Rabu, 21 Mac 2018

Piala Sudirman: Rashid tenang, Chong Wei sedia layan jaguh China


ARKIB : 06/05/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Selepas mendapat lampu hijau dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghantar skuad ke kejohanan Piala Sudirman yang bermula Ahad ini, ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek (gambar) mengakui anak-anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya.

Menurut bekas pemain perseorangan negara itu, tidak kira sama ada keputusan menghantar atau tidak skuad ke kejohanan Piala Sudirman pemain tetap berada dalam keadaan bersedia berikutan keputusan tersebut terletak di tangan BAM.

"Saya sentiasa pastikan pemain berada dalam keadaan bersedia walaupun sebelum ini timbul desas-desus mengenai status pasukan kami tidak akan dihantar akibat wabak selesema babi (H1N1)," katanya ditemui pada sesi latihan pemain negara di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Jelasnya, pemain sentiasa bersemangat untuk memperagakan aksi terbaik seterusnya menepati sasaran untuk melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir.

"Pada kejohanan yang sama sebelum ini, kami hanya menduduki tempat keenam dan edisi kali ini kami mensasarkan untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir terlebih dahulu.

"Ini adalah sasaran yang realistik dan selepas berjaya melonjak sehingga ke peringkat separuh akhir barulah kami fikir untuk sasaran yang seterusnya," kata Rashid.

Rashid mengakui kelebihan sekarang adalah berpihak kepada pasukan tuan rumah, China kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Mereka (China) memiliki pemain standard tinggi tetapi pemain kita perlulah menanamkan semangat berjuang untuk mengulangi sejarah Piala Thomas 2002 di Guangzhou, di mana kami berjaya menewaskan China.

"Saya rasa untuk menewaskan China di tempat sendiri adalah tidak mustahil dan buat masa sekarang semuanya berada dalam keadaan terkawal," kata Rashid dengan tenang.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei begitu bersemangat untuk memberi aksi terbaik di Guangzhou seterusnya membawa pulang Piala Sudirman ke tanah air.

"Sebagai pemain pertama yang akan memberi mata buat negara, saya berjanji untuk beraksi dengan bersungguh-sungguh seterusnya membantu pasukan mencatatkan kemenangan," katanya.

Pemain nombor satu dunia itu berkata, setakat ini kerjasama di antara jurulatih (Rashid) dan pemain yang lain berjalan dengan lancar dengan masing-masing membantu antara satu sama lain.

"Dua hari sebelum bertolak ke sana kami telah melakukan persiapan rapi dengan masing-masing memberi fokus yang sepenuhnya di dalam latihan.

"Walaupun saya mengalami sedikit kecederaan belakang tetapi ia bukan masalah utama untuk membawa pulang Piala Sudirman ke sini," katanya.

Ditanya mengenai wabak selesema babi (H1N1), Chong Wei berkata, ia tidak menjadi penghalang kepada pemain dan apa yang harus dilakukan mereka adalah sentiasa berjaga-jaga serta tidak keluar ke mana-mana kecuali di tempat penginapan (hotel).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ANSxmCGo
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan