Rabu, 30 Januari 2019

Chong Wei, Koo-Tan juara


ARKIB : 09/05/2011
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
 
Lee Chong Wei dengan gaya tersendiri meraikan kemenangannya menewaskan pemain China, Bao Chunlai pada perlawanan akhir Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Alor Setar, malam tadi. Chong Wei menang 21-9, 21-19. – UTUSAN/Kamal Basir

ALOR SETAR – Datuk Lee Chong Wei membuktikan kejaguhannya apabila merangkul kejuaraan kelima tahun ini pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini, semalam.

Turut mencatat kemenangan manis ialah beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menewaskan pasangan Indonesia Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan 21-16, 21-7.

Chong Wei yang beraksi pada final keenamnya tahun ini jelas berada pada prestasi terbaik untuk menundukkan jaguh perseorangan China, Bao Chunlai 21-9, 21-19 sekali gus memastikan kejuaraan hatrik Grand Prix Emas Terbuka Malaysia.

Pada set pertama, juara All England itu mempamerkan persembahan mantap sehingga sukar disaingi Chunlai yang juga pilihan ketujuh dengan kemenangan mudah 21-9.

Bagaimanapun, Chunlai cuba bangkit pada set kedua sehingga mendahului Chong Wei 11-10 pada pertengahan permainan dan kedua-dua pemain saling berkejaran mata selepas itu.

Pada ketika Chunlai kelihatan mampu menyaingi Chong apabila mendahului 19-17, jaguh negara itu bangkit mengikat kedudukan 19-19 dan seterusnya menamatkan permainan dengan keputusan 21-19.

Chong Wei berkata, kemenangan itu akan menjadi pendorong kepadanya untuk terus mengekalkan momentum dan berada pada kedudukan No. 1 dunia sehingga Sukan Olimpik tahun depan.

Malah, katanya, ia juga meningkatkan lagi keyakinan beliau untuk terus memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.

''Saya harap semangat dan prestasi ini akan terus kekal sehingga ke Sukan Olimpik,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Kemenangan terbaru tersebut menambah koleksi kejuaraan Chong Wei sepanjang 2011 selepas memenangi Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia, All England dan Terbuka India di samping muncul naib juara Terbuka Korea.

Prestasi cemerlang bintang negara itu turut membawa harapan dan petanda positif untuk memburu kejuaraan dunia menjelang kejohanan di London, England Ogos ini.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila sekadar berpuas hati sebagai naib juara dalam acara beregu campuran pada kejohanan bernilai AS$$120,000 (RM360,000) itu.

Peng Soon-Liu Ying tewas kepada juara baru Terbuka India, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia bagi acara beregu campuran.

Juara Asia 2010 itu yang menumbangkan pilihan pertama dan ketiga dalam laluan ke final bagaimanapun memberi tentangan sengit terhadap gandingan Indonesia berkenaan sehingga memaksa perlawanan ditentukan dalam set penentuan.

Beregu muda negara itu memulakan permainan dengan aksi meyakinkan apabila memenangi set pertama 21-18 namun kelihatan lebih tertekan pada set kedua dan penentuan sebelum tewas, 15-21, 19-21 dalam tempoh 57 minit.

Sementara itu, bagi perseorangan wanita, Wang Xin dari China muncul juara setelah menewaskan pilihan pertama kejohanan dari India, Saina Nehwal 13-21, 21-8, 21-14.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat menyaksikan dan menyampaikan hadiah pada perlawanan akhir berkenaan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eAW2bbj8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei buat penonton cemas


ARKIB : 06/05/2011
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
 
Lee Chong Wei membalas hantaran Tommy Sugiarto pada kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Alor Setar, semalam. – UTUSAN/ Halim Khalid

ALOR SETAR – Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengharungi perlawanan mencemaskan sebelum mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim, semalam.

Chong Wei, yang memburu gelaran hatrik kejohanan itu dan kejuaraan kelima pada tahun ini menerima tentangan sengit pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto sebelum mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung selama 40 minit.

Jaguh negara itu yang diramal tidak menghadapi masalah berdepan Tommy bagaimanapun meresahkan penonton, apabila pada suatu ketika ketinggalan 6-16 pada set kedua, sebelum mempamerkan kehebatannya untuk mengikat mata 17-17, seterusnya memenangi perlawanan.

Juara All England itu akan bertemu pemain Perancis, Leverdez Brice hari ini, yang mengenepikan cabaran perseorangan lelaki muda negara, Beryno Wong 14-21, 21-9, 21-15.

Chong Wei berkata, selain agak terganggu dengan faktor angin, beliau hilang fokus seketika tetapi tidak berputus asa meskipun ketinggalan agak jauh pada set kedua.

''Bagaimanapun saya tidak bermain dalam tekanan dan cuba untuk menamatkan perlawanan dalam dua set,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, beregu muda lelaki negara, Mohd. Lufti Zaim Khalid-Vountus Indra Mawan melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan kedua kejohanan Markis Kido-Hendra Setiawan dalam perlawanan tiga set yang mendebarkan.

Mohd. Kufti-Vountus Indra yang berada pada kedudukan ke-80 dunia mengambil masa 39 minit untuk menumpaskan pasangan Indonesia itu, yang berada pada kedudukan keenam dunia dengan keputusan 21-13, 18-21, 21-13.

Menanti mereka hari ini adalah beregu Korea, Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo yang menewaskan pasangan Thailand, Patipat Chalardchaleam-Nipitphon PuangPuapech 21-17, 21-16.

Beregu utama negara Koo Kien Keat- Tan Boon Heong yang mencari kejuaraan sulung tahun ini pula tidak berdepan masalah untuk menempah tempat suku akhir apabila menundukkan pasangan muda negara, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han 21-9, 21-13.

Lawan yang lebih sukar menanti beregu No. 4 dunia itu hari ini iaitu pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa selepas pilihan keenam kejohanan berkenaan memperoleh kemenangan percuma setelah beregu Korea, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang menarik diri pada set kedua akibat kecederaan.

Malaysia turut mempunyai dua wakil pada peringkat suku akhir dalam acara beregu campuran menerusi gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ting dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ng Hui Lin.

Laluan berliku menanti kedua-dua pasangan negara itu hari ini apabila Peng Soon-Liu Ting bakal bertemu pilihan pertama kejohanan dari Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam manakala Mohd. Fairuzizuan-Hui Lin akan menentang gandingan Indonesia yang juga pilihan ketiga, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah.

Hasrat tuan rumah untuk melihat wakil beregu wanita meneruskan kemaraan tidak kesampaian berikutan kekalahan wakil tunggal negara semalam, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty kepada pasangan muda China, Ying Luo-yu Luo 20-22, 22-20, 9-21.

Nasib sama menimpa pemain profesional, Muhammad Hafiz Hashim yang terpaksa akur dengan kehebatan jaguh Vietnam, Nguyen Tien Minh selepas tumpas 21-19, 18-21, 6-21 dalam perlawanan yang memakan masa selama 50 minit.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eA2SLdw8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei, Koo-Tan ketuai kemaraan


ARKIB : 05/05/2011
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR - Langkah kanan mengiringi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada hari pertama kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia semalam, apabila masing-masing mudah melepasi halangan awal di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam.

Bagaimanapun, jaguh veteran negara dan pilihan kelapan, Wong Choong Hann menjadi mangsa kejutan pertama kejohanan apabila tunduk 15-21, 15-21 di tangan pemain sedang meningkat India, Anup Sridhar.

Chong Wei yang memburu kejuaraan hatrik GP Emas Terbuka Malaysia langsung tidak tercabar dalam dua perlawanan pertamanya - mengetepikan Takuma Ueda 21-8, 21-12 dalam aksi kedua dan Robin Gonansa dari Indonesia 21-7, 21-16 di pusingan pertama.

Menanti juara All England itu hari ini adalah pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto.

Terdahulu, cabaran perseorangan lelaki Malaysia pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM360,000) ini turut diteruskan oleh pemain profesional, Muhammad Hafiz Hashim serta dua pemain muda, Liew Daren dan Beryno Wong.

Hafiz bagaimanapun menempah pertemuan getir dengan jaguh Vietnam dan pilihan ketiga, Nguyen Tien Minh hari ini selepas mengetepikan Pakkawat Vilailak dari Thailand 21-13, 21-12 pada pusingan kedua, dan terdahulu menyingkirkan pilihan ke-13, Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia 21-17, 21-14 dalam aksi pertama.

Daren, 23, pula melepasi sasaran awal untuk melangkah ke peringkat 16 terbaik selepas mengalahkan dua rakan senegara, Zulfadli Zulkifli 10-21, 21-17, 21-11 (pusingan pertama) dan Muhd. Syawal Ismail 21-12, 21-12 di pusingan kedua. Menantinya kini adalah jaguh veteran Korea, Lee Hyun Il hari ini.

Terdahulu, Beryno menyingkirkan Tam Chun Hei dari Hong Kong 18-21, 21-14, 21-13 pada pusingan kedua untuk berdepan pemain Belanda, Brice Leverdez.

Bagi Chong Wei, moto 'tidak mahu kalah' menjadi senjata utama untuk menyuntik semangatnya meneruskan rekod cemerlang di kejohanan antarabangsa.

"Saya berpegang kepada hanya mencari kemenangan setiap kali beraksi,'' katanya di sini, semalam.

Menurut Chong Wei, dia akan menilai program latihannya selepas ini dan mungkin mengurangkan kejohanan yang disertai dari sekarang sehingga Ogos ini untuk membuat persiapan Kejohanan Dunia di London, Ogos ini dan Sukan Olimpik 2012.

Sementara itu Kien Keat-Boon Heong akhirnya memadam 'badi' pasangan Jepun dengan mengetepikan beregu negara itu, Yoshiteru Hirobe-Kenta Kazuno 21-18, 21-13 untuk terus di landasan memburu kejuaraan sulung 2011.

Beregu No. 4 dunia itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir kerana hanya berdepan pasangan muda negara, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han pada pusingan kedua hari ini.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e9zzHZU1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei raih gelaran keempat


ARKIB : 02/05/2011
 Lee Chong Wei muncul juara badminton Terbuka India selepas menewaskan pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada perlawanan akhir di New Delhi, semalam. Chong Wei menang 21-12, 12-21, 21-15. - AFP

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei diuji dalam perlawanan mendebarkan, sebelum akhirnya merangkul kejuaraan keempat tahun ini pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka India dengan menundukkan jaguh veteran Denmark, Peter Hoeg Gade di New Delhi, semalam.

Selepas menang selesa dalam set pembukaan, jaguh No. 1 dunia itu tumpas di set kedua dan dipaksa mengharungi aksi mencemaskan di set ketiga, sebelum memenangi pertarungan sengit 21-12, 12-21, 21-15 dalam masa 1 jam, 2 minit.

Ini adalah kemenangan keempat Chong Wei sepanjang 2011 selepas turut menjuarai Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia dan All England.

Malah, jaguh negara itu berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam semua lima kejohanan yang disertai sejak Januari lalu, dengan turut muncul naib juara Terbuka Korea.

Malah, lebih manis lagi, kemenangan ini akhirnya menamatkan mimpi ngeri Chong Wei setiap kali berakhir di India, di mana dia mengalami keracunan makanan ketika tumpas kepada pemain China, Chen Long pada Terbuka India 2009, sebelum tunduk kepada Sony Dwi Kuncoro pada suku akhir Kejohanan Dunia di Hyderabad pada tahun yang sama.

"Ia adalah perlawanan yang sangat sengit, dan saya mula hilang tumpuan di set kedua. Bagaimanapun saya sudah menjangkakan cabaran getir bakal diberikan oleh Peter kerana dia merupakan pemain yang amat berpengalaman.

"Pada usia 34 tahun, Peter terbukti masih mampu bermain dengan mantap, malah dia tidak mengalah hingga ke akhir saingan. Begitupun, stadium ini amat bertuah bagi saya, dan harap saya dapat kembali ke India untuk Siri Super seterusnya,'' kata Chong Wei, yang merangkul kejuaraan Terbuka India buat kali pertama untuk membawa pulang AS$15,000 (RM44,500).

Pada perlawanan semalam, Chong Wei mempamerkan aksi meyakinkan pada set pembukaan apabila memaksa Gade berlari ke seluruh gelanggang dengan kekerapan menghantar pukulan silang di depan jaring, selain sesekali melakukan smash kencang yang gagal diangkat lawan.

Bagaimanapun, keadaan berubah pada set kedua apabila dia seperti hilang fokus dan mula melakukan kesilapan demi kesilapan, malah pada satu ketika ketinggalan sehingga 10-17, sebelum akhirnya tumpas 12-21.

Gade, 35, yang memiliki rekod pertemuan yang buruk, 1-11 di tangan Chong Wei sejak 2007, meneruskan permainan garang memasuki set penentuan apabila mendahului 6-2, namun sebaik dia membenarkan Chong Wei mengejar 8-6, jaguh veteran Denmark itu tidak lagi mampu menyekat Chong Wei.

"Saya berdepan pemain terbaik dunia dan semuanya adalah tentang keyakinan. Apabila Chong Wei tampil dengan penuh yakin, memang dia tidak mudah untuk ditewaskan.

"Saya berpeluang untuk menang selepas menguasai set kedua, malah bermula baik di set penentuan. Saya berikan segalanya yang terdaya tetapi dia (Chong Wei) memang tidak mampu dikalahkan hari ini,'' kata pemain No. 6 dunia, Gade.

Sementara itu, pemain Thailand, Porntip Buranaprasertsuk melakar kejutan terbesar dalam perseorangan wanita apabila muncul juara selepas menumpaskan pilihan ketiga, Bae Youn Joo dari Korea Selatan, 21-13, 21-16.

Jepun dan Indonesia pula masing-masing mendominasi saingan beregu wanita dan campuran dengan menempatkan dua wakil mereka dalam perlawanan akhir.
SUMBBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e9W4hSiF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bersendirian ke babak akhir


ARKIB : 01/05/2011
 
Lee Chong Wei mempamer kehandalan apabila masih berupaya membalas pukulan pemain Hong Kong, Hu Yun pada separuh akhir Terbuka India di New Delhi, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR - Walaupun tidak perlu berdepan pasangan terbaik dunia yang lain, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih gagal menggunakan Terbuka India untuk mencari kejuaraan pertama tahun ini selepas dikejutkan oleh beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata pada separuh akhir semalam, sekali gus meninggalkan Datuk Lee Chong Wei bersendirian melangkah ke final.

Anak-anak buah Rexy Mainaky itu gagal memanfaatkan ketiadaan beregu handalan seperti Markis Kido-Hendra Setiawan, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung atau Cai Yun-Fu Haifeng pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM600,000) apabila terpaksa akur 16-21, 19-21 hanya dalam masa 33 minit.

Kekalahan ini melebarkan kemarau gelaran yang dialami Kien Keat-Boon Heong dalam kalendar kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejak kali terakhir mereka merangkul kejuaraan pada Terbuka Malaysia, Januari, 2010. Namun, beregu No. 4 dunia itu meraih pingat emas Sukan Komanwel di New Delhi, tahun lalu.

Final beregu lelaki akan menemukan dua pasangan yang tidak diduga selepas beregu muda Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra terdahulu melakar kejutan dalam satu lagi separuh akhir dengan menyingkirkan beregu senegara yang juga pilihan ketiga, Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan 21-23, 21-18, 21-14.

Seperti biasa, jaguh No. 1 dunia, Chong Wei sekali lagi menjadi penyelamat maruah Malaysia apabila berjaya mengelak daripada kejutan tidak diingini, malah mempamer aksi meyakinkan ketika mengetepikan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-11, 21-15 hanya dalam masa 27 minit.

Berbeza dengan Kien Keat-Boon Heong yang masih gagal memiliki kejuaraan pertama 2011, Chong Wei sebaliknya menghampiri gelaran keempat tahun ini selepas muncul juara Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia dan All England.

Chong Wei bagaimanapun perlu menghadapi cabaran getir jaguh veteran Denmark, Peter Hoeg Gade dalam pemburuan gelaran hari ini. Semalam, Gade, 34, mempamer permainan mantap ketika menundukkan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan 21-15, 21-19

Hajat Malaysia untuk melihat kejuaraan berganda dibawa pulang dari New Delhi turut tidak kesampaian selepas satu lagi pasangan harapannya, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tersingkir di separuh akhir beregu campuran.

Selepas mengejutkan pilihan kedua, Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchaikul dari Thailand pada suku akhir kelmarin, juara Asia 2010 itu gagal meneruskan rentak cemerlang apabila disingkirkan oleh pasangan Indonesia, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadeth 12-21, 16-21.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e9BD686x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei tidak dicabar


ARKIB : 30/04/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Hanya 25 minit diperlukan oleh pemain No. 1 dunia Datuk Lee Chong Wei untuk menyingkirkan pemain tuan rumah, Sourabh Verma dengan keputusan 21-7, 21-8 pada suku akhir Kejohanan Siri Super Badminton Terbuka India.

Chong Wei jelas kelihatan lebih baik daripada segenap aspek berbanding lawannya dari India itu terutama ketika permainan jaring.

Pilihan kelapan dari Hong Kong, Hu Yun akan menjadi lawan Chong Wei pada separuh akhir hari ini selepas menundukkan seorang lagi pemain tuan rumah, RMV Gurusai Datt, 21-10, 21-16.

Mengiringi Chong Wei ke separuh akhir ialah beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Namun kemaraan beregu wanita, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty dihalang oleh beregu Indonesia, Meiliana Jauhari-Greysia Pol yang menang 21-15,21-16.

Liu Ying gagal meneruskan kecemerlangan bersama gandingannya Chong Sook Chin apabila kalah kepada beregu Hong Kong Poon Lok Yan-Tse Ying Suet, 23-21, 21-10.

Kien Keat-Boon Heong yang diletakkan sebagai pilihan pertama mengatasi cabaran getir beregu Korea Selatan, Cho Gun Woo-Goo Kwon Yi untuk straight set 21-19, 21-16.

Menanti mereka pada separuh akhir ialah pilihan keempat kejohanan dari Jepun, Hirokatsu Hashimoto- Noriyasu Hirata.

Peng Soon- Liu Ying menjinakkan beregu Thailand, Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchaikul 21-13, 21-16 bagi menempah pertemuan dengan beregu Indonesia, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadeth.
SUMBEArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5e976oU00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 Januari 2019

Jangan 'hentam' Chong Wei


ARKIB : 06/04/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

zolkples Embong (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Presiden Universiti Sukan Kebangsaan Korea, Kim Jong Wook sambil disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim di Bukit Jalil, semalam. - BERNAMA
 KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei benar-benar dalam dilema ketika ini.

Apabila beliau berterus terang tentang hasrat untuk meneruskan latihan bersama Tey Seu Bock dan tidak perlu kembali kepada Datuk Misbun Sidek, ada yang menganggapnya seperti 'kacang lupakan kulit.'

Sedangkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini memberi sepenuh kebebasan kepadanya untuk menentukan apakah program terbaik yang diperlukan dalam tempoh satu setengah tahun menjelang Sukan Olimpik London 2012, dan Chong Wei memutuskan program tiga bulan yang telah diharungi bersama Seu Bock dan Rashid Sidek sejak Januari lalu adalah yang terbaik untuknya.

Chong Wei hanya menyatakan keperluan terbaiknya, dan jika kepentingan negara dianggap keutamaan, maka pandangannya itu harus dihormati dan tidak dicampur aduk dengan soal sentimen, tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

Menurut Zolkples, adalah tidak adil apabila ada yang berpandangan sinis terhadap juara All England itu apabila beliau meluahkan pandangannya, malah pemain itu juga dianggap lupa daratan sedangkan beliau hanya menyatakan apa yang difikirkan terbaik dalam impian memburu emas Olimpik.

"Saya meminta kepada semua pihak supaya ikhlas dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya. Tolong jangan terbawa-bawa dengan sentimen hingga memburukkan keadaan dan bukan menjadikannya lebih baik.

"Pandangan Chong Wei harus diambil kira kerana hanya beliau yang tahu apakah yang terbaik untuknya, biarkan beliau memilih tanpa kita memberi tekanan kepadanya. Saya kesal apabila ada pihak yang cakap macam-macam seperti dia lupa daratan,'' kata Zolkples yang ditemui di Bukit Jalil, semalam.

Ujar Zolkples lagi, beliau sendiri pernah dihentam apabila menyuarakan pandangan bahawa Chong Wei sudah semakin serasi dengan Seu Bock dan Rashid, justeru keserasian itu wajar diteruskan bagi menghadapi kempen Olimpik.

Katanya, perkara seperti itu tidak akan berlaku jika semua pihak ikhlas demi kepentingan negara.

"Saya enggan mengulas panjang lagi, biarlah BAM buat keputusan. Tetapi pesanan saya kepada semua pihak, kalau hendak buat apa juga keputusan, biarlah ikhlas dan memikirkan tentang negara, kepentingan negara,'' ujar Zolkples.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5e0HF9lbK
© Utusan Melayu (M) Bhd