Rabu, 30 Januari 2019

Chong Wei buat penonton cemas


ARKIB : 06/05/2011
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
 
Lee Chong Wei membalas hantaran Tommy Sugiarto pada kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Alor Setar, semalam. – UTUSAN/ Halim Khalid

ALOR SETAR – Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengharungi perlawanan mencemaskan sebelum mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim, semalam.

Chong Wei, yang memburu gelaran hatrik kejohanan itu dan kejuaraan kelima pada tahun ini menerima tentangan sengit pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto sebelum mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung selama 40 minit.

Jaguh negara itu yang diramal tidak menghadapi masalah berdepan Tommy bagaimanapun meresahkan penonton, apabila pada suatu ketika ketinggalan 6-16 pada set kedua, sebelum mempamerkan kehebatannya untuk mengikat mata 17-17, seterusnya memenangi perlawanan.

Juara All England itu akan bertemu pemain Perancis, Leverdez Brice hari ini, yang mengenepikan cabaran perseorangan lelaki muda negara, Beryno Wong 14-21, 21-9, 21-15.

Chong Wei berkata, selain agak terganggu dengan faktor angin, beliau hilang fokus seketika tetapi tidak berputus asa meskipun ketinggalan agak jauh pada set kedua.

''Bagaimanapun saya tidak bermain dalam tekanan dan cuba untuk menamatkan perlawanan dalam dua set,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, beregu muda lelaki negara, Mohd. Lufti Zaim Khalid-Vountus Indra Mawan melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan kedua kejohanan Markis Kido-Hendra Setiawan dalam perlawanan tiga set yang mendebarkan.

Mohd. Kufti-Vountus Indra yang berada pada kedudukan ke-80 dunia mengambil masa 39 minit untuk menumpaskan pasangan Indonesia itu, yang berada pada kedudukan keenam dunia dengan keputusan 21-13, 18-21, 21-13.

Menanti mereka hari ini adalah beregu Korea, Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo yang menewaskan pasangan Thailand, Patipat Chalardchaleam-Nipitphon PuangPuapech 21-17, 21-16.

Beregu utama negara Koo Kien Keat- Tan Boon Heong yang mencari kejuaraan sulung tahun ini pula tidak berdepan masalah untuk menempah tempat suku akhir apabila menundukkan pasangan muda negara, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han 21-9, 21-13.

Lawan yang lebih sukar menanti beregu No. 4 dunia itu hari ini iaitu pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa selepas pilihan keenam kejohanan berkenaan memperoleh kemenangan percuma setelah beregu Korea, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang menarik diri pada set kedua akibat kecederaan.

Malaysia turut mempunyai dua wakil pada peringkat suku akhir dalam acara beregu campuran menerusi gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ting dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ng Hui Lin.

Laluan berliku menanti kedua-dua pasangan negara itu hari ini apabila Peng Soon-Liu Ting bakal bertemu pilihan pertama kejohanan dari Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam manakala Mohd. Fairuzizuan-Hui Lin akan menentang gandingan Indonesia yang juga pilihan ketiga, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah.

Hasrat tuan rumah untuk melihat wakil beregu wanita meneruskan kemaraan tidak kesampaian berikutan kekalahan wakil tunggal negara semalam, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty kepada pasangan muda China, Ying Luo-yu Luo 20-22, 22-20, 9-21.

Nasib sama menimpa pemain profesional, Muhammad Hafiz Hashim yang terpaksa akur dengan kehebatan jaguh Vietnam, Nguyen Tien Minh selepas tumpas 21-19, 18-21, 6-21 dalam perlawanan yang memakan masa selama 50 minit.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eA2SLdw8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan