Ahad, 4 Jun 2017

Chong Wei tepati ramalan



ARKIB : 22/09/2005

KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei menepati ramalan dengan melepasi pusingan awal Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, bagaimanapun Lee Tsuen Seng berdepan masa depan yang kelam dalam skuad kebangsaan apabila tumpas di tangan Wempie Mahardi dari Singapura.

Cabaran perseorangan lelaki Malaysia pada kejohanan enam bintang yang menawarkan AS$250,000 itu turut diteruskan Kuan Beng Hong, Yeoh Kay Bin, James Chua dan K. Yogendran.

Begitupun jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim pula menarik diri pada saat akhir untuk memberi kemenangan percuma kepada Kozai Kazuteru dari Jepun.

Chong Wei, 23, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia dan pilihan kedua mudah menewaskan Michael Delile dari Perancis 15-1, 15-0 untuk bertemu bekas juara Terbuka Malaysia, James yang menumpaskan pemain tuan rumah, Andre Kurniawan 15-6, 15-5.

Tsuen Seng, 27, yang sudah melepasi tempoh enam bulan percubaan menerima tamparan terbaru apabila kalah 13-15, 8-15 kepada Wempie - kekalahan terbarunya di pusingan pertama selepas turut tersingkir awal di China Masters, dua minggu lalu.

Pemain sedang meningkat, Beng Hong pula menyingkirkan Sakti Kusuma dari Indonesia 15-3, 15-4, Kay Bin mengalahkan Adnan Fauzi juga dari Indonesia 9-15, 15-10, 15-8, manakala Yogendran menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Jeffer Rosobin 15-12, 15-3.

Sementara itu, juara Sukan SEA 2003, Wong Mew Choo menerima suntikan moral terbaik dalam usaha mempertahankan kejuaraannya itu di Manila hujung tahun ini apabila mengalahkan pemain utama Singapura dan pilihan keenam, Li Li 11-9, 3-11, 11-3.

Li Li adalah pemain yang dijangka menjadi halangan terbesar jaguh perseorangan wanita negara itu pada temasya 27 November hingga 5 Disember ini.

Dalam saingan beregu campuran, juara Terbuka Taiwan, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty meneruskan cabaran ke pusingan kedua selepas mengalahkan pasangan Korea Selatan, Jeon Jun Bum-Kim Min Jung 15-5, 15-10.

Beregu muda negara, Mohd. Zakry Latif-Fong Chew Yen pula kandas 3-15, 11-15 kepada Muhd. Rizal-Nursugianti Endang dari Indonesia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4j33pbEsj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan