Ahad, 2 Disember 2018

Chong Wei mara menuju pertarungan dengan Lin Dan


ARKIB : 18/09/2009
KUALA LUMPUR - Pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak berhadapan masalah besar untuk mara ke saingan suku akhir Siri Super China Masters apabila mengetepikan pemain England, Ouseph Rajiv 21-15, 21-8, semalam.

Kemenangan itu mendekatkan lagi pertemuan Chong Wei dengan seteru utamanya dari China, Lin Dan yang dijangkakan akan bertemu di separuh akhir.

Pertemuan suku akhir yang berlangsung hari ini bakal menemukan Chong Wei dengan seorang lagi rakan senegara Lin Dan, Du Pengyu.

Persaingan pusingan kedua semalam menyaksikan Pengyu mudah menumbangkan pemain Denmark, Persson Joachim 21-16, 21-15.

Sementara itu, Lin Dan meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan pemain Taiwan, Hsieh Yu Hsin 21-15, 21-19 dan akan bertemu pemain Korea, Park Sung Hwan.

Sung Hwan melangkah ke suku akhir setelah menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun 22-20, 21-17.

Turut mengiringi Chong Wei ke suku akhir ialah pasangan beregu negara Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah apabila menumbangkan pemain China, Chai Biao dan Zhang Nan 21-16, 10-21, 21-9.

Selain itu, satu lagi pasangan beregu negara, Gan Teik Chai dan Tan Bin Shen turut mempersembahkan permainan baik apabila menundukkan beregu China, Lei Weiliang dan Huang Haitao 21-6 21-16.

Pasangan Tan Fook dan Wan Wah akan bertemu beregu China, Li Tian dan Shen Ye, setelah beregu negara republik itu mencatat kemenangan 21-13, 21-9 ke atas rakan senegara, Li Hannan dan Li Haonan.

Sementara itu, Teik Chai dan Bin Shen akan bertemu beregu Korea, Cho Gun Woo dan Yoo Yeon Seong yang mencatat kemenangan 21-8, 21-13 ke atas beregu China, Liu Xiaolong dan Qiu Zihan.

Kelmarin, cabaran naib juara Terbuka Taiwan dan Macau, Wong Choong Hann berakhir awal selepas dikejutkan pemain muda tuan rumah, Chen Long 9-21, 17-21.

Turut tersingkir awal, perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo yang kecundang 17-21, 11-21 di tangan pemain China, Jiang Yanjiao.

Beregu veteran, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng melengkapkan hari malap Malaysia kelmarin apabila tunduk 19-21, 15-21 kepada Li Tian-Shen Ye dari China.

Kelmarin juga menyaksikan Teik Chai turut tidak bernasib baik ketika mencuba nasib dalam acara beregu campuran apabila gandingannya bersama Anastasia Russkikh dari Rusia tewas 15-21, 21-9, 18-21 kepada pasangan China, Zheng Bo-Tian Qing.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Ya8bUIA8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan