Jumaat, 4 Ogos 2017

Lin Dan jadi halangan - Chong Wei gagal pada badminton Terbuka Hong Kong

ARKIB : 03/09/2006
KUALA LUMPUR – Walaupun telah merampas ranking nombor satu dunia daripada Lin Dan, namun jaguh China itu terus menjadi ‘badi’ buat Lee Chong Wei apabila menundukkan jaguh perseorangan negara itu buat kali ketiga berturut-turut pada perlawanan perlawanan akhir badminton Terbuka Hong Kong, semalam.

Hasrat Malaysia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu gelaran daripada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM916,750) itu tidak kesampaian apabila pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula tewas dalam final beregu lelaki.

Chong Wei, 24, yang memburu kejuaraan antarabangsa keempatnya tahun ini tunduk 19-21, 21-18, 16-21 dalam perlawanan yang berlangsung hampir 60 minit.

Bagi juara Asia, Terbuka Malaysia dan Terbuka Switzerland itu, ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut di tangan Lin Dan selepas turut tewas pada Terbuka Taiwan dan Macau, Julai lalu - kesemuanya dalam perlawanan akhir.

Chong Wei dan Lin Dan telah bertembung sebanyak enam kali sejak Julai, 2005 dan Chong Wei hanya menang dua daripada enam pertemuan tersebut -- kedua-duanya pada Terbuka Malaysia.

Semalam, Chong Wei mempamer pertahanan yang mantap, terutama pada set pertama tetapi permainan di jaring yang lemah membenarkan Lin Dan mencuri mata demi mata.

Kesabaran Chong Wei membenarkan dia memenangi set kedua 21-8, bagaimanapun kesilapan di jaring yang kerap dilakukan sekali lagi memerangkapnya untuk memberi kemenangan mutlak kepada Lin Dan.

Sementara itu, Tan Fook-Wan Wah gagal merangkul kejuaraan keduanya tahun ini selepas tumpas 24-22, 16-21, 20-22 kepada pasangan muda Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan.

Selepas mencipta kejutan ke atas beregu nombor dua dunia, Cai Yun-Fu Haifeng dari China di separuh akhir semalam, Tan Fook-Wan Wah gagal untuk meneruskan kecemerlangan biarpun mempamer aksi mantap pada awal saingan.

Juara Asia dan naib juara Seluruh England itu bagaimanapun dijangka akan memperoleh ranking yang lebih baik menjelang Kejohanan Dunia di Madrid, 15-24 September ini.

Bagi Chong Wei pula, kekalahan kepada Lin Dan tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia sekurang-kurangnya sehingga kejohanan di Madrid, di mana dia akan turun sebagai pilihan pertama.

Dalam perlawanan beregu campuran, pasangan Nova Widianto-Lilyana Natsir gagal memberikan gelaran kedua buat Indonesia apabila kecundang 20-22, 16-21 kepada Zheng Bo-Zhao Tingting dari China.

China juga merangkul kejuaraan dalam beregu wanita, yang menemukan dua pasangan negara itu di final. Gao Ling-Huang Sui menewaskan Yang Wei- Zhang Jiewen 21-19, 15-21, 21-19.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4omdID1hY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan