Sabtu, 29 Julai 2017

Chong Wei tewas di tangan Roslin

ARKIB : 24/08/2006

Ads by Kiosked
Chong Wei tewas di tangan Roslin
KOREA SELATAN – Harapan Lee Chong Wei untuk merampas ranking nombor satu dunia sebelum Kejohanan Dunia bermula bulan depan semakin tipis apabila dia kalah kepada rakan senegara, Mohd. Roslin Hashim pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Korea, semalam.

Ini merupakan kejutan terbesar pada kejohanan bertaraf enam bintang bernilai AS$300,000 (RM1.1 juta) itu.

Pemain nombor dua dunia, Chong Wei yang merupakan pilihan pertama kejohanan kelihatan berada pada jalur yang betul apabila menang 21-16 pada set pertama tetapi, bekas pemain nombor satu dunia, Mohd. Roslin bangkit pada set berikutnya untuk menang 21-14 sebelum menang 21-18 pada rubber set.

Pemain bukan pilihan, Mohd. Roslin akan bertemu jaguh tuan rumah, Park Sung Hwan yang merupakan pilihan bersama 9/16 pada pusingan ketiga hari ini.

Mohd. Roslin kini menjadi pemain perseorangan tunggal negara yang mara ke pusingan ketiga apabila Yeoh Kay Bin kalah 21-19, 16-21, 21-17 kepada pemain Thailand, Boonsak Ponsana dan James Chua kalah 21-17, 21-11 kepada pemain Korea, Hwang Jung Woon.

Pemain perseorangan wanita negara Julia Wong pula mengambil masa hampir sejam untuk mengalahkan jaguh Hong Kong, Yip Pui Yin 20-22, 21-15, 21-19.

Menanti Julia hari ini ialah pilihan pertama, Hu Huaiwen dari Jerman yang mengalahkan Lee Yun Hwa dari Korea 21-23, 21-19, 21 17.

Malaysia juga mempunyai satu wakil ke pusingan ketiga beregu lelaki menerusi Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari-Lin Woon Fui yang menang 21-10, 21-11 ke atas pasangan Amerika Syarikat, Eric Go-Khan Bob Malaythong.

Pilihan ketiga itu akan bertemu pasangan yang meneruskan kemaraan dari pusingan kelayakan Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum dari Korea selepas menundukkan Albert Susanto-Yohan Hadikusumo dari Hong Kong 21-13, 21-12.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4oGbQOGqV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Terbuka Korea: Chong Wei mara, Beng Hong kecundang

ARKIB : 23/08/2006
KUALA LUMPUR – Kuan Beng Hong menerima tamparan hebat dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia bulan depan apabila muncul antara tiga perseorangan lelaki negara yang tersingkir dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Korea, semalam.

Pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei bagaimanapun mengetuai kemaraan tujuh lagi perseorangan lelaki Malaysia, dan menempah pertemuan dengan rakan senegara, Mohd. Roslin Hashim pada pusingan kedua, hari ini.

Beng Hong, yang bakal membuat penampilan sulung pada Kejohanan Dunia di Madrid, 18-24 September ini tunduk 21-13, 19-21, 13-21 kepada pemain England, Andrew Smith.

Turut tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan enam bintang bernilai itu AS$300,000 (RM1.1 juta) itu adalah Pei Wei Chung, yang kalah 8-21, 10-21 kepada P. Kashyap dari India, manakala K. Yogendran tumpas 13-21, 9-21 di tangan pemain Korea, Park Sung Hwan.

Chong Wei pula menepati statusnya sebagai pilihan pertama selepas menyingkirkan Petr Koukal dari Republik Czech 21-11, 21-12, sementara Roslin menang mudah 21-7, 21-8 ke atas Kim Dong Hun dari Korea.

Cabaran Malaysia turut diteruskan oleh juara Seluruh England 2003, Muhd. Hafiz Hashim, Yeoh Kay Bin, James Chua, Lee Tsuen Seng dan Sairol Amar Ayob.

Hafiz, pilihan kelima menumpaskan Nicholas Kidd dari England 21-19, 21-7 untuk bertemu pemain Thailand, Poompat Sapkulchananart, yang sebelum itu menewaskan Ajay Jayaram dari India 21-14, 21-14.

Kay Bin pula bakal berdepan pemain nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana selepas mengalahkan Magnus Sahlberg dari Sweden 21-14, 21-8.

Sairol dan Tsuen Seng akan bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua hari ini. Sairol mara selepas mengalahkan Przemyslaw Wacha dari Poland 23-21, 21-15, manakala Tsuen Seng menumpaskan pemain Jepun, Yousuke Hakanishi 21-12, 16-21, 21-12.

Sementara itu, juara kebangsaan, Julia Wong meneruskan cabaran perseorangan wanita selepas menumpaskan Petya Nedelcheva dari Bulgaria 21-19, 21-18 untuk bertemu Yip Pui Yin dari Hong Kong.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4oGYQC4pJ

© Utusan Melayu (M) Bhd