Ahad, 27 Jun 2021

Chong Wei tidak ke Tokyo?

2021-06-27T01:00:01+08:00



Reezal ketika sidang media selepas mengadakan lawatan meninjau persiapan terakhir atlet berbasikal negara di Velodrom Nasional, Nilai semalam. Turut sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan). — Gambar Bernama

SIDANG MEDIA: Reezal ketika sidang media selepas mengadakan lawatan meninjau persiapan terakhir atlet berbasikal negara di Velodrom Nasional, Nilai semalam. Turut sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan). — Gambar Bernama

NILAI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menerima sebarang maklumat berhubung keputusan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 Datuk Lee Chong Wei, untuk tidak menyertai kontinjen negara ke temasya sukan terbesar dunia itu, bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau sering berhubung dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, tentang perkembangan kontinjen negara menjelang Sukan Olimpik Tokyo, namun tidak dimaklumkan tentang perkara itu.

Kelaziman dalam soal CDM (chef de mission) keputusan dibuat MOM dan MOM biasanya akan memaklumkan kepada saya, tapi pada waktu ini maklumat itu belum lagi sampai, belum lagi dimaklumkan kepada saya tentang kedudukan Chong Wei, atau pun kalau ada sebarang kemungkinan perubahan yang akan berlaku.

Jadi saya serahkan semuanya kepada MOM, katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir skuad berbasikal trek negara ke Sukan Olimpik di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai di sini, semalam.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali, dilaporkan tidak akan menyertai atlet negara ke Tokyo susulan faktor kesihatan.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan skuad berbasikal trek negara, Reezal berkata dua atlet iaitu jaguh dunia Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom, menunjukkan keazaman tinggi dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Beliau berkata kedua-dua atlet itu juga telah bersedia sepenuhnya, malah kini berada pada tahap semangat tertinggi untuk memberikan persembahan terbaik di Tokyo.“Saya yakin dengan persiapan serta bantuan jurulatih John Beasley dan pembantunya, atlet berbasikal trek negara yang akan mewakili Malaysia ke Olimpik nanti, terutama dalam acara keirin dan pecut, bakal memberi satu harapan kepada kita,” katanya.

Reezal dari jauh turut sempat memberikan kata-kata semangat kepada Mohd Azizulhasni dan Shah Firdaus, yang berada dalam gelembung sukan ketika ini.

Saya kata ‘fight on’, itulah satu kata-kata hikmah Jepun, Gambate, jadi inilah semangat yang perlu dibawa ke Tokyo,” kata Reezal.

Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni dan Shah Firdaus, masing-masing meraih pingat emas acara pecut dan keirin pada kejohanan simulasi Sukan Olimpik di Velodrom Nasional Malaysia yang berakhir semalam.

Kejohanan simulasi selama tiga hari itu disertai barisan atlet podium dan pelapis skuad berbasikal trek negara yang berada dalam gelembung sukan. — Bernama.1

__________________________________________________

1https://www.utusanborneo.com.my/2021/06/27/chong-wei-tidak-ke-tokyo

Ahad, 30 Ogos 2020

Tanda aras Chong Wei terlalu tinggi

 ANALISIS SEMASA

LEE CHONG WEI

Tanda aras Chong Wei terlalu tinggi

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

27 Julai 2020, 8:52 pmMUHAMMAD HELMEE RAMLI

KETIKA berada di kemuncak, kemampuan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei apabila melangkah masuk ke gelanggang sememangnya tidak dapat dipertikaikan dan sukar digugat oleh mana-mana pemain.


Tidak kira dalam apa kejohanan sekalipun, kehadirannya sentiasa ditagih dan diharapkan oleh jutaan rakyat Malaysia.


Meskipun menggantung raket tanpa kejuaraan dunia serta pi­ngat emas Sukan Olimpik, namun nama Chong Wei sudah tersemadi sebagai salah seorang pemain terulung negara.


Justeru, ramai yang menganggap ketiadaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu bakal membuatkan arena badminton negara suram.


Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti untuk cuba mencari pengganti Chong Wei memandangkan beliau sukar dicari ganti, sebaliknya berusaha melahirkan lebih ramai jaguh baharu.


Selain itu, tabiat suka melabelkan pemain muda sebagai pengganti Chong Wei juga harus dihentikan kerana ia memberi tekanan dan mengganggu perkembangan mereka.


Pemain perseorangan No.1 negara ketika ini, Lee Zii Jia juga pernah menyuarakan isi hatinya supaya dia tidak dibandingkan dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu.


Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan percaya tidak mudah untuk mencari pemain yang memiliki ke­upayaan seperti Chong Wei, Taufik Hidayat dan Lin Dan.


“Di sini kita ada Chong Wei, Indonesia menerusi Taufik sementara China memiliki Lin Dan. Bukan mudah untuk mencari pengganti untuk tiga pemain ini kerana mereka sangat unik.


“Buat masa sekarang, saya setuju ini bukan masa untuk kita terus menerus mencari pengganti Chong Wei, sebaliknya kita cuba hasilkan pemain-pemain yang mampu mencabar kejua­raan,” tegas Hendrawan.


Berdasarkan prestasi semasa, Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia ketika ini memiliki kualiti terbaik untuk dilatih serta digilap bakatnya.


Pemain berusia 22 tahun itu mula mencuri perhatian apabila dia mengejutkan juara Olimpik 2016 dari China, Chen Long untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Seluruh England (All England) Mac lalu.


Selain Zii Jia, Cheam June Wei serta juara Kejohanan Remaja Asia 2017, Leong Jun Hao juga dilihat memiliki potensi menjadi antara pemain terbaik dunia.


Pada masa sama, bekas perseorangan No.1 dunia, Muhammad Roslin Hashim senada dengan Hendrawan agar lebih fokus menghasilkan juara baharu berbanding mencari pengganti Chong Wei.


Kata beliau, bakat seperti Chong Wei bukannya mudah untuk ditemui kerana memerlukan masa lama bagi mencari pemain yang sama dengan ‘Raja Siri Super’ itu.


“Saya setuju dengan pendapat untuk lahirkan juara baharu berban­ding mencari pengganti Chong Wei.


“Pemain akan memikul satu tekanan yang sangat tinggi apabila dilabelkan sebagai pengganti Chong Wei kerana penanda a­rasnya terlalu tinggi,” katanya.


Justeru, peminat badminton diseru agar bersabar dan memberi ruang kepada Persa­tuan Badminton Malaysia untuk menggilap bakat sedia ada.


Sekiranya pemain-pemain sedia ada tidak dibebani dengan jangkaan yang terlampau tinggi, sudah pasti mereka mampu berkembang dengan baik sekali gus menjadi pencabar pemain handalan dunia.sumber-analisis semasa kosmo online

Sabtu, 8 Februari 2020

Misbun jurulatih terbaik: Chong Wei

MyMetroArena
 
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
‘BENIH yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau’.

Pepatah itu bersesuaian untuk menggambarkan wibawa Datuk Misbun Sidek selepas dilantik menjadi Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan dan ia turut dipersetujui bekas pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Tidak kisah beliau diletakkan di bahagian mana sekali pun, beliau adalah jurulatih terbaik. Selepas menerima tugasan baharu itu saya yakin beliau akan memberikan yang terbaik,” kata Chong Wei ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia itu seakan-akan sudah masak dengan perwatakan Misbun yang mendidiknya sehingga berjaya berada pada kelas tersendiri di arena antarabangsa.

Ditanya adakah pemain remaja negara akan sentiasa dibayangi dengan ketegasan Misbun, Chong Wei mengakui bahawa itulah perwatakan sebenar legenda badminton negara.

“Memang mereka akan berasa takut, Misbun adalah legenda dan jurulatih nombor satu dalam Malaysia. Bukan mudah untuk sesiapa saja menjadi jurulatih membimbing pemain negara.

“Beliau mendidik saya sehingga menjadi pemain nombor satu dunia dan memenangi gelaran. Bukan saja pemain remaja, semua akan menghormati beliau termasuk saya sendiri kerana beliau yang menaikkan nama saya,” katanya.

Chong Wei yang bakal menjadi Chef-de-Mission ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkata, hubungan beliau dengan Misbun lebih daripada pemain dengan jurulatih.

“Beliau bukan seperti jurulatih, tapi bapa kepada saya. Bukan senang untuk membina hubungan rapat,” katanya.

Misbun, 59, sebelum ini adalah ketua jurulatih perseorangan lelaki sebelum dilantik memegang jawatan baharu itu baru-baru ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 6:01 AM

Jumaat, 15 Februari 2019

Pemburuan Chong Wei bermula


ARKIB : 08/08/2011
 
Lee Chong Wei akan memulakan kempen memburu kejuaraan dunia pertama di London menentang pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk, hari ini.

LONDON – Nama-nama besar sukan badminton berhimpun di Wembley Arena hari ini buat pertama kali sejak 1993 dengan Kejohanan Dunia sepanjang minggu ini disifatkan sebagai raptai bertaraf lima bintang bagi Olimpik tahun depan.

Antara 350 pemain dari 51 buah negara yang bertandang ke London ialah jagoan dunia termasuk juara tiga kali, Lin Dan dan pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Kali terakhir Wembley Arena menjadi gelanggang Kejohanan All-England ialah 18 tahun lalu sebelum ia berpindah venue ke Birmingham.

Badminton kembali ke Wembley Arena yang dinaik taraf kepada kompleks sukan yang mampu menampung 12,500 penonton, terletak bersebelahan dengan mercu tanda bola sepak terkemuka, Stadium Wembley.

“Tahun ini merupakan tahun gemilang untuk sukan Britain, kami berasa amat bangga dapat memainkan peranan kami.

“Memandangkan terdapat permintaan tinggi terhadap tiket bagi acara badminton pada Sukan Olimpik 2012, kami juga tumpang gembira kerana peminat dari seluruh dunia dapat menyaksikan barisan pemain terbaik dunia setahun sebelum Olimpik tahun depan,” ,” kata Ketua Eksekutif Badminton England, Adrian Christy.

Bekas juara Dunia dan Olimpik, Taufik Hidayat akan menjadi nama besar pertama yang beraksi pagi ini bagi bertemu pemain pada ranking ke- 61 dunia, Rodrigo Pacheco Carrillo.

Chong Wei, yang berada pada kemuncak prestasinya namun masih belum memiliki kejuaraan Dunia mahupun Olimpik, akan berdepan pemain Thailand yang menduduki ranking ke-31 dunia, Tanongsak Saensomboonsuk.

Lin Dan, juara Olimpik pula membuka kempen esok menentang wakil tunggal Lithuania, Kestutis Navickas, sementara rakan senegara yang juga juara Dunia, Chen Jin, akan diuji pemain No. 59 dunia dari Estonia, Raul Must.

China menyapu bersih kesemua lima kategori kejohanan di Paris tahun lalu dan kemampuan mereka untuk mengulangi pencapaian itu kali ini tidak mustahil.

Diketuai Wang Shixian dalam acara perseorangan wanita, negara Tembok Besar itu tampak terlalu unggul dalam acara wanita dan kekuatan mereka dalam acara beregu lelaki dan campuran juga tidak harus dipandang remeh. – REUTERS
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5fanZhlWh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Naluri Punch kuat memihak Chong Wei


 
ARKIB : 05/08/2011
Naluri Punch kuat memihak Chong Wei
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
Kejayaan Chong Wei memenangi enam daripada tujuh kejohanan yang disertai tahun ini juga cukup menceritakan prestasi pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu, meskipun rekodnya pada Kejohanan Dunia agak menggerunkan.

KUALA LUMPUR - Naluri legenda badminton negara, Datuk Punch Gunalan (gambar) kuat mengatakan bahawa jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mampu menghadiahkan kejuaraan dunia pertama buat Malaysia kali ini.

Jelas Punch, ada beberapa elemen yang diperlukan oleh seseorang pemain untuk meletakkan dia di puncak dunia seperti prestasi cemerlang, mental kuat dan tenang, Chong Wei memiliki semua elemen tersebut menjelang Kejohanan Dunia di London, minggu depan.

Tambah Punch lagi, apa yang membuatkan dia bertambah yakin dengan keupayaan Chong Wei, adalah melihat pemain berusia 29 tahun itu membuang 'badi' Lin Dan dalam pentas utama apabila menundukkan jaguh China itu pada final All England, Mac lalu untuk mempertahankan kejuaraan.

Katanya, kejayaan Chong Wei memenangi enam daripada tujuh kejohanan yang disertai tahun ini juga cukup menceritakan prestasi pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu, meskipun rekodnya pada Kejohanan Dunia agak menggerunkan.

Dalam lima penampilan terakhir, Chong Wei tidak pernah melangkah ke final manakala pencapaian terbaiknya hanyalah melayakkan diri ke separuh akhir dalam kemunculan sulung di Aneiheim, Amerika Syarikat pada 2005.

"Kalau anda tanya pandangan saya mengenai Chong Wei, saya yakin dia mampu memenangi Kejohanan Dunia kali ini... dia boleh menang kerana dia adalah pemain terbaik sekarang dan dia memiliki semua elemen yang diperlukan untuk menjadi juara.

"Dia mungkin tidak berjaya dalam lima percubaan terdahulu tetapi semua kegagalan itu sebenarnya telah menukar dia menjadi pemain yang lebih baik. Dia kini lebih matang dan bijak menangani tekanan dan kematangannya itu hadir seiring dengan prestasi yang semakin memuncak.

"Saya tidak berniat memperkecilkan lawannya yang lain, terutama Lin Dan, malah pada saya pemain China ini tetap ancaman besar yang perlu diberi perhatian, cuma saya nampak ada kekuatan baru dalam diri Chong Wei ketika ini dan naluri saya kuat mengatakan... dia akan menang,'' ujar Punch.

Punch, 67, yang masih dikenang sebagai pemain terakhir Malaysia berjaya merangkul pingat emas Sukan Asia 1970, selain juara All England 1971 (beregu) mengakui sentiasa mengikuti perkembangan jaguh No. 1 dunia itu, dan melihat perjalanan kariernya, justeru beliau menyifatkan sekarang adalah saat terbaik Chong Wei untuk meraih semua gelaran utama yang tidak pernah dimiliki.

Chong Wei, juara Terbuka Indonesia 2011, GP Emas Terbuka Malaysia 2011, Terbuka India 2011, All England 2011, Terbuka Malaysia 2011 dan Siri Super Masters Akhir akan memulakan kempen di London dengan menentang pemain berusia 20 tahun Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk, sebelum dijadual berdepan Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia, Park Sung Hwan dari Korea (pusingan ketiga) dan Chen Long di suku akhir.

Ada tiga pemain yang berpotensi menjadi lawannya pada separuh akhir, iaitu penyandang juara dunia, Chen Jin dari China, pilihan keempat dan juara 2005, Taufik Hidayat dari Indonesia, selain naib juara All England 2010, Kenichi Tago dari Jepun.

Selain Chong Wei, cabaran perseorangan Malaysia turut dipikul pemain veteran Wong Choong Hann, manakala Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi sandaran dalam beregu lelaki bersama Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How dan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah.

Semalam, semua pemain negara tiba di London selepas menjalani latihan lapan hari Universiti Bath, yang disifatkan oleh jurulatih dan pemain sebagai persiapan yang paling sempurna untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca serta perubahan masa pada hari kejohanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5faaN5goJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 3 Februari 2019

Chong Wei, Gade tentukan juara


ARKIB : 26/06/2011
Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menghitung pertemuan dengan wakil Denmark, Peter Hoeg Gade pada pentas akhir badminton Terbuka Indonesia hari ini.

Chong Wei, pemain tunggal negara yang meneruskan cabaran pada kejohanan itu menewaskan pemain muda China, Chen Long dalam saingan separuh akhir, semalam.

Sekiranya berjaya mengatasi Gade, Chong Wei bakal melakar hatrik setelah menjuarainya pada 2009 dan 2010.

Malah, kemenangan itu juga merupakan yang keempat buatnya setelah kali pertama meraih kejayaan Terbuka Indonesia pada 2007.

Chong Wei yang menjadi wakil tunggal Malaysia pada separuh akhir tidak berhadapan masalah mengetepikan cabaran Chen Long straight set 21-17, 21-18.

Kemenangan tersebut turut melebarkan rekod pertemuan yang berpihak kepada anak jati Bukit Mertajam, Pulau Chong Wei bermula baik pada set pertama setelah mendahului 12-4, sebelum Chen Long mengejar dari belakang bagi merapatkan jurang kepada 15-13.

Namun, menyedari lawan yang cuba bangkit, Chong Wei bertindak pantas untuk menamatkan saingan set pertama dengan kedudukan 21-17.

Pada set kedua, Chen Long yang menjadi wakil tunggal China dalam aksi perseorangan lelaki, mengemaskan permainannya untuk bersaing bagi mendahului 10-13.

Bagaimanapun, Chong Wei yang tidak mudah menyerah kalah, kembali memberikan tentangan sengit apabila mengikat kedudukan 14-14 sebelum menamatkan perlawanan 21-18.

Kemenangan itu menemukan Chong Wei dengan Gade setelah wakil Eropah itu menewaskan pemain Jepun, Sho Sasaki 21-11, 21-14 dalam masa 34 minit.

Di atas kertas, peluang sememangnya berpihak kepada Chong Wei yang memiliki rekod cemerlang 12-1 ke atas pemain Denmark itu, setelah kali terakhir kedua-dua pemain bertemu di Terbuka India, 1 Mei lalu yang menyaksikan Chong Wei mencatat kemenangan 21-12, 12-21, 21-15.

"Peter merupakan pemain yang berpengalaman luas dan memiliki penguasaan gelanggang yang amat baik.

"Pada usianya kini (34 tahun), Peter masih berada di kalangan pemain terbaik dunia dan mampu menyukarkan sesiapa sahaja yang berhadapan dengannya," katanya.

Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, pasangan China, Cai Yun-Fu Hai Feng menewaskan beregu berpengalaman Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan 21-18, 21-15.

Pasangan China itu akan bertemu rakan senegara, Chai Biao-Guo Zhendong yang menewaskan satu lagi beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano 18-21, 21-11, 21-18.

Perseorangan wanita pula menyaksikan wakil India, Saina Nehwal bertemu Wang Yihan. Saina mengalahkan pemain Taiwan, Cheng Shao Chieh 21-14, 14-21, 21-17, manakala, Yi Han menyingkirkan rakan senegara, Jiang Yanjiao 21-13, 21-12.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eX23H46I
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kejuaraan sempurna Chong Wei


ARKIB : 27/06/2011
KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei bukan sekadar merangkul gelaran Siri Super Terbuka Indonesia buat kali keempat, bahkan pemain badminton No. 1 dunia itu mempamerkan kesempurnaan apabila tidak melepaskan walau satu set pun pada kejohanan tersebut selepas perlawanan akhir, semalam.

Kemenangan mudah 21-11, 21-7 ke atas Peter Hoeg Gade dalam tempoh 31 minit di Stadium Istora Senayan semalam, membuktikan kejaguhan anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini selain melebarkan rekod pertemuan dengan pemain veteran Denmark itu kepada 12 berbalas satu.

Selaku juara Terbuka Indonesia 2011, Chong Wei yang turut mengulangi kejayaan di sini pada 2007, 2009 dan tahun lalu, meraih ganjaran AS$45,000 (RM136,822).

Gade, 34, yang muncul naib juara pulang dengan hadiah AS$22,000 (RM66,891).

Pemain negara itu juga mencatat sejarah tersendiri pada kejohanan itu sebagai pemain bukan Indonesia pertama yang menjuarainya kali ketiga berturut-turut.

Chong Wei, pilihan pertama kejohanan tidak kalah walau dalam satu set, turut mencatat kemenangan mudah sebelum ini dengan menewaskan pemain tuan rumah, Tommy Sugiarto 21-16, 21-8; Wong Wing Ki (Hong Kong) 21-17, 21-12; Nguyen Tien Minh (Vietnam) 21-10, 21-14 dan Chen Long (China) 21-17, 21-18 pada separuh akhir, kelmarin.

Hasrat peminat badminton dunia menyaksikan pertembungan ulangan Seluruh England dengan Lin Dan, tidak menjadi kenyataan apabila musuh tradisi dari China itu ditewaskan Sho Sasaki dari Jepun, 12-21, 18-21 pada pusingan kedua.

Mengulas kemenangannya semalam, Chong Wei berkata, dia berpuas hati kerana berjaya menang mudah ke atas Gade, yang dikenali sebagai pemain yang tidak kenal istilah putus asa.

"Saya memang mengagumi Gade kerana dia seorang pemain yang sama sekali tidak akan mengalah walaupun jauh ditinggalkan oleh lawan.

"Namun hari ini dia nampaknya mula kenal makna putus asa setelah jauh ketinggalan.

"Kemenangan ini menjadi perangsang untuk saya menjelang Kejohanan Dunia Ogos depan.

"Dengan prestasi saya sekarang, kali ini mungkin giliran saya untuk menjuarai Kejohanan Dunia," katanya.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eSwTpbLw
© Utusan Melayu (M) Bhd