Rabu, 30 Januari 2019

Bersendirian ke babak akhir


ARKIB : 01/05/2011
 
Lee Chong Wei mempamer kehandalan apabila masih berupaya membalas pukulan pemain Hong Kong, Hu Yun pada separuh akhir Terbuka India di New Delhi, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR - Walaupun tidak perlu berdepan pasangan terbaik dunia yang lain, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih gagal menggunakan Terbuka India untuk mencari kejuaraan pertama tahun ini selepas dikejutkan oleh beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata pada separuh akhir semalam, sekali gus meninggalkan Datuk Lee Chong Wei bersendirian melangkah ke final.

Anak-anak buah Rexy Mainaky itu gagal memanfaatkan ketiadaan beregu handalan seperti Markis Kido-Hendra Setiawan, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung atau Cai Yun-Fu Haifeng pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM600,000) apabila terpaksa akur 16-21, 19-21 hanya dalam masa 33 minit.

Kekalahan ini melebarkan kemarau gelaran yang dialami Kien Keat-Boon Heong dalam kalendar kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejak kali terakhir mereka merangkul kejuaraan pada Terbuka Malaysia, Januari, 2010. Namun, beregu No. 4 dunia itu meraih pingat emas Sukan Komanwel di New Delhi, tahun lalu.

Final beregu lelaki akan menemukan dua pasangan yang tidak diduga selepas beregu muda Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra terdahulu melakar kejutan dalam satu lagi separuh akhir dengan menyingkirkan beregu senegara yang juga pilihan ketiga, Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan 21-23, 21-18, 21-14.

Seperti biasa, jaguh No. 1 dunia, Chong Wei sekali lagi menjadi penyelamat maruah Malaysia apabila berjaya mengelak daripada kejutan tidak diingini, malah mempamer aksi meyakinkan ketika mengetepikan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-11, 21-15 hanya dalam masa 27 minit.

Berbeza dengan Kien Keat-Boon Heong yang masih gagal memiliki kejuaraan pertama 2011, Chong Wei sebaliknya menghampiri gelaran keempat tahun ini selepas muncul juara Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia dan All England.

Chong Wei bagaimanapun perlu menghadapi cabaran getir jaguh veteran Denmark, Peter Hoeg Gade dalam pemburuan gelaran hari ini. Semalam, Gade, 34, mempamer permainan mantap ketika menundukkan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan 21-15, 21-19

Hajat Malaysia untuk melihat kejuaraan berganda dibawa pulang dari New Delhi turut tidak kesampaian selepas satu lagi pasangan harapannya, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tersingkir di separuh akhir beregu campuran.

Selepas mengejutkan pilihan kedua, Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchaikul dari Thailand pada suku akhir kelmarin, juara Asia 2010 itu gagal meneruskan rentak cemerlang apabila disingkirkan oleh pasangan Indonesia, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadeth 12-21, 16-21.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e9BD686x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan