Jumaat, 1 Februari 2019

Chong Wei akan jumpa Misbun sebelum ke London


ARKIB : 03/06/2011
 
Lee Chong Wei bersama pengarah jualan Kaspersky, Jimmy Fong pada pelancaran produk antivirus terbaru jenama itu di Subang Jaya, semalam.

SUBANG JAYA - Bak kata pepatah, 'air dicincang tidak akan putus'. Demikian perumpamaan paling sesuai menggambarkan hubungan jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dengan bekas sifunya, Datuk Misbun Sidek.

Meskipun tidak lagi menjadi jurulatihnya, Chong Wei jelas masih menagih nasihat Misbun apabila pemain No. 1 dunia itu berkata, dia akan mencari masa di sebalik kesibukan rutin harian untuk melawat Misbun sebelum berlepas ke Kejohanan Dunia di London, Ogos ini.

"Saya belum lagi berkesempatan berjumpa dengan beliau, saya sepatutnya berbuat demikian selepas selesai bermain di Piala Sudirman, namun sehingga kini masih tiada masa.

"Tapi saya pasti akan cari satu hari untuk jumpa dia untuk berbincang dan mendapatkan pandangannya mengenai permainan saya sekarang... walaupun dia bukan lagi jurulatih saya," katanya yang merupakan jurucakap syarikat keselamatan komputer Rusia, Kaspersky selepas menghadiri pelancaran produk anti-virus terbaru di Sunway Pyramid di sini semalam.

Kedua-duanya masih belum bersemuka sejak bulan lalu setelah Misbun menolak tawaran kontrak baru oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melatih skuad pelapis kebangsaan.

Pada Kejohanan Dunia nanti, Chong Wei tidak hanya menganggap juara tiga kali, Lin Dan sebagai pencabar terdekatnya, sebaliknya enggan memandang remeh cabaran pemain Indonesia yang juga sahabat karibnya, Taufik Hidayat dan jaguh veteran Denmark, Peter Hoeg Gade.

"Lin Dan pastinya menjadi musuh utama, namun cabaran pemain-pemain lain seperti Peter Gade dan Taufik tidak boleh dipandang rendah kerana mereka mampu menyerlah pada kejohanan besar, seperti tahun dulu, saya kalah kepada Taufik," ujar Chong Wei yang telah meraih lima gelaran antarabangsa tahun ini.

Chong Wei yang akan mempertahankan gelaran Terbuka Indonesia pada 21-26 Jun ini, menganggap pertandingan bertaraf Super Series itu akan menjadi medan pemanas badan terbaik dirinya sebelum Kejohanan Dunia.

Mengenai peluangnya menambah koleksi gelaran keenam di Indonesia, Chong Wei bagaimanapun tidak terlalu mengambil kisah mengenai menang kalah mahu pun terlalu memikirkan mengenai kemungkinan bertemu dengan Lin Dan kerana dia lebih gemar memfokuskan kepada persiapan menghadapi Kejohanan Dunia.

Meskipun bergelar pemain No. 1 dunia, Chong Wei masih belum pernah merangkul Kejohanan Dunia setakat in dan tahun ini merupakan peluang terbaiknya selepas dia tampak yakin menumbangkan Lin Dan pada Terbuka England, Mac lalu.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5eM18Y5B2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan