Rabu, 30 Januari 2019

Chong Wei, Koo-Tan juara


ARKIB : 09/05/2011
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
 
Lee Chong Wei dengan gaya tersendiri meraikan kemenangannya menewaskan pemain China, Bao Chunlai pada perlawanan akhir Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Alor Setar, malam tadi. Chong Wei menang 21-9, 21-19. – UTUSAN/Kamal Basir

ALOR SETAR – Datuk Lee Chong Wei membuktikan kejaguhannya apabila merangkul kejuaraan kelima tahun ini pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini, semalam.

Turut mencatat kemenangan manis ialah beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menewaskan pasangan Indonesia Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan 21-16, 21-7.

Chong Wei yang beraksi pada final keenamnya tahun ini jelas berada pada prestasi terbaik untuk menundukkan jaguh perseorangan China, Bao Chunlai 21-9, 21-19 sekali gus memastikan kejuaraan hatrik Grand Prix Emas Terbuka Malaysia.

Pada set pertama, juara All England itu mempamerkan persembahan mantap sehingga sukar disaingi Chunlai yang juga pilihan ketujuh dengan kemenangan mudah 21-9.

Bagaimanapun, Chunlai cuba bangkit pada set kedua sehingga mendahului Chong Wei 11-10 pada pertengahan permainan dan kedua-dua pemain saling berkejaran mata selepas itu.

Pada ketika Chunlai kelihatan mampu menyaingi Chong apabila mendahului 19-17, jaguh negara itu bangkit mengikat kedudukan 19-19 dan seterusnya menamatkan permainan dengan keputusan 21-19.

Chong Wei berkata, kemenangan itu akan menjadi pendorong kepadanya untuk terus mengekalkan momentum dan berada pada kedudukan No. 1 dunia sehingga Sukan Olimpik tahun depan.

Malah, katanya, ia juga meningkatkan lagi keyakinan beliau untuk terus memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.

''Saya harap semangat dan prestasi ini akan terus kekal sehingga ke Sukan Olimpik,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Kemenangan terbaru tersebut menambah koleksi kejuaraan Chong Wei sepanjang 2011 selepas memenangi Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia, All England dan Terbuka India di samping muncul naib juara Terbuka Korea.

Prestasi cemerlang bintang negara itu turut membawa harapan dan petanda positif untuk memburu kejuaraan dunia menjelang kejohanan di London, England Ogos ini.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila sekadar berpuas hati sebagai naib juara dalam acara beregu campuran pada kejohanan bernilai AS$$120,000 (RM360,000) itu.

Peng Soon-Liu Ying tewas kepada juara baru Terbuka India, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia bagi acara beregu campuran.

Juara Asia 2010 itu yang menumbangkan pilihan pertama dan ketiga dalam laluan ke final bagaimanapun memberi tentangan sengit terhadap gandingan Indonesia berkenaan sehingga memaksa perlawanan ditentukan dalam set penentuan.

Beregu muda negara itu memulakan permainan dengan aksi meyakinkan apabila memenangi set pertama 21-18 namun kelihatan lebih tertekan pada set kedua dan penentuan sebelum tewas, 15-21, 19-21 dalam tempoh 57 minit.

Sementara itu, bagi perseorangan wanita, Wang Xin dari China muncul juara setelah menewaskan pilihan pertama kejohanan dari India, Saina Nehwal 13-21, 21-8, 21-14.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat menyaksikan dan menyampaikan hadiah pada perlawanan akhir berkenaan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eAW2bbj8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan