Jumaat, 22 September 2017

ABC penentu kedudukan Chong Wei



ARKIB : 30/03/2007

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR – Satu lagi kekalahan pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) bulan depan mungkin tidak memberi banyak kesan kepada ranking Lee Chong Wei, namun ia membawa kesan terhadap moral pemain nombor satu negara itu.

Selepas mengharungi musim yang mengecewakan sejak akhir tahun lalu, satu lagi kegagalan yang dianggap tidak wajar cukup untuk menurunkan keyakinan pemain nombor tiga dunia itu.

Kekalahan terburuk yang dialami Chong Wei adalah tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Terbuka Switzerland, dua minggu lalu selepas tumpas 19-21, 21-12, 19-21 di tangan pemain Singapura, Ronald Susilo.

“Chong Wei sedar muncul juara merupakan keputusan yang diharapkan oleh semua peminat badminton negara, apatah lagi dia turun sebagai penyandang juara di ABC.

“Bagaimanapun pada saya berjaya layak ke perlawanan akhir atau separuh akhir masih boleh dimaafkan tetapi keputusan lain selain daripada peringkat itu mungkin menyulitkan lagi keadaan.

“Dalam keadaan sekarang, dia tidak mampu menerima satu lagi kekalahan yang dianggap tidak wajar kerana ia akan mengganggu fokusnya pada ketika Kejohanan Dunia tinggal empat bulan saja.

“Kalah kepada pemain-pemain utama dunia mungkin boleh diterima, tetapi kalah di tangan pemain yang rendah ranking dan yang tidak sepatutnya itu yang paling dibimbangkan,’’ kata jurulatih kebangsaan, Wong Tat Meng.

Sejak memenangi Terbuka Malaysia pada Jun tahun lalu, Chong Wei gagal merangkul sebarang kejuaraan, tetapi berjaya muncul naib juara dalam dua kejohanan utama - Terbuka Macau dan Hong Kong – kedua-duanya tewas kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan.

Kegagalan pada Kejohanan Dunia di Madrid, September lalu menjadi detik permulaan kepada rentetan siri kekecewaan Chong Wei termasuk terlepas takhta nombor satu dunia kepada Lin Dan.

Chong Wei hanya mampu membawa pulang gangsa pada Sukan Asia selepas tewas kepada juara, Taufik Hidayat dari Indonesia pada separuh akhir.

Jaguh perseorangan negara itu juga memulakan kempen 2007 dengan penuh kekecewaan selepas gagal mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia dan meleburkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri sejak empat tahun lalu.

Pada Kejohanan ABC di Johor Bahru, 10-15 April ini, Chong Wei akan mengetuai sembilan pemain perseorangan negara dan turun sebagai penyandang juara.

“ABC adalah gelanggang penting untuk mengembalikan apa yang saya hilang selama ini, keyakinan dan moral tetapi ia tidak mudah kerana ramai pemain terbaik turut bertanding.

“Saya tidak menafikan, siri kekalahan pada beberapa kejohanan utama, termasuk terlepas gelaran Terbuka Malaysia sedikit sebanyak turut menganggu tumpuan, tetapi ia bukanlah masalah yang terlalu kritikal.

“Saya bekerja keras untuk memperbaiki permainan. Saya mahu melupakan apa yang berlaku pada Terbuka Switzerland dan mahu mencari kunci yang diperlukan untuk bangkit apabila bertaksi di Johor nanti,’’ kata Chong Wei.

Selain Chong Wei, Malaysia juga akan diwakili lapan lagi pemain perseorangan - juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim, Wong Choong Hann, Muhd. Roslin Hashim, Yeoh Kay Bin, Mohd. Sairol Amar, Lee Tsuen Seng, Tan Chun Seang dan Ismail Saman.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tQMAsb00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan