ARKIB : 09/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
LEE Chong Wei gagal membawa balik gelaran
Seluruh England selepas tewas kepada pemain China, Lin Dan pada perlawanan
akhir di National Indoor Arena, Birmingham, semalam. - AP
KUALA LUMPUR - Episod duka sukan negara
berterusan apabila giliran Datuk Lee Chong Wei pula kecundang kepada musuh
tradisinya, Lin Dan pada perlawanan akhir badminton Seluruh England di
Birmingham, semalam.
Kelmarin, Datuk Nicol Ann David tewas dalam
perlawanan akhir Terbuka Kuala Lumpur sekali gus mencatat sejarah tidak sampai
24 jam dua pemain rangking teratas dunia tumbang dalam acara yang berbeza.
Lin Dan yang turun berbekalkan gelaran Olimpik
dan juara Dunia langsung tidak memberi ruang kepada Chong Wei dengan
mencatatkan kemenangan straight set 21-19, 21-12 di National Indoor Arena, Birmingham.
Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu
seakan-akan sudah mengetahui nasibnya ke atas pemain nombor dua dunia itu
apabila turun dengan kurang bersemangat dan sering melakukan kesilapan mudah,
walaupun ada ketikanya memberikan tentangan sengit dalam set pertama.
Aksi set pertama memperlihatkan Chong Wei
bermula dengan kurang yakin apabila membenarkan Lin Dan melakukan mengutip mata
demi mata tatkala dia cuba bangkit selepas ketinggalan 12-16.
Walaupun mendahului 19-17 Chong Wei tidak
mengambil kesempatan, sebaliknya kerap kali membuat pukulan lambung sekali gus
membenarkan pemain yang digelar 'Super Dan' itu melakukan pukulan kencang
sekali gus memenangi set pertama 21-19.
Usaha Chong Wei untuk bangkit di set kedua juga
tidak kesampaian walaupun dia tidak membenarkan Lin Dan meninggalkan mata
dengan terlalu jauh, namun pada kedudukan 12-16 pemain tangan kidal itu terus
memungut mata demi mata untuk menang 21-12.
Kekalahan tersebut melebarkan lagi jurang antara
kedua-dua pemain dengan Lin Dan mencatatkan 11 kemenangan ke atas Chong Wei,
sementara Chong Wei pula hanya menewaskan pemain China itu sebanyak tiga kali.
Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu ialah
di Siri Super Terbuka China tahun lalu yang menyaksikan Chong Wei tewas 21-18,
21-19.
Kejuaraan tersebut ialah yang keempat buat Lin
Dan di Seluruh England selepas menjuarainya pada 2004, 2006 dan 2007,
bagaimanapun dia tewas kepada rakan senegara Chen Jin 22-20, 25-23 tahun lalu.
Kali terakhir pemain perseorangan lelaki negara
menjuarai Seluruh England ialah pada 2003 melalui Mu hammad Hafiz Hashim yang
menewaskan pemain China, Chen Hong 17-14, 15-10.
Pada 2007 gandingan beregu negara, Koo Kien
Keat-Tan Boon Heong menewaskan beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-15, 21-18
pada kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, kali ini hanya Chong Wei sahaja
berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir manakala dua beregu negara, Koo Kien
Keat-Tan Boon Heong dan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari tersungkur di suku
akhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz54eBuSEMp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan