Isnin, 3 Disember 2018

Taufik terkulai di tangan Chong Wei dalam 27 minit


ARKIB : 04/12/2009
JOHOR BAHRU - Datuk Lee Chong Wei menepati reputasi selaku pemain No. 1 dunia dan pilihan pertama pada kempen Kejohanan Badminton Super Master Akhir apabila menundukkan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat 21-6 21-7 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini, semalam.

Kemenangan kedua Chong Wei dalam Kumpulan B itu diraih mudah dan berlangsung pantas dalam tempoh 27 minit sekali gus mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir esok.

Taufik yang merupakan bekas juara Olimpik dan dunia jelas diperkotak-katik untuk dipaksa berlari ke segenap penjuru gelanggang menerusi hantaran bola ke belakang dan di depan jaring sebelum Chong Wei mengutip mata demi mata menerusi pukulan tajam.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang temui berkata, dia sedikit hairan bagaimana dapat menghabiskan permainan itu dengan begitu pantas namun apa yang penting apabila dapat mengutip kemenangan kedua.

"Walaupun sudah layak ke peringkat separuh akhir, saya tidak akan memandang ringan perlawanan terakhir menentang pemain China, Bao Chunlai malam esok (malam ini).

"Saya juga tidak mahu memikirkan siapa yang akan ditentang pada peringkat separuh akhir sebaliknya bersedia untuk menghadapi mana-mana pemain agar sasaran mara ke perlawanan akhir tercapai," katanya.

Terdahulu dalam kumpulan yang sama, jaguh China, Bao Chunlai dipaksa bermain sehingga tiga set dengan pemain Taiwan, Hsieh Yu Hsin sebelum menang 17-21 21-8 21-16 dalam tempoh 52 minit.

Kumpulan A pula menyaksikan bintang Thailand, Boonsak Ponsana menumpaskan pemain Denmark, Jan Jorgensen 21-9 21-18 dalam tempoh 33 minit manakala Park Sung Hwan dari Korea membenam cabaran seorang lagi pemain Denmark, Peter Hoeg Gade dalam aksi sengit tiga set 21-12 7-21 21-15.

Sementara itu, perseorangan wanita utama negara, Wong Mew Choo meneruskan rentak kemenangan kedua apabila mudah mengetepikan cabaran pemain Thailand, Porntip Buranaprasertsuk 21-9 21-7 dalam tempoh 27 minit.

Mew Choo jelas menampilkan aksi penuh bertenaga apabila bijak menggunakan kelebihan beraksi di jaring di samping pukulan tajam di ruang kosong bagi mencerahkan peluangnya ke peringkat separuh akhir.

Dia berkata, kemenangan di atas gelanggang itu banyak dibantu oleh corak permainannya yang tidak dibelenggu perasaan tertekan sebaliknya menerapkan rasa seronok ketika bermain.

"Mungkin juga kerana saya bukan pemain pilihan pada kejohanan kali ini dan hanya disahkan beraksi pada saat-saat akhir.

"Namun kemenangan mudah yang diperolehi agak mengejutkan kerana kali terakhir saya bertemu Porntip dua tahun lalu dan terpaksa menang dalam aksi tiga set," katanya yang mengadu masih terasa sengal di lututnya yang masih dalam proses pemulihan.

Nasib dua pasangan beregu negara pula membawa khabar berbeza apabila Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari gagal mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen peringkat kumpulan A.

Pasangan beregu kedua negara itu tewas kepada Xu Cheng-Guo Zhendong 21-18 21-17 dalam tempoh 36 minit sekali gus perlu mengharapkan pasangan China itu tewas dalam perlawanan terakhir hari ini bagi membuka peluang ke separuh akhir.

Namun pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menebus kekalahan mengejut kepada Mohd. Zakry-Mohd. Fairuzizuan semalam selepas menewaskan beregu Indonesia, Rian Sukmawan-Yonathan Dasuki 21-15 21-14 dalam tempoh 30 minit.

Dalam pada itu, beregu utama wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila menumpaskan pasangan Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Lena Frier Kristiansen 21-19 dan 21-15 dalam tempoh 30 minit.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YfzIlbTH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan