Khamis, 29 Jun 2017

Chong Wei turun ranking kedua dunia



ARKIB : 28/07/2006
BANGKOK – Lee Chong Wei kehilangan gelaran sebagai pemain nombor satu dunia selepas kalah di Terbuka Thailand, kelmarin.

Ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam menyaksikan Chong Wei dipintas pemain China, Lin Dan yang menewaskannya pada perlawanan akhir Terbuka Macau, minggu lalu.

Sementara itu, Mohd Hafiz Hashim semakin hampir untuk mengekalkan kejuaraannya setelah melayakkan diri ke suku akhir acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Thailand yang menawarkan hadiah US$80,000.

Malaysia sudah pasti akan meletakkan sekurang-kurangnya seorang pemain pada separuh akhir oleh kerana Mohd Hafiz akan berdepan dengan rakan pasukan Yeoh Kay Bin dalam lapan terakhir hari ini.

Pada pusingan ketiga semalam, Mohd Hafiz menewaskan pemain Jepun Nakanishi Yousuke 21-16 dan 21-16 dalam masa 35 minit sementara Yeoh menumpaskan rakan pasukan Chua Jamas 21-10, 19-21 dan 21-12 dalam perlawanan yang mengambil masa 55 minit.

Seorang lagi peserta Malaysia Tan Chun Seang tumpas kepada pemain China Chen Yu 21-16, 12-21 dan 6-21. Chen Yu mengejutkan pemain nombor satu dunia dan pilihan utama Malaysia Lee Chong Wei pada pusingan kedua semalam.

Pemain kelima Malaysia pada pusingan ketiga, Pei Wee Chung juga gagal memasuki suku akhir, tewas 11-21 dan 18-21 di tangan pemain China Bao Chunlai.

Pemain utama Thailand Boonsak Ponsana mengekalkan kibaran bendera negaranya dengan menumpaskan pemain Korea Lee Hyun Ii 17-21, 21-11 dan 21-13 dalam perlawanan yang cukup menarik selama 55 minit untuk memasuki suku akhir, bakal berentap dengan Chen Yu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4lNYIt5AG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan