku akhir perseorangan lelaki, manakala hanya dua pemain beregu Chan Chong Ming-Koo Kien Keat berjaya melangkah ke peringkat yang sama dalam beregu lelaki.

Dua minggu lalu, Chong Wei terkandas pada pusingan ketiga Terbuka Singapura selepas tewas 13-15, 15-6, 4-15 kepada pemain bukan pilihan, Lee Hyun-il dari Korea Selatan.

Seminggu kemudian, dia menumbangkan juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dan pemain nombor satu dunia, Lin Dan untuk merangkul gelaran Terbuka Malaysia.

Keputusan kontras yang dipamerkan Chong Wei pada Terbuka Singapura dan Malaysia dalam tempoh seminggu jelas menunjukkan betapa tahap konsistensi pemain-pemain negara masih boleh diragui.

Sebab itu ketika dia mengejutkan Taufik 15-5, 15-0 pada suku akhir, jurulatihnya, Li Mao berkata: ``Chong Wei jangan besar kepala hanya kerana mengalahkan Taufik, harap anda tidak menulis sesuatu yang membuatkan dia berasa begitu megah.''

Perkara yang hampir sama berlaku ke atas juara Seluruh England 2003, Muhd. Hafiz Hashim yang tewas mengejut kepada Ng Wei dari Hong Hong di pusingan ketiga Terbuka Singapura tetapi menumbangkan juara dunia, Xia Xuanze dari China 15-7, 15-0 pada pusingan awal Terbuka Malaysia.

Hafiz, yang mempunyai reputasi lebih baik di luar negara berbanding ketika beraksi di gelanggang sendiri kemudian kalah 10-15, 15-12, 5-15 kepada jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen.

Hanya Chong Wei dan Hafiz layak suku akhir selepas lima lagi perseorangan utama, Wong Choong Hann, Muhd. Roslin Hashim, Kuan Beng Hong, Lee Tsuen Seng dan Yeoh Kay Bin gagal di peringkat lebih awal.

Pencapaian Malaysia dalam beregu lelaki juga kurang memberangsangkan apabila hanya Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock berjaya melayakkan diri ke suku akhir.

Bagaimanapun beregu muda, Mohd. Zakry Latif-Gan Taik Chai berjaya mempamerkan peningkatan besar dan hampir mengejutkan pilihan utama, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto kalah 8-15, 15-11, 17-15 di pusingan pertama.

Beregu veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang beraksi dalam pertandingan antarabangsa kedua sekembalinya Wan Wah daripada kecederaan turut tewas kepada beregu Indonesia itu 2-15, 17-16, 7-15.

Terdahulu, Tan Fook, yang akan berpasangan dengan Chew Choon Eng pada Kejohanan Dunia dan Wan Wah menumpaskan pasangan berpengalaman Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian 17-16, 15-12 di pusingan pertama.

Luluk-Alven juga adalah beregu yang mengecewakan Chong Ming-Kien Keat 17-16, 15-7 di suku akhir, manakala Bin Shen-Soon Hock tumpas kepada pasangan China, Sang Yang-Xi Zhongbo 16-17, 15-9, 12-15 di peringkat yang sama.

Satu lagi beregu muda yang akan membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui pula tewas 15-5, 5-15, 12-15 kepada juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun dari China di pusingan ketiga.

Selain daripada persembahan sederhana yang dipamerkan pemain-pemain negara di Terbuka Malaysia edisi 2005, perkembangan yang lebih menarik tumpuan pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM456,000) itu adalah sambutan hebat yang kembali diberikan oleh peminat badminton tanah air.

Lebih 5,000 penonton membanjiri Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras setiap hari sejak pusingan ketiga Khamis lalu sehingga perlawanan akhir kelmarin, suasana yang sudah lama tidak dapat dilihat sejak Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992.

Kepercayaan yang kembali diberikan oleh peminat sukan negara ini diharap mampu meningkatkan semangat pemain-pemain Malaysia untuk mencatat keputusan lebih baik pada Kejohanan Dunia kerana kejuaraan di gelanggang sendiri bukan satu pencapaian yang terlalu dibanggakan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iihv5PWq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gade akui kehebatan Chong Wei



ARKIB : 12/07/2005
KUALA LUMPUR - Jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen memilih pemain nombor satu Malaysia, Lee Chong Wei sebagai antara lima perseorangan lelaki yang paling konsisten tahun ini dan bakal menjadi tumpuan pada Kejohanan Badminton Dunia di Aneheim, Amerika Syarikat bulan depan.

Menurut Gade-Christensen, selain Chong Wei, yang baru mempertahankan gelaranTerbuka Malaysia, dua jaguh China iaitu pemain nombor satu dunia, Lin Dan dan juara Seluruh England, Chen Hong, juara Olimpik, Taufik Hidayat dan dirinya adalah empat lagi pemain yang turut menunjukkan prestasi konsisten sejak hujung tahun lalu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, China tetap menjadi pilihan utama untuk menguasai acara perseorangan lelaki walaupun tidak menurunkan penyandang juara, Xia Xuanze kerana prestasi Chen Hong dan Lin Dan meletakkan negara itu dalam kedudukan yang baik.

``Saya percaya Chen Hong dan Lin Dan menjadi calon utama untuk melangkah hingga ke separuh akhir, dua lagi tiket akan menjadi perebutan di antara saya, Taufik dan Chong Wei yang saya nampak tiga lagi pemain yang paling konsisten sejak akhir tahun lalu,'' kata Gade-Christensen, yang melayakkan diri ke separuh akhir Terbuka Malaysia sebelum tumpas kepada Lin Dan.

``Ada dua atau tiga lagi nama yang saya percaya mampu mencipta kejutan di Amerika Syarikat seperti Kenneth (Jonassen, Denmark), Hafiz (Hashim) dan Bao Chunlai (China) tetapi saya percaya keputusan perlawanan adalah berdasarkan prestasi semasa, lima nama awal yang sebutkan tadi mampu mengisi empat daripada tiket separuh akhir.'' Menurut Gade-Christensen, yang juga juara Terbuka Korea dan naib juara Eropah, Chen Hong merupakan pemain paling mantap sejak Ogos lalu dengan muncul naib juara Terbuka Singapura 2005, naib juara Terbuka Jepun 2005, Seluruh England 2005 serta naib juara Indonesia 2004.

Bekas juara Asia itu jarang kandas pada peringkat lebih awal, sebaliknya akan melayakkan diri sekurang-kurangnya hingga ke peringkat suku, separuh atau akhir sebelum tumpas kepada lawannya, yang kebiasaannya adalah pemain-pemain pilihan.

Katanya, juara Terbuka Taiwan, Chong Wei juga mempunyai permainan konsisten dalam kebanyakan kejohanan walaupun tewas di pusingan ketiga Terbuka Singapura minggu lalu. Juara kebangsaan itu mara ke separuh akhir Seluruh England, suku akhir Terbuka Jepun, separuh akhir Terbuka Jerman, suku akhir Terbuka Indonesia dan naib juara Terbuka Singapura 2004, selain mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia selepas menumpaskan Lin Dan di final, malah menumpaskan Taufik di suku akhir.

Katanya lagi, Lin Dan dan Taufik pastinya dua nama yang tidak boleh diketepikan daripada senarai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan 15-21 Ogos itu berdasarkan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa.

Selain muncul naib juara Terbuka Malaysia, Lin Dan juga melangah ke separuh akhir Terbuka Singapura, selain merupakan juara Terbuka Jepun, naib juara Seluruh England, juara Terbuka Jerman, juara Terbuka China, Jerman dan Denmark, separuh akhir Terbuka Indonesia, (Ogos, 2004). Juara Olimpik, Taufik pula muncul juara Terbuka Singapura, suku akhir Terbuka Malaysia, separuh akhir Terbuka Jepun, juara Terbuka Indonesia, separuh akhir Terbuka China dan juara Asia. Sementara Gade-Christensen pula menunjukkan persembahan konsisten dengan melayakkan diri suku akhir Terbuka Singapura, separuh akhir Terbuka Malaysia, suku akhir Terbuka Jepun, naib juara Terbuka Switzerland, juara Terbuka Korea dan naib juara Eropah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iiganzM6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei pertahan gelaran



ARKIB : 11/07/2005
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KEJAYAAN Lee Chong Wei (dua dari kiri) menjuarai kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Stadium Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Cheras semalam turut diraikan bersama oleh Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor serta Presiden BAM, Nadzmi Mohd. Salleh.


KUALA LUMPUR - Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei menjinakkan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China untuk muncul pemain pertama mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas Rashid Sidek pada 1992.

Turun sebagai pilihan keempat, Chong Wei diheret untuk beraksi dalam perlawanan 88 minit sebelum menumpaskan pilihan pertama, Lin Dan 17-15, 9-15, 15-9 di hadapan 5,000 penonton di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Bekas pemain nombor satu negara, Rashid menjadi pemain terakhir mempertahankan gelaran perseorangan lelaki ketika memenangi kejohanan 1992, 13 tahun lalu selain mencipta hatrik dengan muncul juara 1990, 1991 dan 1992.

Kemenangan bakal memperbaiki ranking dunia juara kebangsaan itu, yang jatuh empat anak tangga ke tempat kelapan Khamis lalu, selepas kandas di pusingan ketiga Terbuka Singapura minggu lalu.

Selain meraih wang tunai AS$9,600 (RM36,480), apa yang lebih penting, kejayaan ini memberi motivasi tambahan buat Chong Wei apabila membawa cabaran negara pada Kejohanan Dunia di Anaheim, Amerika Syarikat bulan depan.

``Kemenangan ini jauh lebih bermakna berbanding tahun lalu. Mulanya, saya tidak fikir mara hingga ke separuh akhir apalagi terpaksa bertemu Taufik Hidayat di suku akhir,'' kata Chong Wei.

``Apabila mara ke perlawanan akhir, saya merasakan peluang ke atas Lin Dan agak sukar. Saya akui dia jauh lebih baik tetapi di atas gelanggang saya hanya memberikan yang terbaik dan saya tidak mahu mengalah walaupun ketinggalan 0-7.''

Chong Wei yang beraksi dalam final Terbuka Malaysia buat kali ketiga berturut-turut berkata, kemenangan itu memberi keyakinan kepadanya untuk menetapkan separuh akhir sebagai sasaran di Kejohanan Dunia.

Begitupun, namun juara Terbuka Taiwan itu tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi kerana bimbang apa yang berlaku pada Sukan Olimpik Athens tahun lalu akan berulang.

``Selepas memenangi Terbuka Malaysia tahun lalu, semua orang memberi tumpuan kepada saya ketika beraksi di Sukan Olimpik. Saya mengalahkan Chen Hong di separuh akhir Terbuka Malaysia tetapi dia menewaskan saya pada pusingan ketiga di Athens,'' kata Chong Wei.

Sebelum menundukkan Lin Dan, Chong Wei mengetepikan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Taufik dari Indonesia 15-5, 15-0 pada suku akhir dan menyingkirkan bintang muda China, Bao Chunlai 11-15, 15-12, 15-9 di separuh akhir.

Perlawanan semalam, yang turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor nyata dikuasai Lin Dan yang bermain agresif sejak awal permainan, tetapi kerap melakukan kesilapan hingga memberi mata kepada lawan.

Strategi Chong Wei yang sering menghantar bola ke baseline sebelum bermain di jaring sering memerangkap juara Terbuka Jepun, Jerman serta China itu dan menyekatnya daripada mempamer permainan sebenar.

Chong Wei ketinggalan dalam kesemua set. Pada set pembukaan dia ketinggalan 0-7, 1-9 dan 1-10 sebelum menang 15-19, dia kemudian ditinggalkan 0-4 dan 3-10 pada set kedua, malah turut ketinggalan 0-7 dan 4-8 di set penentuan sebelum menang 15-9.

Sementara itu, beregu handalan Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto merangkul kejuaraan kedua dalam tempoh seminggu selepas menewaskan juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun dari China 15-11, 17-14 pada saingan akhir beregu lelaki. Candra-Sigit menjuarai Terbuka Singapura, minggu lalu.

China, tuan rumah Sukan Olimpik 2012 dan juara berganda Piala Thomas serta Uber tahun lalu meneruskan dominasi mereka dalam acara wanita apabila menguasai empat tempat akhir dalam kedua-dua perlawanan.

Juara Olimpik, Zhang Ning mempertahankan kejuaraan perseorangan wanita selepas menumpaskan Zhu Lin 11-6, 11-2, penyandang juara beregu wanita dan pasangan nombor satu dunia, Zhang Wei-Zhang Jiewen pula mengalahkan beregu nombor dua dunia, Gao Ling-Huang Sui 15-6, 15-8.

Pasangan Lee Jae Jin-Lee Hyo Jung membawa pulang satu kejuaraan buat Korea Selatan apabila muncul juara beregu campuran selepas menewaskan Chen Qiqiu-Zhao Tingting dari China 15-12, 15-11.

KEPUTUSAN (akhir)

LELAKI perseorangan - LEE CHONG WEI (MAS) kln Lin Dan (Chn) 17-15, 9-15, 15-9.

Beregu - Candra Wijaya (Ina) kln Fu Haifeng-Cai Yun (Chn) 15-11, 17-14.

WANITA perseorangan - Zhang Ning (Chn) kln Zhu Lin (Chn) 11-6, 11-2.

Beregu _ Yang Wei-Zhang Jiewen (Chn) kln Gao Ling-Huang Sui (Chn) 15-6, 15-8.

Beregu campuran - Lee Jae Jin-Lee Hyo Jung (Kor) lwn Chen Qiqiu-Zhao Tingting (Chn) 15-12, 15-11.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iiZkZc2U
© Utusan Melayu (M) Bhd

Juara Olimpik mangsa Chong Wei



ARKIB : 09/07/2005

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
JUARA Olimpik, Taufik Hidayat membayangkan kekecewaannya selepas tewas 5-15, 0-15 kepada pemain negara Lim Chong Wei (kanan) yang beraksi cemerlang pada saingan badminton Terbuka Malaysia di Stadium KLBA, Cheras, semalam untuk mara ke separuh akhir. - Gambar NORADZRENE MOHD NOOR.

KUALA LUMPUR - Lee Chong Wei menumbangkan juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat 15-5, 15-0 untuk muncul wakil tunggal negara layak ke separuh akhir badminton Terbuka Malaysia, sekali gus menghampiri impian untuk mempertahankan kejuaraan di Stadium KLBA, Cheras semalam.

Kecemerlangan Chong Wei, juara 2004 dan naib juara 2003 gagal diteruskan oleh Muhammad Hafiz Hashim yang kandas 10-15, 15-12, 5-15 kepada pemain nombor tiga dunia dan juara 1998, Peter Gade-Christensen dari Denmark.

Turut kandas adalah beregu utama negara, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, selain pasangan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Chong Wei, pilihan keempat kini akan berdepan pilihan kelima, Bao Chunlai dari China pada separuh akhir ini, iaitu mengulangi pertemuan kedua-dua pemain pada suku akhir tahun lalu, di mana Chong Wei menang 15-10, 15-11.

Sokongan padu lebih 5,000 penonton di Stadium KLBA nyata menyemarakkan semangat Chong Wei untuk menumbangkan Taufik lebih awal apabila hanya mengambil masa 30 minit ketika mencatat kemenangan pertama ke atas juara baru Terbuka Singapura itu daripada empat pertemuan mereka.

Hantaran ke baseline dan pukulan drop-shot yang sering dilakukan oleh juara kebangsaan itu menyukarkan Taufik untuk membalas, apatah lagi dia tidak dapat berasi di bawah keupayaan 100 peratus kerana mengalami masalah kekejangan otot perut sepanjang permainan.

Chong Wei, 23, yang memburu kejuaraan antarabangsa pertamanya tahun ini mendominasi permainan sepenuhnya terutama pada set kedua apabila dia memerlukan tidak sampai 10 minit untuk mencatat kemenangan 15-0. Malah di set pertama, dia mendahului 5-0, 9-2, 14-5 sebelum menang 15-5.

``Saya bermain baik hari ini tetapi saya tidak fikir Taufik beraksi di bawah keupayaan sebenar. Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi saya percaya ada sesuatu yang menganggu permainannya,'' kata Chong Wei.

``Apapun gembira dapat melepasi halangan yang pada awalnya saya ramalkan 50-50. Esok (hari ini) saya akan bertemu Bao Chunlai untuk kali ketiga pada kejohanan ini, saya mempunyai keyakinan tinggi ke atasnya selepas menang semua pertemuan kami yang terdahulu tetapi ia tidak bermakna dia adalah lawan yang boleh diambil mudah.''Jurulatih perseorangan negara, Li Mao tidak mahu Chong Wei terlalu berbangga dengan kejayaan menumbangkan juara Olimpik kerana beliau percaya perlawanan akan lebih sengit sekiranya jaguh Indonesia itu berjaya menggunakan kekuatan penuh.

Sementara itu Taufik enggan menjadikan masalah kecederaan sebagai punca kekalahan, sebaliknya dia menegaskan, Chong Wei berhak memenangi perlawanan semalam selepas menunjukkan permainan yang agresif dengan smash deras serta drop-shot yang cantik.

Katanya lagi, Chong Wei adalah pemain yang jauh lebih baik berbanding ketika mereka bertemu buat kali pertama pada Kejohanan Asia dua tahun lalu, di mana Taufik pulang sebagai juara.

``Memang saya tidak berapa selesa malam ini tetapi itu bukan punca saya kalah. Chong Wei berhak mendapat kredit, dia bermain dengan baik dan pergerakannya amat kemas dari awal sehingga akhir permainan. Saya kalah kepada pemain yang baik,'' kata Taufik.

Hafiz pula harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyekat Gade-Christensen, pemain yang telah mengalahkan abangnya, Muhd. Roslin Hashim pada pusingan ketiga kelmarin walaupun memegang rekod pertemuan ke atas bekas pemain nombor satu dunia itu, malah mengalahkannya pada perlawanan persahabatan di Kedah, bulan lalu.

Juara Terbuka Switzerland dan Thailand itu menunjukkan permainan yang lemah dengan pergerakan kurang bermaya pada set pembukaan, sehingga ketinggalan 3-7, 3-8, 4-11 dan 5-13 sebelum memberikan mata kemenangan kepada Gade-Christensen pada kedudukan 10-15.

Pilihan keenam itu sekali lagi ketinggalan di set kedua, tetapi berjaya bangkit daripada kedudukan 0-4 kepada 2-5, 3-6 kepada 7-7 dan akhirnya menang 15-12 bagi mengheret permainan ke rubber-set. Gade-Christensen bagaimanapun menunjukkan penguasaan yang baik di set penentuan untuk menang 15-5.

Perjalanan beregu lelaki negara pula berakhir apabila Chong Ming-Kien Keat kalah kepada pilihan pertama, Luluk Hadiyanto-Alvin Yulianto dari Indonesia 16-17, 7-15, manakala Bin Shen-Soon Hock tunduk 16-17, 15-9, 12-15 pasangan China, Sang Yang-Xie Zongbo.

Terdahulu, Pei Tty-Eei Hui hanya memberi tentangan pada set pertama sebelum mengalah mudah 11-15, 2-15 kepada pasangan utama China, Yang Wei-Zhang Jiewen.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ii2v0RCm
© Utusan Melayu (M) Bhd