Ahad, 3 Februari 2019

Chong Wei, Gade tentukan juara


ARKIB : 26/06/2011
Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menghitung pertemuan dengan wakil Denmark, Peter Hoeg Gade pada pentas akhir badminton Terbuka Indonesia hari ini.

Chong Wei, pemain tunggal negara yang meneruskan cabaran pada kejohanan itu menewaskan pemain muda China, Chen Long dalam saingan separuh akhir, semalam.

Sekiranya berjaya mengatasi Gade, Chong Wei bakal melakar hatrik setelah menjuarainya pada 2009 dan 2010.

Malah, kemenangan itu juga merupakan yang keempat buatnya setelah kali pertama meraih kejayaan Terbuka Indonesia pada 2007.

Chong Wei yang menjadi wakil tunggal Malaysia pada separuh akhir tidak berhadapan masalah mengetepikan cabaran Chen Long straight set 21-17, 21-18.

Kemenangan tersebut turut melebarkan rekod pertemuan yang berpihak kepada anak jati Bukit Mertajam, Pulau Chong Wei bermula baik pada set pertama setelah mendahului 12-4, sebelum Chen Long mengejar dari belakang bagi merapatkan jurang kepada 15-13.

Namun, menyedari lawan yang cuba bangkit, Chong Wei bertindak pantas untuk menamatkan saingan set pertama dengan kedudukan 21-17.

Pada set kedua, Chen Long yang menjadi wakil tunggal China dalam aksi perseorangan lelaki, mengemaskan permainannya untuk bersaing bagi mendahului 10-13.

Bagaimanapun, Chong Wei yang tidak mudah menyerah kalah, kembali memberikan tentangan sengit apabila mengikat kedudukan 14-14 sebelum menamatkan perlawanan 21-18.

Kemenangan itu menemukan Chong Wei dengan Gade setelah wakil Eropah itu menewaskan pemain Jepun, Sho Sasaki 21-11, 21-14 dalam masa 34 minit.

Di atas kertas, peluang sememangnya berpihak kepada Chong Wei yang memiliki rekod cemerlang 12-1 ke atas pemain Denmark itu, setelah kali terakhir kedua-dua pemain bertemu di Terbuka India, 1 Mei lalu yang menyaksikan Chong Wei mencatat kemenangan 21-12, 12-21, 21-15.

"Peter merupakan pemain yang berpengalaman luas dan memiliki penguasaan gelanggang yang amat baik.

"Pada usianya kini (34 tahun), Peter masih berada di kalangan pemain terbaik dunia dan mampu menyukarkan sesiapa sahaja yang berhadapan dengannya," katanya.

Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, pasangan China, Cai Yun-Fu Hai Feng menewaskan beregu berpengalaman Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan 21-18, 21-15.

Pasangan China itu akan bertemu rakan senegara, Chai Biao-Guo Zhendong yang menewaskan satu lagi beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano 18-21, 21-11, 21-18.

Perseorangan wanita pula menyaksikan wakil India, Saina Nehwal bertemu Wang Yihan. Saina mengalahkan pemain Taiwan, Cheng Shao Chieh 21-14, 14-21, 21-17, manakala, Yi Han menyingkirkan rakan senegara, Jiang Yanjiao 21-13, 21-12.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eX23H46I
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan