Isnin, 3 Disember 2018

Chong Wei juara Hong Kong


ARKIB : 16/11/2009
KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya merangkul kejuaraan keenamnya musim ini selepas meraih gelaran badminton Terbuka Hong Kong, semalam.

Walaupun terpaksa diheret ke permainan set penentuan, aksi bersemangat Chong Wei memberikan kejayaan bermakna buatnya menumbangkan pemain veteran Denmark, Peter Hoeg Gade 21-13, 13-21, 21-16.

Chong Wei yang beraksi selepas berehat dua bulan akibat kecederaan, bermula dengan baik pada set pertama meninggalkan lawannya 11-6.

Aksi meyakinkan diteruskannya apabila meninggalkan jauh lawannya itu 16-8 sebelum memenangi set pertama 21-13.

Bagaimanapun, Chong Wei terpaksa berhempas-pulas pada set kedua, selepas saling mengejar mata, dia mula hilang tumpuan apabila ketinggalan 17-10 sebelum tewas 21-13.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang menumpaskan Bao Chunlai di separuh akhir kelmarin, kembali menemui sentuhan pada set ketiga.

Ketinggalan 0-3 pada awal set penentuan itu tidak menghalang Chong Wei untuk mempamerkan aksi agresif dan memaksa Hoeg Gade bergerak di setiap penjuru gelanggang.

Ia membolehkan Chong Wei kembali mengusai permainan dengan mendahului 12-6 dan Hoeg Gade semakin tertekan di akhir-akhir saingan selepas ketinggalan 16-9, sebelum tewas 21-16.

Chong Wei, 27, yang baru sembuh daripada kecederaan lutut menamatkan perlawanan tersebut dalam tempoh 58 minit.

Selain Terbuka Hong Kong, Chong Wei turut meraih gelaran Siri Super Terbuka Malaysia, Switzerland serta Indonesia, selain kejuaraan Grand Prix Emas, Terbuka Macau dan Malaysia.

Dalam aksi perseorangan wanita akhir, pemain negara tembok besar, Wang Yihan berjaya menumpaskan rakan senegara Jiang Yanjiao 21-13, 21-15.

Turut melakar kejayaan ialah beregu lelaki Korea Selatan Jung Jae Sung - Lee Yong Dae yang mengetepikan cabaran pasangan Denmark, Lars Paaske - Jonas Rasmussen 13-21, 21-15, 21-8.

China juga unggul dalam acara beregu wanita apabila Ma Jin - Wang Xiaoli mengenepikan rakan senegara Du Jing - Yu Yang 16-21, 21-19, 21-12.

Pasangan Poland, Robert Mateusiak-Nadiezda Kostiuczyk melakukan kejutan dalam beregu campuran selepas mengalahkan pasangan Indonesia yang merupakan pilihan ketiga kejohanan, Nova Widianto - Liliyana Natsir 22-20, 21-16.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Ycqnv6yB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan