Rabu, 30 Januari 2019

Chong Wei, Koo-Tan ketuai kemaraan


ARKIB : 05/05/2011
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR - Langkah kanan mengiringi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada hari pertama kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia semalam, apabila masing-masing mudah melepasi halangan awal di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam.

Bagaimanapun, jaguh veteran negara dan pilihan kelapan, Wong Choong Hann menjadi mangsa kejutan pertama kejohanan apabila tunduk 15-21, 15-21 di tangan pemain sedang meningkat India, Anup Sridhar.

Chong Wei yang memburu kejuaraan hatrik GP Emas Terbuka Malaysia langsung tidak tercabar dalam dua perlawanan pertamanya - mengetepikan Takuma Ueda 21-8, 21-12 dalam aksi kedua dan Robin Gonansa dari Indonesia 21-7, 21-16 di pusingan pertama.

Menanti juara All England itu hari ini adalah pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto.

Terdahulu, cabaran perseorangan lelaki Malaysia pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM360,000) ini turut diteruskan oleh pemain profesional, Muhammad Hafiz Hashim serta dua pemain muda, Liew Daren dan Beryno Wong.

Hafiz bagaimanapun menempah pertemuan getir dengan jaguh Vietnam dan pilihan ketiga, Nguyen Tien Minh hari ini selepas mengetepikan Pakkawat Vilailak dari Thailand 21-13, 21-12 pada pusingan kedua, dan terdahulu menyingkirkan pilihan ke-13, Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia 21-17, 21-14 dalam aksi pertama.

Daren, 23, pula melepasi sasaran awal untuk melangkah ke peringkat 16 terbaik selepas mengalahkan dua rakan senegara, Zulfadli Zulkifli 10-21, 21-17, 21-11 (pusingan pertama) dan Muhd. Syawal Ismail 21-12, 21-12 di pusingan kedua. Menantinya kini adalah jaguh veteran Korea, Lee Hyun Il hari ini.

Terdahulu, Beryno menyingkirkan Tam Chun Hei dari Hong Kong 18-21, 21-14, 21-13 pada pusingan kedua untuk berdepan pemain Belanda, Brice Leverdez.

Bagi Chong Wei, moto 'tidak mahu kalah' menjadi senjata utama untuk menyuntik semangatnya meneruskan rekod cemerlang di kejohanan antarabangsa.

"Saya berpegang kepada hanya mencari kemenangan setiap kali beraksi,'' katanya di sini, semalam.

Menurut Chong Wei, dia akan menilai program latihannya selepas ini dan mungkin mengurangkan kejohanan yang disertai dari sekarang sehingga Ogos ini untuk membuat persiapan Kejohanan Dunia di London, Ogos ini dan Sukan Olimpik 2012.

Sementara itu Kien Keat-Boon Heong akhirnya memadam 'badi' pasangan Jepun dengan mengetepikan beregu negara itu, Yoshiteru Hirobe-Kenta Kazuno 21-18, 21-13 untuk terus di landasan memburu kejuaraan sulung 2011.

Beregu No. 4 dunia itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir kerana hanya berdepan pasangan muda negara, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han pada pusingan kedua hari ini.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e9zzHZU1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan