ARKIB : 23/08/2006
KUALA LUMPUR Kuan Beng Hong
menerima tamparan hebat dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia bulan depan
apabila muncul antara tiga perseorangan lelaki negara yang tersingkir dalam
pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Korea, semalam.
Pemain nombor dua dunia, Lee
Chong Wei bagaimanapun mengetuai kemaraan tujuh lagi perseorangan lelaki Malaysia,
dan menempah pertemuan dengan rakan senegara, Mohd. Roslin Hashim pada pusingan
kedua, hari ini.
Beng Hong, yang bakal membuat
penampilan sulung pada Kejohanan Dunia di Madrid, 18-24 September ini tunduk
21-13, 19-21, 13-21 kepada pemain England, Andrew Smith.
Turut tersingkir seawal
pusingan pertama pada kejohanan enam bintang bernilai itu AS$300,000 (RM1.1
juta) itu adalah Pei Wei Chung, yang kalah 8-21, 10-21 kepada P. Kashyap dari
India, manakala K. Yogendran tumpas 13-21, 9-21 di tangan pemain Korea, Park
Sung Hwan.
Chong Wei pula menepati
statusnya sebagai pilihan pertama selepas menyingkirkan Petr Koukal dari
Republik Czech 21-11, 21-12, sementara Roslin menang mudah 21-7, 21-8 ke atas
Kim Dong Hun dari Korea.
Cabaran Malaysia turut diteruskan
oleh juara Seluruh England 2003, Muhd. Hafiz Hashim, Yeoh Kay Bin, James Chua,
Lee Tsuen Seng dan Sairol Amar Ayob.
Hafiz, pilihan kelima
menumpaskan Nicholas Kidd dari England 21-19, 21-7 untuk bertemu pemain
Thailand, Poompat Sapkulchananart, yang sebelum itu menewaskan Ajay Jayaram
dari India 21-14, 21-14.
Kay Bin pula bakal berdepan
pemain nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana selepas mengalahkan Magnus
Sahlberg dari Sweden 21-14, 21-8.
Sairol dan Tsuen Seng akan
bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua hari ini. Sairol mara selepas
mengalahkan Przemyslaw Wacha dari Poland 23-21, 21-15, manakala Tsuen Seng
menumpaskan pemain Jepun, Yousuke Hakanishi 21-12, 16-21, 21-12.
Sementara itu, juara
kebangsaan, Julia Wong meneruskan cabaran perseorangan wanita selepas
menumpaskan Petya Nedelcheva dari Bulgaria 21-19, 21-18 untuk bertemu Yip Pui
Yin dari Hong Kong.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4oGYQC4pJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan