Sabtu, 8 Februari 2020

Misbun jurulatih terbaik: Chong Wei

MyMetroArena
 
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
‘BENIH yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau’.

Pepatah itu bersesuaian untuk menggambarkan wibawa Datuk Misbun Sidek selepas dilantik menjadi Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan dan ia turut dipersetujui bekas pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Tidak kisah beliau diletakkan di bahagian mana sekali pun, beliau adalah jurulatih terbaik. Selepas menerima tugasan baharu itu saya yakin beliau akan memberikan yang terbaik,” kata Chong Wei ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia itu seakan-akan sudah masak dengan perwatakan Misbun yang mendidiknya sehingga berjaya berada pada kelas tersendiri di arena antarabangsa.

Ditanya adakah pemain remaja negara akan sentiasa dibayangi dengan ketegasan Misbun, Chong Wei mengakui bahawa itulah perwatakan sebenar legenda badminton negara.

“Memang mereka akan berasa takut, Misbun adalah legenda dan jurulatih nombor satu dalam Malaysia. Bukan mudah untuk sesiapa saja menjadi jurulatih membimbing pemain negara.

“Beliau mendidik saya sehingga menjadi pemain nombor satu dunia dan memenangi gelaran. Bukan saja pemain remaja, semua akan menghormati beliau termasuk saya sendiri kerana beliau yang menaikkan nama saya,” katanya.

Chong Wei yang bakal menjadi Chef-de-Mission ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkata, hubungan beliau dengan Misbun lebih daripada pemain dengan jurulatih.

“Beliau bukan seperti jurulatih, tapi bapa kepada saya. Bukan senang untuk membina hubungan rapat,” katanya.

Misbun, 59, sebelum ini adalah ketua jurulatih perseorangan lelaki sebelum dilantik memegang jawatan baharu itu baru-baru ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 6:01 AM