ARKIB : 02/05/2011
KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei diuji dalam
perlawanan mendebarkan, sebelum akhirnya merangkul kejuaraan keempat tahun ini
pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka India dengan menundukkan jaguh
veteran Denmark, Peter Hoeg Gade di New Delhi, semalam.
Selepas menang selesa dalam set pembukaan, jaguh
No. 1 dunia itu tumpas di set kedua dan dipaksa mengharungi aksi mencemaskan di
set ketiga, sebelum memenangi pertarungan sengit 21-12, 12-21, 21-15 dalam masa
1 jam, 2 minit.
Ini adalah kemenangan keempat Chong Wei sepanjang
2011 selepas turut menjuarai Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia dan All
England.
Malah, jaguh negara itu berjaya melayakkan diri ke
perlawanan akhir dalam semua lima kejohanan yang disertai sejak Januari lalu,
dengan turut muncul naib juara Terbuka Korea.
Malah, lebih manis lagi, kemenangan ini akhirnya
menamatkan mimpi ngeri Chong Wei setiap kali berakhir di India, di mana dia
mengalami keracunan makanan ketika tumpas kepada pemain China, Chen Long pada
Terbuka India 2009, sebelum tunduk kepada Sony Dwi Kuncoro pada suku akhir
Kejohanan Dunia di Hyderabad pada tahun yang sama.
"Ia adalah perlawanan yang sangat sengit, dan
saya mula hilang tumpuan di set kedua. Bagaimanapun saya sudah menjangkakan
cabaran getir bakal diberikan oleh Peter kerana dia merupakan pemain yang amat
berpengalaman.
"Pada usia 34 tahun, Peter terbukti masih
mampu bermain dengan mantap, malah dia tidak mengalah hingga ke akhir saingan.
Begitupun, stadium ini amat bertuah bagi saya, dan harap saya dapat kembali ke
India untuk Siri Super seterusnya,'' kata Chong Wei, yang merangkul kejuaraan Terbuka
India buat kali pertama untuk membawa pulang AS$15,000 (RM44,500).
Pada perlawanan semalam, Chong Wei mempamerkan aksi
meyakinkan pada set pembukaan apabila memaksa Gade berlari ke seluruh
gelanggang dengan kekerapan menghantar pukulan silang di depan jaring, selain
sesekali melakukan smash kencang yang gagal diangkat lawan.
Bagaimanapun, keadaan berubah pada set kedua
apabila dia seperti hilang fokus dan mula melakukan kesilapan demi kesilapan,
malah pada satu ketika ketinggalan sehingga 10-17, sebelum akhirnya tumpas
12-21.
Gade, 35, yang memiliki rekod pertemuan yang buruk,
1-11 di tangan Chong Wei sejak 2007, meneruskan permainan garang memasuki set
penentuan apabila mendahului 6-2, namun sebaik dia membenarkan Chong Wei
mengejar 8-6, jaguh veteran Denmark itu tidak lagi mampu menyekat Chong Wei.
"Saya berdepan pemain terbaik dunia dan
semuanya adalah tentang keyakinan. Apabila Chong Wei tampil dengan penuh yakin,
memang dia tidak mudah untuk ditewaskan.
"Saya berpeluang untuk menang selepas
menguasai set kedua, malah bermula baik di set penentuan. Saya berikan
segalanya yang terdaya tetapi dia (Chong Wei) memang tidak mampu dikalahkan
hari ini,'' kata pemain No. 6 dunia, Gade.
Sementara itu, pemain Thailand, Porntip
Buranaprasertsuk melakar kejutan terbesar dalam perseorangan wanita apabila
muncul juara selepas menumpaskan pilihan ketiga, Bae Youn Joo dari Korea
Selatan, 21-13, 21-16.
Jepun dan Indonesia pula masing-masing mendominasi
saingan beregu wanita dan campuran dengan menempatkan dua wakil mereka dalam
perlawanan akhir.
SUMBBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e9W4hSiF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan