Jumaat, 1 Februari 2019

Kami tidak akan malukan Malaysia - Chong Wei


ARKIB : 20/05/2011
KUALA LUMPUR - Malaysia tidak pernah melepasi halangan separuh akhir, malah bakal membuat penampilan tanpa ratu perseorangan wanita, Wong Mew Choo yang bersara bulan lalu, namun jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yakin rakan-rakan sepasukannya yang lain tidak akan 'memalukan' negara pada Piala Sudirman yang bermula di Qingdao, China Ahad ini.

Chong Wei mengakui, pasukan negara berdepan laluan sukar bermula dari peringkat kumpulan dan tidak diberi harapan tinggi untuk menyamai pencapaian terbaik mara ke separuh akhir yang dilakukan di Guangzhou, dua tahun lalu tetapi itu tidak bermakna dia dan rakan-rakannya akan menyerah kalah lebih awal.

Pasukan negara menerima undian getir pada kejohanan 22-29 itu Mei apabila diletak dalam Kumpulan B bersama juara 1989 dan pilihan ke-3/4, Indonesia, selain Rusia.

Malaysia perlu muncul juara untuk mengelak daripada menerima undian sukar di suku akhir, di mana naib juara berpotensi menentang gergasi dunia seperti China, Korea atau Denmark.

Begitupun di atas kertas, Indonesia mempunyai kekuatan yang lebih besar, malah berani mensasarkan mata daripada acara beregu lelaki dan wanita, perseorangan wanita dan beregu campuran.

Sedangkan peluang terbaik kita hadir menerusi Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

"Saya tidak menafikan bahawa suku akhir adalah sasaran yang realistik buat masa sekarang, kerana kalau kita muncul naib juara kumpulan, bermakna kita berpotensi menentang China di suku akhir dan semua orang tahu mereka memiliki kekuatan yang hebat.

"Jadi untuk peringkat awal, adalah lebih baik kita memikirkan bagaimana untuk tidak muncul naib juara, tetapi jadi juara. Indonesia jelas barisan yang lebih kuat daripada Malaysia tetapi saya percaya, kita sebenarnya mampu memberi cabaran serius.

"Biarpun kita mempunyai kelemahan dalam perseorangan wanita tanpa Mew Choo tetapi pasukan negara juga memiliki kekuatan yang baru dalam beregu campuran manakala kehadiran semula Wong Pei Tty-Chin Eei Hui turut memberi harapan dalam beregu wanita. Saya dan rakan-rakan berjanji akan turun dengan permainan terbaik,'' ujar Chong Wei.

Semalam, 12 pemain negara yang diketuai oleh Chong Wei, Kien Keat-Boon Heong, Pei Tty-Eei Hui, Hoon Thien How, Chan Peng Soon, Lydia Cheah, Tee Jing Yi, Goh Liu Ying dan Vivian Hoo bersama empat jurulatih, Rashid Sidek, Tey Seu Bock, Rexy Mainaky dan Pang Cheh Chang berlepas ke China untuk menghadapi kejohanan lapan hari itu.

Pada penampilan terakhir dua tahun lalu, Piala Sudirman hanya dibahagikan kepada dua kumpulan berbanding empat ketika ini.

Malaysia melakar kejutan di peringkat kumpulan dengan menumpaskan Denmark 3-2 dan Hong Kong 4-1, malah kalah tipis 2-3 kepada Korea untuk muncul naib juara.

Pada separuh akhir, kita diratah 3-0 oleh China, manakala Korea menundukkan Indonesia 3-1.

Pada perlawanan akhir, China muncul juara selepas mudah menjinakkan Korea 3-0.

China sekali lagi menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan di Qingdao dan bakal mengetuai Kumpulan A yang turut dibarisi Jepun dan Jerman.

Taiwan mengetuai Kumpulan C bersama Thailand dan India, manakala pilihan kedua, Denmark pula berada dalam Kumpulan D yang turut dianggotai Korea dan England.

Kongsi Konten di :


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5eKxf3i3F
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan