Selasa, 9 Januari 2018

Chong Wei, beregu ke suku akhir Seluruh England


 

ARKIB : 06/03/2009
LEE Chong Wei tenang mengambil pukulan lawannya, Marc Zwiebler dari Jerman pada pusingan kedua Seluruh England di Birmingham, semalam. - AP
 KUALA LUMPUR - Tugas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei semakin mudah apabila bakal bertemu pemain bukan pilihan Lang Ville dari Finland dalam suku akhir badminton Seluruh England, hari ini.

Chong Wei sebelum ini dijangka bertemu Sony Dwi Kuncoro yang tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Ville tetapi pemain perseorangan Indonesia itu menarik diri akibat kecederaan belakang.
Semalam, pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu menyingkirkan pemain Jerman, Marc Zwiebler pada pusingan kedua 21-18, 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham.
Selepas ketinggalan 7-9, Chong Wei bangkit dan menang set pertama 21-18 manakala di set kedua pemain berusia 26 tahun itu tidak mempunyai masalah untuk menang 21-16 seterusnya mara ke suku akhir.
Pada pusingan pertama, kelmarin pemain pilihan pertama itu terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan pemain muda China, Lu Yi sehingga ke rubber set 19-21, 21-16, 21-11, manakala Zwiebler pula mengatasi pemain Belanda, Dicky Palyama 14-21, 21-10, 21-18.
Seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng akan bertemu Sasaki Sho dari Jepun hari ini.
Pemain China, Chen Jin selaku pilihan ketiga tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan rakan senegara, Gong Weijie 21-10, 21-10.
Chong Wei tidak keseorangan ke suku akhir apabila beregu lelaki negara juga melepasi halangan apabila Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari menewaskan Anders Kristiansen-Simon Mollyhus dari Denmark yang menarik diri pada set kedua selepas tewas 21-20 dalam set pertama.
Zakry dan Fairuz akan bertemu beregu Korea Selatan, Han Sang Hoon-Hwang Ji Man hari ini yang menewaskan gandingan Jepun, Hayakawa Kenichi-Kazuno Kenta 21-15, 21-15.
Slot suku akhir beregu lelaki bakal diisi satu lagi pasangan negara apabila Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong akan menentang rakan senegara Gan Teck Chai-Tan Bin Shen awal pagi ini.
Bagaimanapun beregu wanita Haw Chiou Hwee-Lim Pek Siah terkandas selepas tewas di tangan beregu Korea Selatan Ha Jung Eun-Kim Ming Jun, 21-4, 21-13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan