Sabtu, 25 Mac 2017

Pengalaman beri Hafiz kejuaraan



ARKIB : 15/09/2002
JUARA Sukan Komanwel 2002, Muhammad Hafiz Hashim terpaksa bertungkus lumus apabila diberi tentangan habis-habisan lawannya dari Pulau Pinang, Lee Chong Wei sebelum menjuarai acara perseorangan badminton Sukma IX di Sabah semalam.

Ternyata pengalaman Hafiz memberi kelebihan padanya untuk menang 15-12, 15-12 walaupun pada satu ketika pemain kebangsaan itu banyak membuat kesilapan selepas diasak Chong Wei.

``Saya menggunakan sepenuh pengalaman yang ada untuk menewaskan Chong Wei yang tampak cukup bersemangat dan menanam azam yang tinggi untuk menewaskan saya.

``Dia bermain pantas dan sentiasa cuba memerangkap saya dijaring dan menghantar bola rendah. Tetapi selepas mendahului 6-0 di set kedua, saya sudah yakin untuk menang,'' katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan kerap dipaksa membuat kesilapan sebaliknya Hafiz mengakui cuba memperlahankan rentak permainan dan pergerakan lawannya setiap kali selesa mendahului tetapi gagal.

``Ini memberi peluang kepada Chong Wei untuk memungut mata tetapi apabila tiba di penghujung permainan, saya akan kembali pantas menyerang untuk cepat menamatkan permainan,'' jelasnya.

Sementara itu, Chong Wei ketika ditemui berkata, dia akur dengan kehebatan Hafiz yang bijak mengawal gelangang dan melakukan serangan.

``Dia memang pemain hebat dan bertaraf dunia. Walaupun saya menggunakan pelbagai cara untuk menewaskannya, dia masih tenang dan bijak membuat serangan.

``Saya kalah pada permainan menyerangnya. Malah saya telah memberikan yang terbaik untuk menewaskannya tetapi dia lebih hebat,'' jelasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cKn5629u
© Utusan Melayu (M) Bhd