Sabtu, 20 Januari 2018

Chong Wei lebur badi

ARKIB : 16/03/2009
Oleh TAUFEK A. RAZAK
taufek.razak@utusan.com.my
 
LEE Chong Wei membalas pukulan Lin Dan pada pertembungan akhir badminton Terbuka Switzerland di Basel, Switzerland, malam tadi. Chong Wei akhirnya berjaya meleburkan badi kekalahan kepada Lin Dan selepas menang 21-16, 21-16 dalam tempoh 52 minit. - AP

KUALA LUMPUR - Akhirnya selepas lebih setahun menanti, pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya meleburkan badi kekalahannya kepada pemain China, Lin Dan untuk menjuarai Terbuka Switzerland, semalam.

Kemenangan 21-16, 21-16 yang diraihnya dalam tempoh 52 minit di Arena St. Jakobshalle dekat Basel, Switzerland itu mengakhiri kemarau kejayaan dalam lima pertemuan dengan Lin Dan sebelum ini.

Chong Wei yang juga merupakan pemain No. 1 dunia kini mempunyai rekod empat kemenangan ke atas Lin Dan daripada keseluruhan 14 pertemuan mereka.

Kali terakhir Chong Wei menewaskan pemain No. 2 dunia itu ialah di separuh akhir Siri Super Terbuka Jepun pada 15 September, 2007.

Sejak itu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak pernah menang ke atas Lin Dan bermula pada perlawanan akhir Terbuka Switzerland 2008 diikuti Sukan Olimpik 2008, Terbuka China 2008 dan terbaru di Seluruh England 2009 minggu lalu.

Kejayaan semalam juga bermakna, Chong Wei turut berjaya menebus kekalahannya 13-21, 18-21 kepada Lin Dan pada kejohanan ini tahun lalu.

Ternyata pemain perseorangan negara ini mempamerkan permainan yang jauh berbeza terutama berbanding dalam tiga pertemuan terbaru mereka sebelum ini.

Dengan menggunakan pelbagai variasi pukulan, Chong Wei kelihatan bermain lebih tenang dan sabar untuk mengendurkan asakan Lin Dan.

Walaupun pungutan mata berlangsung cukup rapat, Chong Wei yang hanya ditemani Rashid Sidek bijak membaca setiap hantaran Lin Dan di samping mampu membalas setiap pukulan pancung dan rejam pemain China itu.

Ketiadaan jurulatihnya sendiri, Misbun Sidek yang telah pulang ke Malaysia selepas berakhir Seluruh England ternyata tidak mematahkan semangat pemain berusia 26 tahun ini.

Sebaliknya Lin Dan yang tampak lebih tertekan dengan banyak melakukan kesilapan sendiri selepas ditekan dengan permainan rali Chong Wei.

Sementara itu, pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mengikut jejak Chong Wei apabila menjuarai acara beregu lelaki, semalam.

Gandingan negara itu menewaskan beregu Denmark, Mathias Boe, Carsten Mogensen 21-14, 21-18 untuk meraih gelaran pertama mereka tahun ini.

Kejayaan Kien Keat-Boon Heong menjuarai kejohanan ini mengulangi pencapaian mereka muncul juara pada 2007.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz54lpKGQIi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei buru perhitungan kedua

ARKIB : 15/03/2009
 
LEE Chong Wei mara ke separuh akhir badminton Terbuka Switzerland selepas berjaya menewaskan Taufik Hidayat 21-23, 21-12, 21-19 pada saingan suku akhir, semalam. – AFP

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan bintang China, Lin Dan mencerahkan peluang mengulangi pertemuan kedua selepas melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland, semalam.

Chong Wei yang dijinakkan Lin Dan pada final Seluruh England, minggu lalu mengetepikan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat buat kali kedua dalam tempoh seminggu dengan kemenangan 21-23, 21-12, 21-19.

Pemain No. 1 dunia itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi separuh akhir lewat pagi ini kerana berdepan cabaran pemain bukan pilihan dari Denmark, Jan O Jorgensen.

Jorgensen mara selepas mengetepikan pemain negara, Sairul Amar Ayob 21-18, 21-16.

Peluang Chong Wei untuk mengulangi pertemuan dengan Lin Dan dan seterusnya menebus kekalahan ke atas juara Olimpik itu bagaimanapun bergantung kepada strategi pasukan China.

Ini kerana, Lin Dan akan berdepan rakan senegara sendiri, Chen Jin pemain yang didakwa sengaja memberi laluan kepadanya pada separuh akhir Seluruh England.

Semalam, juara dunia itu mudah mengetepikan lawan dari Taiwan, Hsieh Yu Hsin 21-16, 21-14.

Chen Jin, 24, yang mendakwa mengalami kecederaan ketika menentang Lin Dan pada separuh akhir di Birmingham tidak langsung menampakkan masalah ketika mengalahkan pemain England, Andrew Smith 21-10, 21-5.

Cabaran beregu wanita No. 1 dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula berakhir dengan cara tidak diduga apabila menarik diri daripada pertemuan dengan pasangan Korea, Ha Jung Eun-Kim Min Jung.

Cabaran Malaysia di separuh akhir Terbuka Switzerland bagaimanapun diteruskan beregu muda, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang bakal menentang bekas pasangan No. 1 dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China.

Kien Keat-Boon Heong mara selepas menewaskan Michal Logosz-Robert Mateusiak dari Poland, 21-14, 21-17 manakala Haifeng-Cai Yun menumpaskan pasangan dari England, Chris Adcock-Robert Blair 21-10, 21-11
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz54litdw8a

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 19 Januari 2018

Chong Wei mahu bangkit tebus kekalahan

ARKIB : 10/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Tiada gunanya buat perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei mengenangkan kegagalan merebut mahkota badminton Seluruh England, kelmarin.

Cuma pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu perlu mengutip pengajaran dan memanfaatkannya ke Siri Super Terbuka Switzerland pula yang kelayakannya bermula hari ini.

Kekalahan kali kelima berturut-turut kepada pemain China, Lin Dan sejak 2 Disember 2007 dalam Siri Super Terbuka Hong Kong juga wajar dilihat oleh anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini sebagai titik tolak kebangkitan.

''Saya hilang tumpuan pada segelintir mata tetapi saya bermain lebih baik daripada Sukan Olimpik (di Beijing, tahun lalu). Secara psikologinya, sukar bagi saya menewaskan Lin Dan tetapi saya harap dapat berpeluang mencuba lagi dan menebusnya (dalam Terbuka Switzerland).

"Saya rasa OK walaupun kalah kerana ia satu perlawanan yang bagus," katanya.

Sementara Lin Dan yang nyaris kalah ketika ketinggalan 17-19 dalam set pertama, memberitahu: "Kami berdua pemain yang bagus. Cuma dari segi psikologinya, saya lebih fokus dan bertenang. Ada ketikanya saya tidak mencapai tahap terbaik sehingga memberikannya kelebihan."

Chong Wei kecundang 19-21, 12-21 selepas 43 minit tetapi dia yang juga pemain No. 1 dunia, mungkin bertembung sekali lagi dengan 'Juara Tembok Besar' itu dalam perlawanan akhir Terbuka Switzerland di St. Jakobshalle, Basel selepas masing-masing diletakkan sebagai pilihan pertama dan kedua kejohanan sirkit Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ini.

Juara Master Akhir Siri Super 2008 dan Terbuka Malaysia tahun ini bagaimanapun perlu melepasi pemain Jepun, Kenichi Tago dalam pusingan pertama malah mungkin berdepan sekali lagi dengan Taufik Hidayat seawal suku akhir yang ditewaskannya 21-8, 21-13 pada separuh akhir Seluruh England.

Chong Wei hanya bergelar naib juara Terbuka Switzerland tahun lalu, juga dengan menjadi mangsa Lin Dan 13-21, 18-21 namun dia pernah menjadi antara pemain Malaysia yang menjuarainya pada 2006, Hafiz Hashim (2005) dan Roslin Hashim (2001) serta Kwan Yoke Meng (1988).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz54fqWViVS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Super Dan terlalu liat

ARKIB : 09/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

LEE Chong Wei gagal membawa balik gelaran Seluruh England selepas tewas kepada pemain China, Lin Dan pada perlawanan akhir di National Indoor Arena, Birmingham, semalam. - AP

KUALA LUMPUR - Episod duka sukan negara berterusan apabila giliran Datuk Lee Chong Wei pula kecundang kepada musuh tradisinya, Lin Dan pada perlawanan akhir badminton Seluruh England di Birmingham, semalam.

Kelmarin, Datuk Nicol Ann David tewas dalam perlawanan akhir Terbuka Kuala Lumpur sekali gus mencatat sejarah tidak sampai 24 jam dua pemain rangking teratas dunia tumbang dalam acara yang berbeza.

Lin Dan yang turun berbekalkan gelaran Olimpik dan juara Dunia langsung tidak memberi ruang kepada Chong Wei dengan mencatatkan kemenangan straight set 21-19, 21-12 di National Indoor Arena, Birmingham.

Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu seakan-akan sudah mengetahui nasibnya ke atas pemain nombor dua dunia itu apabila turun dengan kurang bersemangat dan sering melakukan kesilapan mudah, walaupun ada ketikanya memberikan tentangan sengit dalam set pertama.

Aksi set pertama memperlihatkan Chong Wei bermula dengan kurang yakin apabila membenarkan Lin Dan melakukan mengutip mata demi mata tatkala dia cuba bangkit selepas ketinggalan 12-16.

Walaupun mendahului 19-17 Chong Wei tidak mengambil kesempatan, sebaliknya kerap kali membuat pukulan lambung sekali gus membenarkan pemain yang digelar 'Super Dan' itu melakukan pukulan kencang sekali gus memenangi set pertama 21-19.

Usaha Chong Wei untuk bangkit di set kedua juga tidak kesampaian walaupun dia tidak membenarkan Lin Dan meninggalkan mata dengan terlalu jauh, namun pada kedudukan 12-16 pemain tangan kidal itu terus memungut mata demi mata untuk menang 21-12.

Kekalahan tersebut melebarkan lagi jurang antara kedua-dua pemain dengan Lin Dan mencatatkan 11 kemenangan ke atas Chong Wei, sementara Chong Wei pula hanya menewaskan pemain China itu sebanyak tiga kali.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu ialah di Siri Super Terbuka China tahun lalu yang menyaksikan Chong Wei tewas 21-18, 21-19.

Kejuaraan tersebut ialah yang keempat buat Lin Dan di Seluruh England selepas menjuarainya pada 2004, 2006 dan 2007, bagaimanapun dia tewas kepada rakan senegara Chen Jin 22-20, 25-23 tahun lalu.

Kali terakhir pemain perseorangan lelaki negara menjuarai Seluruh England ialah pada 2003 melalui Mu hammad Hafiz Hashim yang menewaskan pemain China, Chen Hong 17-14, 15-10.

Pada 2007 gandingan beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menewaskan beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-15, 21-18 pada kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, kali ini hanya Chong Wei sahaja berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir manakala dua beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari tersungkur di suku akhir.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz54eBuSEMp

© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei hampiri kejuaraan


 

ARKIB : 08/03/2009
LEE Chong Wei mempamerkan permainan bertenaga ketika menewaskan Taufik Hidayat pada aksi separuh akhir badminton Seluruh England di National Indoor Arena, Birmingham, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR - Hanya tinggal selangkah lagi untuk pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menggenggam gelaran berprestij dan tertua, badminton Seluruh England selepas menumbangkan bekas juara dunia dan Olimpik, Taufik Hidayat dalam separuh akhir, semalam.

Malah, hanya 33 minit yang diperlukan anak jati George Town, Pulau Pinang itu untuk mara ke perlawanan akhir edisi ke-99 dengan kemenangan 21-8, 21-13 sekali gus menjadi wakil tunggal yang masih mendukung cabaran Jalur Gemilang di National Indoor Arena, Birmingham, England.

Juara Terbuka Malaysia dan naib juara Terbuka Korea Selatan 2009 yang berusia 27 tahun ini bakal menentukan pemilik gelaran Seluruh England, hari ini.

Terdahulu Chong Wei, pemenang pingat perak Sukan Olimpik dan juara Master Akhir Siri Super 2008 itu juga tidak menghadapi sebarang masalah untuk menundukkan pemain kurang ternama dari Finland, Ville Lang 21-9, 21-9 dalam tempoh 25 minit perlawanan suku akhir.

Langkah gagah Chong Wei itu bagaimanapun gagal diiringi perseorangan wanita negara, Julia Wong dan dua beregu lelaki kita, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari setelah mereka tersungkur pada suku akhir, kelmarin.

Paling menghampakan ialah juara Seluruh England 2007, Kien Keat-Boon Heong dan Zakry-Fairuzizuan masing-masing hanya dikejutkan oleh gandingan Denmark dan Korea Selatan dalam tempoh 41 dan 31 minit.

Zakry-Fairuzizuan yang juga pilihan keempat, ditewaskan Han Sang Hoon-Hwang Ji Man 9-21, 20-22 sementara pilihan ketiga, Kien Keat-Boon Heong tunduk 7-21, 17-21 di tangan Mathias Boe-Carsten Mogensen yang juga pilihan kelima kejohanan.

Turut kecundang ialah Julia dengan 16-21, 16-21 kepada Nanna Brosolat Jensen dari Denmark dalam satu lagi perlawanan suku akhir selama 34 minit.

Kejayaan Chong Wei, pilihan utama di Birmingham ini turut mengatasi pencapaian terbaiknya pada tahun lalu apabila terkandas dengan kekalahan tipis 18-21, 18-21 kepada pemain China, Chen Jin dalam separuh akhir yang kemudiannya bergelar juara.

Kali terakhir perseorangan lelaki Malaysia muncul juara Seluruh England ialah Muhammad Hafiz Hashim pada 2003 setelah menewaskan Chen Hong dari China 17-14, 15-10.

Kongsi Konten di :


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz54dkm75hL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 9 Januari 2018

Chong Wei, beregu ke suku akhir Seluruh England


 

ARKIB : 06/03/2009
LEE Chong Wei tenang mengambil pukulan lawannya, Marc Zwiebler dari Jerman pada pusingan kedua Seluruh England di Birmingham, semalam. - AP
 KUALA LUMPUR - Tugas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei semakin mudah apabila bakal bertemu pemain bukan pilihan Lang Ville dari Finland dalam suku akhir badminton Seluruh England, hari ini.

Chong Wei sebelum ini dijangka bertemu Sony Dwi Kuncoro yang tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Ville tetapi pemain perseorangan Indonesia itu menarik diri akibat kecederaan belakang.
Semalam, pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu menyingkirkan pemain Jerman, Marc Zwiebler pada pusingan kedua 21-18, 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham.
Selepas ketinggalan 7-9, Chong Wei bangkit dan menang set pertama 21-18 manakala di set kedua pemain berusia 26 tahun itu tidak mempunyai masalah untuk menang 21-16 seterusnya mara ke suku akhir.
Pada pusingan pertama, kelmarin pemain pilihan pertama itu terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan pemain muda China, Lu Yi sehingga ke rubber set 19-21, 21-16, 21-11, manakala Zwiebler pula mengatasi pemain Belanda, Dicky Palyama 14-21, 21-10, 21-18.
Seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng akan bertemu Sasaki Sho dari Jepun hari ini.
Pemain China, Chen Jin selaku pilihan ketiga tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan rakan senegara, Gong Weijie 21-10, 21-10.
Chong Wei tidak keseorangan ke suku akhir apabila beregu lelaki negara juga melepasi halangan apabila Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari menewaskan Anders Kristiansen-Simon Mollyhus dari Denmark yang menarik diri pada set kedua selepas tewas 21-20 dalam set pertama.
Zakry dan Fairuz akan bertemu beregu Korea Selatan, Han Sang Hoon-Hwang Ji Man hari ini yang menewaskan gandingan Jepun, Hayakawa Kenichi-Kazuno Kenta 21-15, 21-15.
Slot suku akhir beregu lelaki bakal diisi satu lagi pasangan negara apabila Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong akan menentang rakan senegara Gan Teck Chai-Tan Bin Shen awal pagi ini.
Bagaimanapun beregu wanita Haw Chiou Hwee-Lim Pek Siah terkandas selepas tewas di tangan beregu Korea Selatan Ha Jung Eun-Kim Ming Jun, 21-4, 21-13.