Jumaat, 22 Disember 2017

Chong Wei elak jumpa trio China lagi

ARKIB : 25/02/2009
KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei (gambar) berpeluang untuk melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland, bulan depan apabila sekali lagi terlepas daripada berdepan trio handalan China, Lin Dan, Chen Jin dan Bao Chunlai pada peringkat awal.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM704,000) itu sebelum ini turut mengelak daripada menentang ketiga-tiga bintang China itu pada peringkat awal kejohanan prestij Seluruh England, 3-8 Mac ini.

Dalam undian yang dikeluarkan, semalam perseorangan negara itu hanya berpeluang berdepan penyandang juara, Lin Dan, Chen Jin, mahu pun Chunlai pada perlawanan akhir, malah amat malang buat China apabila Chen Jin dan Chunlai terpaksa berdepan sesama sendiri di pusingan pertama.

Chong Wei akan memulakan kempen dengan menentang pemain Jepun, Kenichi Tago dan dijangka berdepan pemain Belanda, Eric Pang pada pusingan kedua.

Jika melangkah ke suku akhir, bakal menanti Chong Wei adalah pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004 yang dianggap 'pencabar liat' iaitu Taufik Hidayat dari Indonesia.

Pada separuh akhir, jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade menjadi calon utama untuk ditemui selepas naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro juga tidak diletak dalam undian yang sama dengan Chong Wei.

Sony, sebaliknya berada dalam undian sebelah bawah bersama trio utama China dan berpotensi menjadi pencabar kepada pemain veteran negara, Wong Choong Hann di pusingan kedua. Choong Hann akan memulakan cabaran dengan berdepan jaguh muda Indonesia, Simon Santoso.

Cabaran perseorangan Malaysia pada kejohanan 10-15 Mac ini turut dipikul dua pemain KLRC, Sairul Amar Ayob dan Lee Tsuen Seng. Sairul berdepan Gade di pusingan awal, manakala Tsuen Seng bertemu pemain Hong Kong, Chan Yan Kit.

Kuan Beng Hong pula terpaksa memulakan kempen dari pusingan kelayakan dan bakal berdepan Mathieu Lo dari Perancis dalam aksi pembukaan.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, amat malang buat dua beregu Malaysia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen kerana terpaksa berdepan satu sama lain di pusingan pertama.

Malah, juara 2007 itu juga diletakkan dalam undian yang sama dengan pasangan No. 2 negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif dan berpotensi bertemu di separuh akhir.

Jika melangkah ke pusingan kedua, Kien Keat-Boon Heong bakal berdepan kombinasi baru tetapi amat berpengalaman, Candra Wijaya-Joko Riyadi dari Indonesia.

Fairuzizuan-Zakry pula akan memulakan kempen dengan menentang beregu Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto dan berpotensi berdepan bekas beregu No. 1 dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China di suku akhir.

Dalam saingan beregu wanita, pasangan No. 2 dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berpeluang baik untuk melangkah sekurang-kurangnya ke separuh akhir tanpa ada gangguan dari beregu China.

Cabaran mereka pada separuh akhir adalah juara Terbuka Malaysia dan pasangan No. 3 dunia, Lee Kyong Won-Lee Hyo Jung dari Korea, beregu yang tidak pernah dikalahkan oleh pasangan utama negara itu.

Cabaran beregu wanita turut dipikul Haw Chiou Hwee-Lim Pek Siah, yang akan memulakan saingan dengan menentang pasangan China, Pan Pan-Tian Qing.

Beregu campuran pula menyaksikan kombinasi sedang meningkat, Kien Keat-Ng Hui Lin bakal menjadi sandaran utama Malaysia, namun beregu remaja utama bakal berdepan cabaran sukar pilihan kelima, Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl dari Denmark di pusingan pertama.

Fairuzizuan-Pei Tty turut menjadi sandaran, namun kombinasi baru ini perlu memulakan aksi dari pusingan kelayakan dan berdepan pasangan Perancis, Mathieu Lo-Weny Rahmawati.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz522PzmMtL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan