Jumaat, 19 Januari 2018

Chong Wei hampiri kejuaraan


 

ARKIB : 08/03/2009
LEE Chong Wei mempamerkan permainan bertenaga ketika menewaskan Taufik Hidayat pada aksi separuh akhir badminton Seluruh England di National Indoor Arena, Birmingham, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR - Hanya tinggal selangkah lagi untuk pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menggenggam gelaran berprestij dan tertua, badminton Seluruh England selepas menumbangkan bekas juara dunia dan Olimpik, Taufik Hidayat dalam separuh akhir, semalam.

Malah, hanya 33 minit yang diperlukan anak jati George Town, Pulau Pinang itu untuk mara ke perlawanan akhir edisi ke-99 dengan kemenangan 21-8, 21-13 sekali gus menjadi wakil tunggal yang masih mendukung cabaran Jalur Gemilang di National Indoor Arena, Birmingham, England.

Juara Terbuka Malaysia dan naib juara Terbuka Korea Selatan 2009 yang berusia 27 tahun ini bakal menentukan pemilik gelaran Seluruh England, hari ini.

Terdahulu Chong Wei, pemenang pingat perak Sukan Olimpik dan juara Master Akhir Siri Super 2008 itu juga tidak menghadapi sebarang masalah untuk menundukkan pemain kurang ternama dari Finland, Ville Lang 21-9, 21-9 dalam tempoh 25 minit perlawanan suku akhir.

Langkah gagah Chong Wei itu bagaimanapun gagal diiringi perseorangan wanita negara, Julia Wong dan dua beregu lelaki kita, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari setelah mereka tersungkur pada suku akhir, kelmarin.

Paling menghampakan ialah juara Seluruh England 2007, Kien Keat-Boon Heong dan Zakry-Fairuzizuan masing-masing hanya dikejutkan oleh gandingan Denmark dan Korea Selatan dalam tempoh 41 dan 31 minit.

Zakry-Fairuzizuan yang juga pilihan keempat, ditewaskan Han Sang Hoon-Hwang Ji Man 9-21, 20-22 sementara pilihan ketiga, Kien Keat-Boon Heong tunduk 7-21, 17-21 di tangan Mathias Boe-Carsten Mogensen yang juga pilihan kelima kejohanan.

Turut kecundang ialah Julia dengan 16-21, 16-21 kepada Nanna Brosolat Jensen dari Denmark dalam satu lagi perlawanan suku akhir selama 34 minit.

Kejayaan Chong Wei, pilihan utama di Birmingham ini turut mengatasi pencapaian terbaiknya pada tahun lalu apabila terkandas dengan kekalahan tipis 18-21, 18-21 kepada pemain China, Chen Jin dalam separuh akhir yang kemudiannya bergelar juara.

Kali terakhir perseorangan lelaki Malaysia muncul juara Seluruh England ialah Muhammad Hafiz Hashim pada 2003 setelah menewaskan Chen Hong dari China 17-14, 15-10.

Kongsi Konten di :


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz54dkm75hL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan