Khamis, 29 Jun 2017

Chong Wei turun ranking kedua dunia



ARKIB : 28/07/2006
BANGKOK – Lee Chong Wei kehilangan gelaran sebagai pemain nombor satu dunia selepas kalah di Terbuka Thailand, kelmarin.

Ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam menyaksikan Chong Wei dipintas pemain China, Lin Dan yang menewaskannya pada perlawanan akhir Terbuka Macau, minggu lalu.

Sementara itu, Mohd Hafiz Hashim semakin hampir untuk mengekalkan kejuaraannya setelah melayakkan diri ke suku akhir acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Thailand yang menawarkan hadiah US$80,000.

Malaysia sudah pasti akan meletakkan sekurang-kurangnya seorang pemain pada separuh akhir oleh kerana Mohd Hafiz akan berdepan dengan rakan pasukan Yeoh Kay Bin dalam lapan terakhir hari ini.

Pada pusingan ketiga semalam, Mohd Hafiz menewaskan pemain Jepun Nakanishi Yousuke 21-16 dan 21-16 dalam masa 35 minit sementara Yeoh menumpaskan rakan pasukan Chua Jamas 21-10, 19-21 dan 21-12 dalam perlawanan yang mengambil masa 55 minit.

Seorang lagi peserta Malaysia Tan Chun Seang tumpas kepada pemain China Chen Yu 21-16, 12-21 dan 6-21. Chen Yu mengejutkan pemain nombor satu dunia dan pilihan utama Malaysia Lee Chong Wei pada pusingan kedua semalam.

Pemain kelima Malaysia pada pusingan ketiga, Pei Wee Chung juga gagal memasuki suku akhir, tewas 11-21 dan 18-21 di tangan pemain China Bao Chunlai.

Pemain utama Thailand Boonsak Ponsana mengekalkan kibaran bendera negaranya dengan menumpaskan pemain Korea Lee Hyun Ii 17-21, 21-11 dan 21-13 dalam perlawanan yang cukup menarik selama 55 minit untuk memasuki suku akhir, bakal berentap dengan Chen Yu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4lNYIt5AG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei tersingkir



ARKIB : 27/07/2006
Ads by Kiosked
Chong Wei tersingkir

BANGKOK – Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei mengalami kekalahan mengejut pada kejohanan badminton Terbuka Thailand apabila tewas di tangan pemain remaja China, Chen Yu di pusingan kedua, semalam.

Kekalahan 19-21, 21-14, 19-21 itu menyusul empat hari selepas Chong Wei tunduk kepada rakan senegara Chen Yu, Lin Dan di final Terbuka Macau, sekali gus menyukarkan peluang jaguh perseorangan negara itu untuk mempertahankan ranking nombor satu dunia menjelang Kejohanan Dunia di Madrid, 18-24 September ini.

Chong Wei, pilihan pertama sebelum ini dilihat berada pada laluan selesa untuk muncul juara pada kejohanan tiga bintang bernilai AS$80,000 (RM294,000) itu selepas Lin Dan menarik diri pada saat akhir.

Pemain wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo bagaimanapun melepasi halangan pertama selepas menumpaskan Anu Nieminen dari Finland 17-21, 21-12, 21-19.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4lNQH9m6v
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 28 Jun 2017

Chong Wei gagal di Macau



ARKIB : 24/07/2006
KUALA LUMPUR – Hasrat jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei untuk mengutip gelaran keempat antarabangsa tahun ini, berkecai setelah kecundang kepada Lin Dan pada perlawanan akhir Badminton Terbuka Macau, semalam.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan pilihan utama kejohanan, tewas 18-21, 21-18, 18-21 kepada pemain dari China itu yang ditewaskannya untuk merangkul gelaran Terbuka Malaysia, bulan lalu.

Kemenangan Lin Dan ini juga menebus kekalahan dua rakan senegara kepada Chong Wei iaitu Bao Chunlai dan Chen Hong pada suku akhir dan separuh akhir.

Kekalahan Chong Wei di Tap Seac Multisport Pavilion ini merupakan yang ketiga selepas empat pertemuan mereka, tahun ini termasuk Seluruh England (Februari), Terbuka Malaysia dan Taiwan, juga bulan lalu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini merangkul pingat emas Sukan Komanwel Melbourne (Mac), Kejohanan Asia di Johor Bahru (Mac) dan Terbuka Malaysia di Kuching.

China juga menguasai dua lagi gelaran - beregu lelaki dan wanita dalam kejohanan anjuran Persatuan Badminton Macau dan Lembaga Pembangunan Sukan Macau ini.

Pasangan lelaki, Fu Haifeng dan Cai Yun menewaskan rakan senegara Guo Zendong-Zheng Bo 21-12, 21-19 manakala Gao Ling-Huang Sui menundukkan Lee Kyung Won-Lee Hyo Jun dari Korea Selatan 17-21, 21-14, 21-14.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4lLgg5EHO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei, Lin Dan buat perhitungan



ARKIB : 23/07/2006

MACAU - Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei (gambar) akan membuat perhitungan akhir dengan jaguh China, Lin Dan buat kali ketiga berturut-turut apabila kedua-dua pemain bertemu lagi di final Kejohanan Badminton Terbuka Macau, hari ini.

Chong Wei menepati reputasi sebagai pilihan pertama pada kejohanan empat bintang bernilai AS$120,000 itu apabila mudah mengalahkan bekas pemain nombor satu dunia dan rakan senegara Lin Dan, Chen Hong 21-17, 21-12.

Lin Dan, pilihan kedua pula mara ke akhir selepas menyingkirkan pemain nombor enam dunia, Lee Hyun Il dari Korea Selatan 21-10, 21-17 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Bagi Chong Wei dan Lin Dan, perlawanan akhir hari ini bakal mengulangi pertemuan kedua-dua mereka di final Terbuka Malaysia dan Terbuka Taiwan, bulan lalu.

Chong Wei, 24, yang memburu kejuaraan antarabangsa keempatnya tahun ini muncul juara Terbuka Malaysia selepas menundukkan Lin Dan 21-18, 18-21, 23-21.

Bagaimanapun bekas pemain nombor satu dunia dari China itu berjaya menebus kekalahannya kepada Chong Wei dengan memenangi perlawanan akhir di Taiwan 21-18, 12-21, 21-11.

Chong Wei, yang juga juara Asia dan Terbuka Switzerland mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia menjelang Kejohanan Dunia di Madrid, 18-21 September ini.

Sementara itu, biarpun gagal mendominasi acara perseorangan wanita buat kali pertama, China sudah mengesahkan gelaran beregu lelaki apabila dua pasangannya Fu Haifeng-Cai Yun dan Guo Zhengdong-Zheng Bo menempah pertemuan akhir sesama sendiri.

Haifeng-Cai Yun, pilihan pertama menumpaskan beregu handalan Denmark, Lars Paaske-Mathias Boe 19-21, 21-16, 21-19, manakala Zhengdong-Bo menundukkan Hwang Ji Man-Lee Jae Ji dari Korea 21-19, 21-17.

Perlawanan akhir perseorangan wanita pula menemukan dua pemain tidak popular apabila Judith Meulendjiks dari Belanda menentang Yi Pui Yin dari Hong Kong.

Selepas mengejutkan pemain nombor satu dunia, Zhang Ning dari China pada suku akhir kelmarin, Meulendjiks menyingkirkan pilihan ketiga, Wang Cheng dari Hong Kong 21-19, 13-21, 21-17.

Pui Yin pula mengetepikan rakan senegara Meulendjiks dan pilihan keempat, Yae Jin 22-20, 12-21, 21-17.

Pasangan nombor satu dunia, Gao Ling-Huang Sui dari China mara ke perlawanan akhir beregu wanita selepas menumpaskan Lena Kristiansen-Kamilla Juhl dari Denmark 21-9, 21-14.

Menanti mereka di separuh akhir hari ini adalah pasangan Korea Selatan, Lee Kyung Won-Lee Hyo Jung yang menundukkan beregu nombor dua dunia, Zhang Yawen-Wei Yili dari China 21-19, 11-21, 21-17

China juga memiliki wakil dalam perlawanan akhir beregu campuran selepas Zhang Jun-Gao Ling mengalahkan Paaske-Helle Nielsen dari Denmark 21-17, 21-13 untuk menentang satu lagi pasangan Denmark, Thomas Laybourn-Kamilla Juhl.

Laybourn-Juhl mara selepas mengalahkan rakan senegara Zhang-Gao, Zheng Bo-Yu Fang 17-21, 22-20, 21-18.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lLchB8d0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei teruskan cabaran Malaysia



ARKIB : 22/07/2006

MACAU – Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia meneruskan cabaran ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Macau selepas menewaskan Bao Chunlai dari China di suku akhir, semalam.

Bagaimanapun cabaran dua lagi perseorangan negara, Muhd. Hafiz Hashim dan Sairul Amar Ayob, dua beregu lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Hoon Thien How-Tan Boon Heong serta beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berakhir di suku akhir - kesemuanya di tangan pemain China.

Chong Wei, 23, yang memburu gelaran antarabangsa ketiga tahun ini selepas muncul juara Terbuka Switzerland, kejuaraan Asia serta Terbuka Malaysia menumpaskan Chunlai 21-14, 21-10.

Menantinya pada separuh akhir hari ini adalah bekas pemain nombor satu dunia dan rakan senegara Chunlai, Cheng Hong, yang terdahulu mengecewakan Sairol 21-15, 18-21, 21-19.

Hafiz pula memberi tentangan sengit kepada bekas pemain nombor satu dunia, Lin Dan termasuk memenangi set pertama sebelum terpaksa akur 21-19, 18-21, 15-21.

Sementara itu, beregu veteran negara, Tan Fook-Wan Wah, yang diletak sebagai pilihan kedua mengalami kekalahan mengejut kepada gandingan Guo Zhengdong-Zheng Bo dari China 21-23, 16-21, 13-21.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada pasangan remaja negara, Thien How-Boon Heong, yang masih mampu memberi cabaran sengit kepada pilihan pertama, Cai Yun-Fu Haifeng sebelum tewas 13-21, 23-21, 14-21.

Pei Tty-Eei Hui pula menamatkan cabaran Malaysia dalam acara wanita selepas kalah mudah 11-21, 7-21 kepada pasangan China, Zhang Yawen-Wei Yili.

“Chongwei mempamer keyakinan yang tinggi pada pertemuan dengan Chunlai selepas agak berhati-hati pada pusingan kedua, kalau dia mampu mengulangi permainan itu esok (hari ini) dia mempunyai peluang cerah untuk menewaskan Cheng Hong,’’ kata jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek.

Sementara itu, pemain Belanda, Judith Meulendijks melakar kejutan terbesar pada kejohanan empat bintang yang menawarkan AS$120,000 itu selepas menumpaskan pemain nombor satu dunia, Zhang Ning 21-16, 16-21, 21-16 di suku akhir perseorangan wanita.

Dominasi China dalam acara perseorangan wanita berakhir dengan kekalahan dua lagi wakil mereka, Zu Lin dan Lu Lan. Zhu Lin tewas 13-21, 21-15, 21-23 kepada Yao Jie dari Belanda, manakala Lu Lan tumpas 17-21, 11-21 kepada Wang Cheng dari Hong Kong.

Rakan senegara Wang Cheng, Yip Pui Yin melengkapkan tiket keempat separuh akhir selepas mengalahkan pemain Singapura, Li Li 21-13, 15-21, 21-18.

KEPUTUSAN (suku akhir)

LELAKI perseorangan: LEE CHONG WEI kln Bao Chunlai (Chn) 21-14, 21-10; Chen Hong kln SAIROL AMAR AYOB 21-15, 18-21, 21-19; Lin Dan (Chn) kln MUHAMMAD HAFIZ HASHIM 19-21, 21-18, 21-15.

Cai Yun-Fu Haifeng (Chn) kln HOON THIEN HOW-TAN BOON HEONG 21-13, 21-23, 21-14; Guo Zhengdong-Zheng Bo (Chn) kln CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH 21-23, 21-16, 13-21.

BEREGU wanita: Zhang Yawen-Wei Yili (Chn) kln WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI 21-11, 21-7.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lLYaolw6
© Utusan Melayu (M) Bhd