Sabtu, 21 Oktober 2017

Pertemuan Chong Wei-Hafiz jadi tumpuan



ARKIB : 15/01/2008

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR – Pertemuan dua anak didik Misbun Sidek, Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim esok bakal menjadi tumpuan awal Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang akan memulakan kempennya hari ini.

Kedua-dua perseorangan utama negara itu membawa misi berbeza pada kejohanan sulung Siri Super 2008 itu, namun mereka bakal mencuri perhatian selepas hubungan dingin yang melanda Hafiz-Misbun kurang seminggu sebelum pertandingan bermula.

Perkara yang menimbulkan tanda tanya kepada peminat badminton tanah air kini - apakah keutamaan Misbun? Sama ada membantu Chong Wei merampas kembali kejuaraan yang dimenanginya pada 2004, 2005 dan 2006 atau membantu pemain yang sering memberi masalah kepadanya, Hafiz untuk melangkah lebih jauh bagi menghidupkan peluang beraksi di Sukan Olimpik.

Jika pusingan pertama Terbuka Malaysia tahun lalu sesak dengan penonton yang teruja untuk melihat pertembungan antara juara dunia, Lin Dan dari China dan juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia pada saingan awal, senario yang sama dijangka berulang di Stadium Putra, Bukit Jalil esok.

Bagi Chong Wei, 25, yang turun selaku pilihan pertama, pertembungan dengan Hafiz pada awal saingan bukan sesuatu perkara baru dan tidak memberi sebarang sentimen.

Ini bukan kali pertama kedua-dua pemain itu terpaksa berentap dalam aksi pembukaan Siri Super. Tahun lalu, Hafiz menewaskan Chong Wei pada pusingan pertama Terbuka Singapura tetapi kalah kepada rakannya itu di pusingan pertama Terbuka Jepun, beberapa bulan kemudian.

Bagi Hafiz, 25, pula dia memiliki pengalaman berdepan situasi yang mampu membangkitkan sentimen lebih hebat, berdepan abangnya sendiri, Mohd. Roslin Hashim pada pusingan awal, selain bertemu Chong Wei.

Justeru, apabila ditemukan sekali lagi dengan rakan sepelatihnya itu di Terbuka Malaysia, dia menganggap ia sebagai perkara biasa, namun di sebaliknya perlawanan yang dianggap ‘biasa’ itu, sebenarnya wujud satu tekanan yang hebat kerana Hafiz sebenarnya terdesak mencari keputusan terbaik dengan tempoh kelayakan Olimpik hanya tinggal empat bulan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w91frBIW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan