Ahad, 3 Februari 2019

Kejuaraan sempurna Chong Wei


ARKIB : 27/06/2011
KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei bukan sekadar merangkul gelaran Siri Super Terbuka Indonesia buat kali keempat, bahkan pemain badminton No. 1 dunia itu mempamerkan kesempurnaan apabila tidak melepaskan walau satu set pun pada kejohanan tersebut selepas perlawanan akhir, semalam.

Kemenangan mudah 21-11, 21-7 ke atas Peter Hoeg Gade dalam tempoh 31 minit di Stadium Istora Senayan semalam, membuktikan kejaguhan anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini selain melebarkan rekod pertemuan dengan pemain veteran Denmark itu kepada 12 berbalas satu.

Selaku juara Terbuka Indonesia 2011, Chong Wei yang turut mengulangi kejayaan di sini pada 2007, 2009 dan tahun lalu, meraih ganjaran AS$45,000 (RM136,822).

Gade, 34, yang muncul naib juara pulang dengan hadiah AS$22,000 (RM66,891).

Pemain negara itu juga mencatat sejarah tersendiri pada kejohanan itu sebagai pemain bukan Indonesia pertama yang menjuarainya kali ketiga berturut-turut.

Chong Wei, pilihan pertama kejohanan tidak kalah walau dalam satu set, turut mencatat kemenangan mudah sebelum ini dengan menewaskan pemain tuan rumah, Tommy Sugiarto 21-16, 21-8; Wong Wing Ki (Hong Kong) 21-17, 21-12; Nguyen Tien Minh (Vietnam) 21-10, 21-14 dan Chen Long (China) 21-17, 21-18 pada separuh akhir, kelmarin.

Hasrat peminat badminton dunia menyaksikan pertembungan ulangan Seluruh England dengan Lin Dan, tidak menjadi kenyataan apabila musuh tradisi dari China itu ditewaskan Sho Sasaki dari Jepun, 12-21, 18-21 pada pusingan kedua.

Mengulas kemenangannya semalam, Chong Wei berkata, dia berpuas hati kerana berjaya menang mudah ke atas Gade, yang dikenali sebagai pemain yang tidak kenal istilah putus asa.

"Saya memang mengagumi Gade kerana dia seorang pemain yang sama sekali tidak akan mengalah walaupun jauh ditinggalkan oleh lawan.

"Namun hari ini dia nampaknya mula kenal makna putus asa setelah jauh ketinggalan.

"Kemenangan ini menjadi perangsang untuk saya menjelang Kejohanan Dunia Ogos depan.

"Dengan prestasi saya sekarang, kali ini mungkin giliran saya untuk menjuarai Kejohanan Dunia," katanya.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eSwTpbLw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan