Rabu, 28 Jun 2017

Chong Wei, Lin Dan buat perhitungan



ARKIB : 23/07/2006

MACAU - Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei (gambar) akan membuat perhitungan akhir dengan jaguh China, Lin Dan buat kali ketiga berturut-turut apabila kedua-dua pemain bertemu lagi di final Kejohanan Badminton Terbuka Macau, hari ini.

Chong Wei menepati reputasi sebagai pilihan pertama pada kejohanan empat bintang bernilai AS$120,000 itu apabila mudah mengalahkan bekas pemain nombor satu dunia dan rakan senegara Lin Dan, Chen Hong 21-17, 21-12.

Lin Dan, pilihan kedua pula mara ke akhir selepas menyingkirkan pemain nombor enam dunia, Lee Hyun Il dari Korea Selatan 21-10, 21-17 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Bagi Chong Wei dan Lin Dan, perlawanan akhir hari ini bakal mengulangi pertemuan kedua-dua mereka di final Terbuka Malaysia dan Terbuka Taiwan, bulan lalu.

Chong Wei, 24, yang memburu kejuaraan antarabangsa keempatnya tahun ini muncul juara Terbuka Malaysia selepas menundukkan Lin Dan 21-18, 18-21, 23-21.

Bagaimanapun bekas pemain nombor satu dunia dari China itu berjaya menebus kekalahannya kepada Chong Wei dengan memenangi perlawanan akhir di Taiwan 21-18, 12-21, 21-11.

Chong Wei, yang juga juara Asia dan Terbuka Switzerland mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia menjelang Kejohanan Dunia di Madrid, 18-21 September ini.

Sementara itu, biarpun gagal mendominasi acara perseorangan wanita buat kali pertama, China sudah mengesahkan gelaran beregu lelaki apabila dua pasangannya Fu Haifeng-Cai Yun dan Guo Zhengdong-Zheng Bo menempah pertemuan akhir sesama sendiri.

Haifeng-Cai Yun, pilihan pertama menumpaskan beregu handalan Denmark, Lars Paaske-Mathias Boe 19-21, 21-16, 21-19, manakala Zhengdong-Bo menundukkan Hwang Ji Man-Lee Jae Ji dari Korea 21-19, 21-17.

Perlawanan akhir perseorangan wanita pula menemukan dua pemain tidak popular apabila Judith Meulendjiks dari Belanda menentang Yi Pui Yin dari Hong Kong.

Selepas mengejutkan pemain nombor satu dunia, Zhang Ning dari China pada suku akhir kelmarin, Meulendjiks menyingkirkan pilihan ketiga, Wang Cheng dari Hong Kong 21-19, 13-21, 21-17.

Pui Yin pula mengetepikan rakan senegara Meulendjiks dan pilihan keempat, Yae Jin 22-20, 12-21, 21-17.

Pasangan nombor satu dunia, Gao Ling-Huang Sui dari China mara ke perlawanan akhir beregu wanita selepas menumpaskan Lena Kristiansen-Kamilla Juhl dari Denmark 21-9, 21-14.

Menanti mereka di separuh akhir hari ini adalah pasangan Korea Selatan, Lee Kyung Won-Lee Hyo Jung yang menundukkan beregu nombor dua dunia, Zhang Yawen-Wei Yili dari China 21-19, 11-21, 21-17

China juga memiliki wakil dalam perlawanan akhir beregu campuran selepas Zhang Jun-Gao Ling mengalahkan Paaske-Helle Nielsen dari Denmark 21-17, 21-13 untuk menentang satu lagi pasangan Denmark, Thomas Laybourn-Kamilla Juhl.

Laybourn-Juhl mara selepas mengalahkan rakan senegara Zhang-Gao, Zheng Bo-Yu Fang 17-21, 22-20, 21-18.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lLchB8d0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan