Sabtu, 19 Ogos 2017

Peluang Chong Wei rangkul juara dunia

 Lee Chong Wei
Keyakinan rangkul juara dunia selepas gagal lapan percubaan
Lee Chong Wei          
SELEPAS ‘menempuh’ beberapa kali kegagalan, Lee Chong Wei mahu memastikan Kejohanan Dunia kali ini langkah merangkul juara dunia.

11 Ogos 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Mengenali Datuk Lee Chong Wei, dia tidak pernah menolak setiap kali diminta mengulas mengenai lawannya atau perancangan menghadapi Kejohanan Badminton Dunia.

Bagaimanapun hari ini, bekas pemain nombor satu dunia itu enggan mengulas ketika ditanya potensi menentang jaguh China, Chen Long seawal peringkat suku akhir dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga seakan cuba mengelak menjawab soalan media mengenai pandangannya terhadap undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini semalam.

“Saya tidak mahu ulas mengenai lawan atau macam mana saya mahu ke final, sebaliknya akan beri tumpuan perlawanan demi perlawanan.

“Kejohanan dunia adalah kejohanan yang besar, jadi saya perlu tenang dan menjaga pemakanan, kesihatan selain dapatkan rehat yang cukup,” katanya ketika ditemui dalam majlis perhimpunan bulanan pertama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Biarpun bakal berdepan tugas getir di Glasgow, Chong Wei yang menjangkau usia 35 tahun pada 21 Oktober ini tetap yakin mengenai peluang terbaiknya merangkul kejuaraan dunia buat kali pertama selepas gagal dalam lapan percubaan terakhir.

“Ini adalah peluang saya untuk menjadi juara dunia. Ini impian saya dan saya sudah banyak kali gagal,” katanya yang tewas kepada Lin Dan dan Chen Long dalam empat final Kejohanan Dunia sebelum ini.

Mengikut undian oleh BWF, Chong Wei akan memulakan kempen dengan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez, dan jika mara ke pusingan kedua, dia bakal bertemu sama ada Misha Zilberman dari Israel atau pemain Croatia, Zvonimir Durkinjak.

Ujian sebenar Chong Wei hadir pada pusingan ketiga apabila dijangka berdepan pilihan ke-10, Tian Houwei dari China, sebelum Chen Long, pemain yang mengalahkannya dalam final Sukan Olimpik tahun lalu dan Kejohanan Dunia 2015 adalah calon menanti di suku akhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/peluang-chong-wei-rangkul-juara-dunia-1.513694#ixzz4qBxBYrFx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 4 Ogos 2017

Lin Dan jadi halangan - Chong Wei gagal pada badminton Terbuka Hong Kong

ARKIB : 03/09/2006
KUALA LUMPUR – Walaupun telah merampas ranking nombor satu dunia daripada Lin Dan, namun jaguh China itu terus menjadi ‘badi’ buat Lee Chong Wei apabila menundukkan jaguh perseorangan negara itu buat kali ketiga berturut-turut pada perlawanan perlawanan akhir badminton Terbuka Hong Kong, semalam.

Hasrat Malaysia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu gelaran daripada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM916,750) itu tidak kesampaian apabila pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula tewas dalam final beregu lelaki.

Chong Wei, 24, yang memburu kejuaraan antarabangsa keempatnya tahun ini tunduk 19-21, 21-18, 16-21 dalam perlawanan yang berlangsung hampir 60 minit.

Bagi juara Asia, Terbuka Malaysia dan Terbuka Switzerland itu, ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut di tangan Lin Dan selepas turut tewas pada Terbuka Taiwan dan Macau, Julai lalu - kesemuanya dalam perlawanan akhir.

Chong Wei dan Lin Dan telah bertembung sebanyak enam kali sejak Julai, 2005 dan Chong Wei hanya menang dua daripada enam pertemuan tersebut -- kedua-duanya pada Terbuka Malaysia.

Semalam, Chong Wei mempamer pertahanan yang mantap, terutama pada set pertama tetapi permainan di jaring yang lemah membenarkan Lin Dan mencuri mata demi mata.

Kesabaran Chong Wei membenarkan dia memenangi set kedua 21-8, bagaimanapun kesilapan di jaring yang kerap dilakukan sekali lagi memerangkapnya untuk memberi kemenangan mutlak kepada Lin Dan.

Sementara itu, Tan Fook-Wan Wah gagal merangkul kejuaraan keduanya tahun ini selepas tumpas 24-22, 16-21, 20-22 kepada pasangan muda Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan.

Selepas mencipta kejutan ke atas beregu nombor dua dunia, Cai Yun-Fu Haifeng dari China di separuh akhir semalam, Tan Fook-Wan Wah gagal untuk meneruskan kecemerlangan biarpun mempamer aksi mantap pada awal saingan.

Juara Asia dan naib juara Seluruh England itu bagaimanapun dijangka akan memperoleh ranking yang lebih baik menjelang Kejohanan Dunia di Madrid, 15-24 September ini.

Bagi Chong Wei pula, kekalahan kepada Lin Dan tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia sekurang-kurangnya sehingga kejohanan di Madrid, di mana dia akan turun sebagai pilihan pertama.

Dalam perlawanan beregu campuran, pasangan Nova Widianto-Lilyana Natsir gagal memberikan gelaran kedua buat Indonesia apabila kecundang 20-22, 16-21 kepada Zheng Bo-Zhao Tingting dari China.

China juga merangkul kejuaraan dalam beregu wanita, yang menemukan dua pasangan negara itu di final. Gao Ling-Huang Sui menewaskan Yang Wei- Zhang Jiewen 21-19, 15-21, 21-19.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4omdID1hY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei, Tan Fook-Wan Wah ke babak akhir

ARKIB : 02/09/2006
KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan negara, Lee Chong Wei dan pasangan Chong Tan Fook-Lee Wan Wah meneruskan cabaran negara apabila layak ke perlawanan akhir badminton Terbuka Hong Kong.

Di peringkat separuh akhir yang berlangsung di Institut Sukan Hong Kong semalam, Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua menewaskan pemain muda China, Chen Yu menerusi permainan tiga set 11-21, 21-19, 24-22.

Pada perlawanan akhir hari ini, Chong Wei akan menentang seorang lagi pemain China, Lin Dan yang juga merupakan pilihan pertama kejohanan

Sementara itu, Tan Fook-Wan Wah mengejutkan pilihan kedua, Fu Haifeng-Cai Yun dari China juga dengan permainan tiga set 8-21, 21-19, 22-20.

Pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan ketiga akan bertemu pasangan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan pada perlawanan akhir hari ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ombAMRW6

© Utusan Melayu (M) Bhd