Selasa, 29 Januari 2019

Jangan 'hentam' Chong Wei


ARKIB : 06/04/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

zolkples Embong (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Presiden Universiti Sukan Kebangsaan Korea, Kim Jong Wook sambil disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim di Bukit Jalil, semalam. - BERNAMA
 KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei benar-benar dalam dilema ketika ini.

Apabila beliau berterus terang tentang hasrat untuk meneruskan latihan bersama Tey Seu Bock dan tidak perlu kembali kepada Datuk Misbun Sidek, ada yang menganggapnya seperti 'kacang lupakan kulit.'

Sedangkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini memberi sepenuh kebebasan kepadanya untuk menentukan apakah program terbaik yang diperlukan dalam tempoh satu setengah tahun menjelang Sukan Olimpik London 2012, dan Chong Wei memutuskan program tiga bulan yang telah diharungi bersama Seu Bock dan Rashid Sidek sejak Januari lalu adalah yang terbaik untuknya.

Chong Wei hanya menyatakan keperluan terbaiknya, dan jika kepentingan negara dianggap keutamaan, maka pandangannya itu harus dihormati dan tidak dicampur aduk dengan soal sentimen, tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

Menurut Zolkples, adalah tidak adil apabila ada yang berpandangan sinis terhadap juara All England itu apabila beliau meluahkan pandangannya, malah pemain itu juga dianggap lupa daratan sedangkan beliau hanya menyatakan apa yang difikirkan terbaik dalam impian memburu emas Olimpik.

"Saya meminta kepada semua pihak supaya ikhlas dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya. Tolong jangan terbawa-bawa dengan sentimen hingga memburukkan keadaan dan bukan menjadikannya lebih baik.

"Pandangan Chong Wei harus diambil kira kerana hanya beliau yang tahu apakah yang terbaik untuknya, biarkan beliau memilih tanpa kita memberi tekanan kepadanya. Saya kesal apabila ada pihak yang cakap macam-macam seperti dia lupa daratan,'' kata Zolkples yang ditemui di Bukit Jalil, semalam.

Ujar Zolkples lagi, beliau sendiri pernah dihentam apabila menyuarakan pandangan bahawa Chong Wei sudah semakin serasi dengan Seu Bock dan Rashid, justeru keserasian itu wajar diteruskan bagi menghadapi kempen Olimpik.

Katanya, perkara seperti itu tidak akan berlaku jika semua pihak ikhlas demi kepentingan negara.

"Saya enggan mengulas panjang lagi, biarlah BAM buat keputusan. Tetapi pesanan saya kepada semua pihak, kalau hendak buat apa juga keputusan, biarlah ikhlas dan memikirkan tentang negara, kepentingan negara,'' ujar Zolkples.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5e0HF9lbK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan