Rabu, 21 Mac 2018

Piala Sudirman: Rashid tenang, Chong Wei sedia layan jaguh China


ARKIB : 06/05/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Selepas mendapat lampu hijau dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghantar skuad ke kejohanan Piala Sudirman yang bermula Ahad ini, ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek (gambar) mengakui anak-anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya.

Menurut bekas pemain perseorangan negara itu, tidak kira sama ada keputusan menghantar atau tidak skuad ke kejohanan Piala Sudirman pemain tetap berada dalam keadaan bersedia berikutan keputusan tersebut terletak di tangan BAM.

"Saya sentiasa pastikan pemain berada dalam keadaan bersedia walaupun sebelum ini timbul desas-desus mengenai status pasukan kami tidak akan dihantar akibat wabak selesema babi (H1N1)," katanya ditemui pada sesi latihan pemain negara di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Jelasnya, pemain sentiasa bersemangat untuk memperagakan aksi terbaik seterusnya menepati sasaran untuk melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir.

"Pada kejohanan yang sama sebelum ini, kami hanya menduduki tempat keenam dan edisi kali ini kami mensasarkan untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir terlebih dahulu.

"Ini adalah sasaran yang realistik dan selepas berjaya melonjak sehingga ke peringkat separuh akhir barulah kami fikir untuk sasaran yang seterusnya," kata Rashid.

Rashid mengakui kelebihan sekarang adalah berpihak kepada pasukan tuan rumah, China kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Mereka (China) memiliki pemain standard tinggi tetapi pemain kita perlulah menanamkan semangat berjuang untuk mengulangi sejarah Piala Thomas 2002 di Guangzhou, di mana kami berjaya menewaskan China.

"Saya rasa untuk menewaskan China di tempat sendiri adalah tidak mustahil dan buat masa sekarang semuanya berada dalam keadaan terkawal," kata Rashid dengan tenang.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei begitu bersemangat untuk memberi aksi terbaik di Guangzhou seterusnya membawa pulang Piala Sudirman ke tanah air.

"Sebagai pemain pertama yang akan memberi mata buat negara, saya berjanji untuk beraksi dengan bersungguh-sungguh seterusnya membantu pasukan mencatatkan kemenangan," katanya.

Pemain nombor satu dunia itu berkata, setakat ini kerjasama di antara jurulatih (Rashid) dan pemain yang lain berjalan dengan lancar dengan masing-masing membantu antara satu sama lain.

"Dua hari sebelum bertolak ke sana kami telah melakukan persiapan rapi dengan masing-masing memberi fokus yang sepenuhnya di dalam latihan.

"Walaupun saya mengalami sedikit kecederaan belakang tetapi ia bukan masalah utama untuk membawa pulang Piala Sudirman ke sini," katanya.

Ditanya mengenai wabak selesema babi (H1N1), Chong Wei berkata, ia tidak menjadi penghalang kepada pemain dan apa yang harus dilakukan mereka adalah sentiasa berjaga-jaga serta tidak keluar ke mana-mana kecuali di tempat penginapan (hotel).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ANSxmCGo
© Utusan Melayu (M) Bhd


Ahad, 18 Mac 2018

Chong Wei gesa India baiki keadaan sebelum Ogos ini


ARKIB : 27/03/2009
HYDERABAD, India - Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menggesa pihak berkuasa badminton Hyderabad supaya memperbaiki keadaan menjelang Kejohanan Dunia, Ogos ini selepas mengalami masalah kesihatan pada Terbuka India, kelmarin.

Jaguh perseorangan negara itu tersingkir dalam pusingan pertama kerana keracunan makanan, dan khuatir, kebimbangan untuk mendapatkan makanan dan air bersih di Hyderabad bakal mendorong pemain menjauhkan diri daripada Kejohanan Dunia nanti.

"Saya telah diberitahu agar berhati-hati dengan makanan yang kami ambil di India tetapi saya tidak pernah terfikir ia akan terjadi kepada saya, malah Wong Mew Choo (perseorangan wanita Malaysia) juga tidak sihat.

"Saya selalu berhati-hati dengan makanan yang diambil setiap kali menyertai sesuatu kejohanan, tetapi di sini saya tidak mempunyai banyak pilihan kerana kami menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan jika pulang lewat ke hotel.

"Malah, kami terpaksa membeli minuman dari luar dan satu-satunya pilihan adalah apabila bas berhenti di pasar raya mini dalam perjalanan pulang ke hotel.

"Saya harap keadaan ini dapat diperbaiki apabila kami kembali lagi untuk Kejohanan Dunia nanti. Saya tidak akan terkejut kalau ada pemain yang tidak mahu datang ke sini,'' kata Chong Wei.

Chong Wei, yang muncul naib juara Seluruh England dan menjuarai Terbuka Switzerland pada awal bulan ini, turut menyelar pegawai badminton India yang menjadi pengadil perlawanannya ketika menentang pemain muda China, Chen Long.

"Pengadil itu tidak cukup layak untuk mengendalikan standard kejohanan ini, kualiti pengadilan perlu dipertingkatkan.

"Saya harap semuanya akan bertambah baik nanti,'' kata Olahragawan Kebangsaan 2008 itu lagi.

Kejohanan Dunia, yang bakal berlangsung pada 10-16 Ogos sebelum ini sudah pun dihimpit kontroversi kerana kerja pengubahsuaian di gelanggang asal, Kompleks Sukan Siri Fort, New Delhi yang tertangguh memaksa ia dipindahkan ke Hyderabad.

Malah, reputasi sukan India turut menerima tamparan pada minggu ini apabila kejohanan kriket Liga Perdana negara itu terpaksa dipindahkan ke Afrika Selatan hanya pada tahun kedua penganjurannya atas faktor keselamatan. - AFP
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5A6emotdV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei tersingkir, keracunan makanan


ARKIB : 26/03/2009
KUALA LUMPUR - Semalam merupakan hari malang buat jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei apabila tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka India selepas mengalami keracunan makanan di Hyderabad.

Hanya dua minggu selepas merangkul kejuaraan Terbuka Switzerland, Olahragawan Kebangsaan 2008 itu terpaksa akur kepada pemain remaja China, Chen Long 21-7, 16-21, 18-21.

"Saya amat lemah kerana mengalami keracunan makanan. Walaupun bermain baik di set pertama tetapi saya gagal meneruskan rentak pada dua set berikutnya,'' ujar Chong Wei, yang berazam untuk bangkit pada Kejohanan Dunia, Ogos ini.

Kegagalan Chong Wei bagaimanapun ditebus tujuh perseorangan lelaki, diketuai Muhammad Hafiz Hashim, Muhammad Roslin Hahshim, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob, Kuan Beng Hong,Tan Chun Seang dan Chan Kwong Beng yang mara ke pusingan ketiga.

Malah, ratu badminton negara, Wong Mew Choo yang membuat penampilan pertama selepas tiga bulan berehat turut melangkah ke pusingan kedua bersama Julia Wong dan Lydia Cheah.

Hafiz dipaksa berhempas pulas menyingkirkan pemain Hong Kong, Wong Wing Ki 21-11, 18-21, 21-14 untuk bertemu pemain China, Zhou Wenlong.

Roslin pula mengetepikan pemain remaja, Daren Liew 22-20, 21-12 dan akan bertemu rakan senegara, Tsuen Seng yang mara selepas menundukkan Abhimayu Singh dari India 21-16, 21-10.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A6ZoB8l9
© Utusan Melayu (M) Bhd